Kembara Makna

Dalam relung-relung kasih, kita semua bersua dan berjumpa. Ada yang tidak pernah kukenal peribadinya. Tetapi aku tetap sama. Ayah dan ibu darah serupa. Mungkin cara kita melihat diri, mengubah cara kita melihat dunia.

"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276

Takhrij al-Hadith Dalam Karya al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa Melayu

Posted by Ahmad Saifuddin Wednesday, June 13, 2012


Penulisan karya berkaitan al-Sirah al-Nabawiyyah semakin bertambah dalam pasaran buku di Malaysia. Masyarakat Malaysia semakin berminat dengan pengkisahan cerita Nabi Muhammad dan para sahabat serta orang-orang yang terlibat dalam hidup baginda. Kualiti kisah dan cerita itu adalah berdasarkan persembahan tulisan serta sumber rujukan yang sahih dan autentik.



Karya al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa Melayu di Malaysia
Suasana penerbitan karya al-Sirah al-Nabawiyyah  Bahasa Melayu juga mempunyai pelbagai bentuk penulisan. Menurut Faisal Ahmad Shah,[1] karya-karya al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa Melayu terbahagi kepada empat bentuk; pertama, karya sastera Melayu tradisional. Contohnya seperti Hikayat Mukjizat Nabi, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Nabi Mikraj, Hikayat Rasulullah dan sebagainya. Namun menurut beliau, sesetengah kisah yang terkandung di dalam karya-karya ini mengandungi unsur-unsur fiksyen dan khurafat.[2]
Kedua, karya syair, nazam dan burdah. Karya sebegini sangat masyhur dalam kalangan masyarakat awam. Lazimnya karya sebegini masyhur dengan karya Maulid Barzanji dan Daiba’i dan sebagainya.[3] Ia biasanya didendangkan pada awal bulan Rabiul Awwal, kenduri cukur jambul, khatam al-Quran dan keraian lain. Berdasarkan kisah-kisah yang dimasukkan ke dalam karya-karya ini, banyak riwayat dan kisah-kisah yang tidak tepat serta bukan berdasarkan riwayat yang sahih.[4]
Ketiga, karya al-Sirah al-Nabawiyyah terjemahan daripada bahasa asing terutama Bahasa Arab. Sekarang ini semakin banyak karya-karya al-Sirah al-Nabawiyyah  berbentuk terjemahan yang diterjemahkan daripada pelbagai karya yang masyhur. Antara Fiqh al-Sirah karya Syeikh Ramadhan al-Buti, Rahiq al-Makhtum karya Safi al-Rahman al-Mubarakfuri, Hayat Muhammad karya Hussein Haykal, Muhammad s.a.w. Ka’annaka Tarahu karya Dr. Aidh bin ‘Abdullah al-Qarni,[5] al-Sirah al-Nabawiyyah karya Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi[6] dan lain-lain. Selain itu, terdapat juga karya-karya terjemahan yang diterjemahkan daripada karya-karya turath seperti Sirah Ibn Hisyam,
Keempat ialah karya-karya al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa Melayu yang ditulis oleh penulis tempatan dengan gaya bahasa tersendiri. Apabila kita perhatikan di kedai-kedai buku sama ada berskala kecil atau besar, kita akan dapati terdapat pelbagai karya-karya al-Sirah al-Nabawiyyah  yang ditulis oleh penulis tempatan.
Antaranya, Lahirnya Cahaya Kebenaran Sejarah Hidup Nabi Muhammad s.a.w. oleh Haji Husseiny Zambur,[7] Sirah Muhammad oleh Haji Mohd Rashad Shamsuddin,[8] Kisah Kehidupan Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. oleh Abu Hikmah al-Husni,[9] Sirah dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad s.a.w. oleh Abu Mazaya al-Hafiz,[10] Fiqh al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah oleh Haji ‘Abdul Hadi Awang,[11] Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar Nabi Muhammad s.a.w. oleh Tarikuddin bin Haji Hassan,[12] Biografi Muhammad bin Abdullah oleh Zulkifli Mohd. Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman[13] dan sebagainya.
Bentuk karya yang keempat ini akan menjadi fokus bagi artikel ini. Namun penulis hanya memilih beberapa karya daripada senarai di atas. Usaha ini hanya untuk mengenal pasti sejauh mana kepekaan penulis karya berkenaan terhadap sumber riwayat dan takhrij al-hadith bagi kisah-kisah yang dimuati. Walau bagaimanapun, sorotan ringkas telah dilakukan oleh Dr. Faisal Ahmad Shah di dalam tulisan beliau.[14]
Sorotan Kisah dan Takhrij Dalam Karya al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa Melayu
Penulis telah memilih peristiwa Hijrah al-Rasul ke Madinah sebagai fokus tulisan ini termasuk beberapa sub-kisah seperti Asma’ binti Abu Bakr r.a. memotong tali pinggang dan kisah Suraqah bin Malik r.a. mengejar Nabi s.a.w. Apabila diperhatikan secara sepintas lalu penulisan karya sirah Bahasa Melayu di Malaysia ini, kebanyakan karya-karya sebegini tidak menitikberatkan kesahihan kisah berkenaan dan nukilan sumber bagi kisah-kisah berkenaan. Namun terdapat juga karya menukilkan kisah dengan disertakan sumber riwayat tersebut. Sebagai contoh di dalam Fiqh al-Harakah, Haji ‘Abdul Hadi dengan jelas menyebut sumber pada kisah Suraqah bin Malik r.a. mengejar Nabi s.a.w. itu daripada riwayat al-Bukhari.[15] Jadi, di sini kita lihat kepekaan penulis terhadap sumber riwayat. Namun, tidak dinyatakan takhrij yang lengkap bagi kisah tersebut dan berkemungkinan atas-atas sebab tertentu.
Kisah Hijrah Rasulullah ke Madinah
Apabila dilihat pada karya sirah Bahasa Melayu, kebanyakan kisah-kisah yang dimasukkan adalah bercampur-campur antara riwayat yang sahih dan sebaliknya. Boleh dikatakan, majoriti karya akan mengambil riwayat daripada Sirah Ibn Hisyam sebagai sumber utama kerana ini adalah antara karya al-Sirah al-Nabawiyyah terawal dan terkenal.
Di dalam tulisan Abu Mazaya al-Hafiz dan Abu Hikmah al Husni, beliau telah menukilkan kisah hijrah Rasulullah s.a.w. dari rumah baginda s.a.w. dengan kisah Ali bin Abi Talib r.a. tidur di tempat baginda. Manakala kisah Nabi s.a.w. berhijrah dari rumah Abu Bakr al-Sidddiq r.a. tidak dimuati.[16] Manakala pada karya-karya yang lain, kedua-dua kisah di atas dinukilkan bersama. Kebiasaannya, kisah Rasulullah s.a.w. berhijrah dari rumah Abu Bakr al-Siddiq r.a. tidaklah begitu masyhur di Malaysia, menyebabkan kisah hijrah dari rumah baginda s.a.w. dengan Ali r.a. tidur di tempat baginda s.a.w. lebih diungguli, walaupun kisah Nabi s.a.w. berhijrah dari rumah Abu Bakr r.a. juga terkandung di dalam Sirah Ibn Hisyam.
Bagi kisah Hijrah Nabi s.a.w. dari rumah Abu Bakr r.a., penulis mendapati terdapat beberapa karya yang memuatkan kisah ini, antaranya tulisan Haji ‘Abdul Hadi Awang,[17] Haji Mohd Rashad Shamsuddin[18] dan Haji Husseiny Zambur.[19] Namun apa yang membezakan antara karya-karya ini, kisah yang dikemukakan adalah sama ada daripada riwayat dari karya hadith terutama Sahih al-Bukhari atau karya sirah khususnya Sirah Ibn Hisyam.
Apabila ditelusuri kisah ini di dalam karya hadith khususnya Sahih al-Bukhari dan Sirah Ibn Hisyam, kita akan mendapati kisah Nabi s.a.w. berhijrah dari rumah Abu Bakr al-Siddiq r.a. terdapat pada kedua-dua karya ini melalui riwayat daripada ‘Urwah bin al-Zubayr daripada ‘A’isyah binti Abu Bakr r.a. Walau bagaimanapun kedua-dua matan kedua-dua riwayat kisah ini adalah berbeza. Berikut adalah perbezaan kedua-dua riwayat bagi kisah ini;
Riwayat al-Bukhari (m. 256H);
قَالَ ابْنُ شِهَابٍ قَالَ عُرْوَةُ قَالَتْ عَائِشَةُ فَبَيْنَمَا نَحْنُ يَوْمًا جُلُوسٌ فِي بَيْتِ أَبِي بَكْرٍ فِي نَحْرِ الظَّهِيرَةِ قَالَ قَائِلٌ لِأَبِي بَكْرٍ هَذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَقَنِّعًا فِي سَاعَةٍ لَمْ يَكُنْ يَأْتِينَا فِيهَا
Takhrij : Sahih al-Bukhari di dalam Kitab Manaqib al-Ansar,[20] Sahih Ibn Hibban di dalam Kitab al-Tarikh,[21] Sunan Abu Dawud di dalam Kitab al-Libas,[22] Musnad Ahmad[23] dan Musannaf ‘Abd al-Razzaq di dalam Kitab al-Maghazi.[24]
Riwayat Ibn Ishaq (m. 151H);[25]
قَالَ ابْنُ إسْحَاقَ : فَحَدّثَنِي مَنْ لَا أَتّهِمُ عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزّبَيْرِ ، عَنْ عَائِشَةَ أُمّ الْمُؤْمِنِينَ أَنّهَا قَالَتْ كَانَ لَا يُخْطِئُ رَسُولُ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ أَنْ يَأْتِيَ بَيْتَ أَبِي بَكْرٍ أَحَدَ طَرَفَيْ النّهَارِ إمّا بُكْرَةً وَإِمّا عَشِيّةً
Takhrij : Selain daripada riwayat Ibn Ishaq di dalam Sirah Ibn Hisyam, penulis tidak menemuinya di dalam karya-karya hadith yang lain, melainkan di dalam Tarikh al-Tabari[26] dan Bidayah wa al-Nihayah.[27] Kedua-duanya melalui riwayat Ibn Ishaq (m. 151H) juga.
Secara makna, riwayat Ibn Ishaq (m. 151H) di atas boleh diterima secara umum. Namun apa yang membezakannya dengan riwayat al-Bukhari (m. 256H) adalah pada beberapa babak. Contohnya, di dalam riwayat Ibn Ishaq (m. 151H), apabila Rasulullah s.a.w. meminta Abu Bakr al-Siddiq r.a. menemani baginda untuk berhijrah;
قَالَتْ فَوَاَللّهِ مَا شَعُرْت قَطّ قَبْلَ ذَلِكَ الْيَوْمِ أَنّ أَحَدًا يَبْكِي مِنْ الْفَرَحِ حَتّى رَأَيْت أَبَا بَكْرٍ يَبْكِي يَوْمئِذٍ
Terjemahan : A’isyah berkata, “Demi Allah, hingga kini aku belum pernah melihat seseorang menangis kerana gembira sehingga aku melihat Abu Bakr menangis ketika ini…[28]
Manakala pada riwayat al-Bukhari (m. 256H) babak ini tidak wujud sama sekali.[29] Kisah ini dapat dilihat pada tulisan Haji Husseiny bin Zambur yang beliau menukilkan riwayat Ibn Ishaq (m. 151H) di atas.[30] Manakala riwayat al-Bukhari (m. 256H) pula dinukilkan oleh Haji ‘Abdul Hadi Awang[31] dan Haji Mohd Rashad Shamsuddin[32] dalam tulisan masing-masing.
Kisah Asma’ binti Abu Bakr r.a. Memotong Tali Pinggang
Pada kebanyakan tulisan al-Sirah al-Nabawiyyah dalam Bahasa Melayu, penulis mendapati kisah Asma’ binti Abu Bakr r.a. memotong tali pinggang ini berlaku semasa Rasulullah s.a.w. bersembunyi di Gua Thur. Berdasarkan pada sumber riwayat, kisah ini diambil daripada Sirah Ibn Hisyam. Walau bagaimanapun, riwayat yang terkandung di dalam Sirah Ibn Hisyam ini adalah riwayat daripada Ibn Ishaq (m. 151H) tanpa apa-apa sumber dari para sahabat r.a. Riwayat tersebut adalah seperti berikut;
Ibn Ishaq berkata “Rasulullah berada di Gua Thur selama tiga hari bersama Abu Bakr. Kaum Qurasy telah menyediakan hadiah sebanyak seratus ekor unta bagi sesiapa yang dapat mengembalikan baginda [s.a.w.] kepada mereka. Manakala Abdullah bin Abu Bakr berada dalam kalangan Qurasy pada waktu siang hari bagi mendengar perencanaan dan perbualan mereka tentang Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakr, kemudian beliau datang kepada Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakr bagi melaporkan maklumat berkenaan. Kemudian ‘Amir bin Fuhayrah mawla Abu Bakr yang mengembala kambing bersama penduduk Makkah datang pada waktu petang membawa kambing Abu Bakr, lalu mereka memerah [susu] dan menyembelihnya. Jika Abdullah bin Abu Bakr pulang ke Makkah, ‘Amir bin Fuhayrah berjalan mengikut jejaknya dengan kambing hingga menghapus jejak kaki. Sehingga tiga hari, setelah penduduk [Makkah] tidak membicara tentang mereka berdua (Nabi s.a.w. dan Abu Bakr r.a.). Lalu datang orang yang diupah kepada mereka berdua (Nabi s.a.w. dan Abu Bakr r.a.) dengan membawa unta. Kemudian Asma’ bint Abu Bakr datang kepada mereka berdua dengan membawa sufrah (bekalan makanan). Beliau terlupa mengikat bekalan tersebut, apabila [Nabi s.a.w. dan Abu Bakr] mahu berangkat, Asma’ mahu mengikat [bekalan makanan itu] tetapi tiada pengikat, lalu beliau membuang tali pinggangnya dan menjadikannya pengikat lalu beliau mengikat [bekalan tersebut]. Oleh kerana itu, [beliau] digelar Asma’ bint Abu Bakr Dhat al-Nitaqayn (Pemilik Dua Tali Pinggang).”[33]
Kisah ini dilihat pada tulisan Haji Mohd rashad Shamsuddin[34] dan Haji ‘Abdul Hadi Awang.[35] Tetapi ini berbeza dengan riwayat yang sahih dalam Sahih al-Bukhari. Riwayat al-Bukhari (m. 256H) di dalam Kitab Manaqib al-Ansar dengan jelas menyebut daripada riwayat ‘A’isyah r.a. bahawa peristiwa ini berlaku di rumah Abu Bakr r.a.;
A’isyah berkata, “Lalu kami menyiapkan kedua unta itu dengan persiapan secepatnya. Kemudian kami membuatkan bekal untuk mereka berdua di dalam sufrah. Lalu Asma’ bint Abu Bakar memutus ikat pinggangnya dan mengikatkannya pada muncung bekalan itu. Oleh yang demikian, beliau digelar dengan Dhat al-Nitaqayn (wanita yang memiliki dua tali pinggang).” [‘A’isyah] berkata, “Kemudian Rasulullah saw. dan Abu Bakar menyusul ke gua di Bukit Thawr, dan mereka bersembunyi di situ tiga malam.”[36]
Jelas di sini bahawa babak ini berlaku di dalam rumah Abu Bakr r.a. sewaktu Nabi s.a.w. dan Abu Bakr r.a. mahu memulakan perjalanan mereka. Manakala bagi riwayat Asma’ r.a. pula;
Daripada Asma’ r.a., [katanya], “Aku menyediakan bekalan [di dalam] sufrah untuk Nabi s.a.w. dan Abu Bakr ketika mereka mahu menuju ke Madinah.” Lalu aku berkata kepada ayahku, “Aku tidak temui sesuatu yang [boleh] mengikat [bekalan ini] kecuali tali pinggangku ini.” [Ayahku] berkata, “Maka belahlah ia.” Lalu aku melakukan demikian dan aku digelar Dhat al-Nitaqayn. Ibn ‘Abbas berkata, “Asma’ Dhat al-Nitaqayn.”[37]
Riwayat Asma’ r.a. di atas tidak dimuatkan di dalam riwayat ‘A’isyah r.a. dan tidak dinyatakan tempat berlakunya peristiwa berkenaan. Mungkin boleh diandaikan bahawa kemungkinan peristiwa ini berlaku dua kali di tempat yang berbeza iaitu di rumah Abu Bakr r.a. dan di Gua Thur. Tetapi, apabila diteliti pada pengulangan hadith di dalam Sahih al-Bukhari pada kitab-kitab yang lain, hadith Asma’ r.a. didapati berulang di bahagian lain iaitu di dalam Kitab al-Jihad, Bab Haml al-Zad fi al-Ghazw dengan beberapa perincian yang lebih jelas. Hadith tersebut adalah;
عَنْ أَسْمَاءَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ صَنَعْتُ سُفْرَةَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَيْتِ أَبِي بَكْرٍ حِينَ أَرَادَ أَنْ يُهَاجِرَ إِلَى الْمَدِينَةِ...
Terjemahan : Daripada Asma’ r.a., katanya, “Aku menyediakan bekalan [di dalam] sufrah untuk Nabi s.a.w. di rumah Abu Bakr ketika mereka berangkat [untuk] berhijrah ke Madinah…”[38]
Berdasarkan lafaz yang digariskan di atas, jelas bahawa riwayat Asma’ r.a. memotong tali pinggang itu berlaku di rumah Abu Bakr r.a. dan ini bercanggah dengan riwayat Ibn Ishaq (m. 151H) yang mengatakan berlaku di Gua Thur. Justeru, riwayat al-Bukhari (m. 256H) diunggulkan kerana kekuatan riwayat serta sumber yang jelas dan autentik.
Kisah Suraqah bin Malik Mengejar Nabi s.a.w.
Bagi kisah ini, kebanyakan penulis jarang memberi perhatian terhadap sumber riwayatnya. Lazimnya ia diambil daripada riwayat yang terkandung di dalam Sirah Ibn Hisyam. Namun terdapat juga penulis karya sirah mengambil riwayat kisah ini daripada karya hadith terutama Sahih al-Bukhari. Contohnya pada tulisan Haji Husseiny bin Zambur,[39] beliau mengambil riwayat kisah ini daripada riwayat Ibn Ishaq di dalam Sirah Ibn Hisyam. Manakala Haji ‘Abdul Hadi Awang dengan jelas menyatakan bahawa kisah ini di ambil daripada Sahih al-Bukhari.[40] Jika dilihat secara makna, riwayat kedua-dua sumber di atas adalah hampir sama dan boleh dikatakan ia tidak banyak beza. Bahkan riwayat daripada Ibn Ishaq (m. 151H) itu diriwayatkan secara mawsul melalui riwayat al-Zuhri (m. 124H) daripada Suraqah bin Malik r.a.
Berikut adalah takhrij kedua-dua riwayat kisah ini;
Riwayat al-Bukhari (m. 256H);
سُرَاقَةَ بْنَ جُعْشُمٍ يَقُولُ جَاءَنَا رُسُلُ كُفَّارِ قُرَيْشٍ يَجْعَلُونَ فِي رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ دِيَةَ كُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مَنْ قَتَلَهُ أَوْ أَسَرَهُ...
Terjemahan : Suraqah bin Ju‘syum berkata, “Kelompok [daripada] orang-orang kafir Quraysy telah mejadikan Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakr [r.a.] sebagai tawaran hadiah bagi setiap seorang [kepada sesiapa] yang membunuh atau menawannya...
Takhrij : Diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari di dalam Kitab Manaqib al-Ansar,[41] Ahmad (m. 223H) di dalam al-Musnad,[42] ‘Abd al-Razzaq al-San‘ani (m. 211H) di dalam al-Musannaf pada Kitab al-Maghazi,[43] juga diriwayatkan di dalam Sahih Ibn Hibban pada Kitab al-Tarikh[44] dan al-Mu‘jam al-Kabir al-Tabarani.[45] Semua riwayat di atas adalah melalui riwayat Ma‘mar bin Rasyid (m. 153H) daripada al-Zuhri (m. 124H). Selain itu, hadith ini juga diriwayatkan oleh al-Hakim (m. 405H) di dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayn pada Kitab al-Hijrah melalui sumber yang sama.[46] Al-Bayhaqi (m. 458H) juga meriwayatkan hadith ini melalui riwayat ‘Uqayl daripada al-Zuhri (m. 124H) di dalam Dala’il al-Nubuwwah dengan lafaz yang ringkas.[47]
Riwayat Ibn Ishaq (m.151H)
سُرَاقَةَ بْنِ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ ، قَالَ لَمّا خَرَجَ رَسُولُ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ مِنْ مَكّةَ مُهَاجِرًا إلَى الْمَدِينَةِ، جَعَلَتْ قُرَيْشٌ فِيهِ مِئَةَ نَاقَةٍ لِمَنْ رَدّهُ عَلَيْهِمْ.
Terjemahan : Suraqah bin Malik bin Ju‘syum berkata, “Apabila Rasulullah s.a.w. keluar daripada Makkah [untuk] berhijrah ke Madinah, kaum Quraysy telah [menawarkan] seratus ekor unta untuk sesiapa yang [berjaya] mengembalikan baginda kepada mereka.[48]
Takhrij : Selain daripada riwayat Ibn Ishaq (m. 151H), ia juga diriwayatkan oleh al-Bayhaqi (m. 458H) di dalam Dala’il al-Nubuwwah melalui riwayat Musa bin ‘Uqbah (m. 141H) daripada al-Zuhri (m. 124H).[49] Manakala al-Tabarani (m. 360H) di dalam al-Mu‘jam al-Kabir pula terdapat dua riwayat dari sumber yang berbeza. Pertama, melalui riwayat Musa bin ‘Uqbah (m. 141H),[50] kedua, melalui riwayat Salih bin Kaysan.[51] Selain itu, hadith ini juga dimuatkan di dalam Ahadith Muntkhabah min Maghazi Musa bin ‘Uqbah.[52]
Walau bagaimanapun, riwayat yang terkandung di dalam Sirah Ibn Hisyam mempunyai penambahan atau idraj pada matan riwayat tersebut. Tambahan lafaz tersebut ialah;
...فَكَتَبَ لِي كِتَابًا فِي عَظْمٍ أَوْ فِي رُقْعَةٍ أَوْ فِي خَزَفَةٍ ثُمّ أَلْقَاهُ إلَيّ...
Terjemahan : ... Maka beliau (Abu Bakr r.a.) telah menulis kepadaku satu tulisan pada tulang atau pada kepingan kulit atau pada tembikar kemudian beliau melemparkan tulisan [itu] kepadaku...[53]
Lafaz yang digariskan di atas adalah penambahan pada matan yang terdapat pada riwayat Ibn Ishaq (m. 151H) di dalam Sirah Ibn Hisyam. Lafaz ini tidak terdapat pada hadith yang diriwayatkan oleh Musa bin ‘Uqbah (m. 141H)[54] dan Salih bin Kaysan[55] di atas.
Apa yang membezakan kedua-dua riwayat ini adalah pada babak Suraqah r.a. meminta Nabi s.a.w. menulis surat keamanan kepada beliau. Babak tersebut adalah seperti berikut;
Riwayat al-Bukhari (m. 256H)
فَسَأَلْتُهُ أَنْ يَكْتُبَ لِي كِتَابَ أَمْنٍ فَأَمَرَ عَامِرَ بْنَ فُهَيْرَةَ فَكَتَبَ فِي رُقْعَةٍ مِنْ أَدِيمٍ
Terjemahan : Maka aku (Suraqah) meminta kepada baginda agar menu­lis kepadaku tulisan (surat) keamanan, lalu baginda menyuruh ‘Amir bin Fuhayrah, maka [‘Amir pun] menulis pada kulit yang telah disamak.[56]
Riwayat Ibn Ishaq (m. 151)
قُلْت : تَكْتُبُ لِي كِتَابًا يَكُونُ آيَةً بَيْنِي وَبَيْنَك. قَالَ اُكْتُبْ لَهُ يَا أَبَا بَكْرٍ.
Terjemahan : Aku (Suraqah) berkata : “Tuliskan kepadaku satu tulisan (surat) [yang menjadi] bukti antaraku dan engkau.” Baginda berkata, “Tuliskanlah kepadanya wahai Abu Bakr.[57]
Di dalam riwayat al-Bukhari (m. 256H) Rasulullah s.a.w. dilihat menyuruh ‘Amir bin Fuhayrah r.a. menuliskan tulisan berkenaan. Manakala, di dalam riwayat Ibn Ishaq (m. 151H) pula, Rasulullah s.a.w. dengan jelas meminta Abu Bakr r.a. menuliskan surat tersebut. Melalui perbezaan ini, kita dapat mengenal pasti kisah ini diambil sama ada daripada Sahih al-Bukhari atau Sirah Ibn Hisyam.
Kesimpulan
Hasil daripada penelitian di atas, kita dapat simpulkan bahawa kisah-kisah di dalam karya-karya al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa Melayu perlu disemak dan disaring dengan menggunakan kaedah takhrij al-hadith. Melalui aplikasi yang pelbagai dalam era teknologi maklumat sekarang ia akan lebih mudah. Saranan penulis kepada pengarang karya atau buku pelajaran al-Sirah al-Nabawiyyah adalah perlu diteliti dan disemak terlebih dahulu kisah-kisah yang akan dimuatkan di dalam tulisan masing-masing.

Ahmad Saifuddin Yusof (2011)

Ia adalah petikan daripada sebahagian tulisan penulis dalam satu bab bertajuk, “Kepentingan Takhrij al-Hadith Terhadap Penulisan al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa Melayu : Sorotan Terhadap Kisah dan Karya Terpilih.” Faisal Ahmad Shah & Fauzi Deraman et. al. (2011), Takhrij Hadith di Nusantara : Keperluan Masa Kini, c. 1, Jabatan al-Quran dan Hadith, APIUM : Kuala Lumpur, halaman 425-446.

[1] Beliau merupakan pensyarah kanan dalam bidang hadith di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
[2] Faisal Ahmad Shah (2007), “Aplikasi Metode Ulama Hadith Dalam Karya-karya Sirah Nabi Berbahasa Melayu,” Prosiding Seminar Warisan Nabawi yang di adakan di De Palm Garden Hotel, Putrajaya pada 11-12hb. Julai 2007 anjuran Universiti Sains Islam Malaysia, h. 211.
[3] Lihat, Syeikh Jaafar al-Barzanj (1999), Terjemahan Berzanji Lengkap, terj. Mohd Sofwan Amrullah, Selangor : Pustaka Ilmi; Zulkifli Mat Isa, Maulid Barzanji dan Daiba’i, Johor Bharu : Perniagaan Jahabersa.
[4] Faisal Ahmad Shah, op. cit. h. 212. Lihat juga, Rasul bin Dahri (t.t.), Kemungkaran Dalam Kitab Berzanji & Perayaan Maulid Nabi Syirik, Khurafat dan Tahayul, (versi ebook) di http://www.scribd.com/doc/4738097/Kemungkaran-dalam-Kitab-Berzanji-dan-Maulid-Nabi
[5] Karya ini diterbitkan oleh al-Hidayah Publishers. Lihat, Aidh bin Abdullah al-Qarni, Kisah Kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. (Intisari Dari Sirah), Kuala Lumpur : al-Hidayah Publishers.
[6] Diterbitkan oleh Jasmin Enterprise. Lihat, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi (2007), As-Sirah An-Nabawiyyah. Kuala Lumpur : Jasmin Enterprise.
[7] Haji Husseiny Zambur (2009), Lahirnya Cahaya Kebenaran Sejarah Hidup Nabi Muhammad s.a.w., Kuala Lumpur : al-Hidayah Publishers.
[8] Haji Mohd Rashad Shamsuddin (2002), Sirah Muhammad, Kuala Lumpur : al-Hidayah Publishers.
[9] Abu Hikmah al Husni (1998), Kisah Kehidupan Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w., c.1, Kuala Lumpur : Darul Nu‘man.
[10] Abu Mazaya al-Hafiz (2009), Sirah dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad s.a.w., c. 5, Kuala Lumpur : al-Hidayah Publishers.
[11] Haji ‘Abdul Hadi Awang (2007), Fiqh al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah, Shah Alam : Dewan Pustaka Fajar.
[12] Tarikuddin bin Haji Hassan (2006), Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar Nabi Muhammad s.a.w., Johor Bharu : Perniagaan Jahabersa.
[13] Zulkifli Mohd. Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman (2006), Biografi Muhammad bin Abdullah, Batu Caves : PTS Publications.
[14] Faisal Ahmad Shah, op. cit. h. 214-218.
[15] Haji ‘Abdul Hadi, op. cit. j. 1, h. 244.
[16] Abu Mazaya al-Hafiz, op. cit. h. 363-364; Abu Hikmah al Husni, op. cit. h. 215.
[17] Haji ‘Abdul Hadi Awang, op. cit. j. 1, h. 236.
[18] Haji Mohd Rashad Shamsuddin, op. cit. h. 233-236.
[19] Haji Husseiny bin Zambur, op. cit. h. 370.
[20] Al-Bukhari (2000/1421), Mawsu‘ah al-Hadith, op. cit., Kitab Manaqib al-Ansar, h. 317-318, No. Hadith 3905.
[21] Lafaz awal matan hadith ini adalah;
)قالت عائشة : فبينا نحن جلوس يوما في بيتنا في نحر الظهيرة ، إذ قال قائل لأبي بكر...(
Lihat, al-Farisi, ‘Ala’ al-Din ‘Ali bin Balban (1993/1414), Sahih Ibn Hibban bi Tartib Ibn Balban, j. 14, c. 2, Bayrut : Mu’assasah al-Risalah, Kitab al-Tarikh, h. 180, No. Hadith 6277
[22] Lafaz awal matan hadith ini adalah;
)قَالَ الزُّهْرِيُّ قَالَ عُرْوَةُ قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بَيْنَا نَحْنُ جُلُوسٌ فِي بَيْتِنَا فِي نَحْرِ الظَّهِيرَةِ قَالَ قَائِلٌ لِأَبِي بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْه...ُ(
Al-Sajastani, Abi Dawud Sulayman bin al-Asy‘ath bin Ishaq al-Azdi (2000/1421), Mawsu‘ah al-Hadith op. cit., Kitab al-Libas, h. 1521, No. Hadith 4083.
[23] Lafaz awal matan hadith ini adalah;
)قَالَ الزُّهْرِيُّ قَالَ عُرْوَةُ قَالَتْ عَائِشَةُ فَبَيْنَا نَحْنُ يَوْمًا جُلُوسًا فِي بَيْتِنَا فِي نَحْرِ الظَّهِيرَةِ قَالَ قَائِلَانٍ لِأَبِي بَكْر...ٍ(
Ahmad bin Muhammad bin Hanbal (1995/1416), al-Musnad, j. 18, c. 1, al-Qahirah : Dar al-Hadith, h. 15, No. Hadith 25502.
[24] Lafaz awal matan hadith ini adalah;
)قال الزهري : قال عروة : قالت عائشة : فبينا نحن يوما جلوسا في بيتنا ، في نحر الظهيرة ، قال قائل لابي بكر...(
Lihat, Al-San‘ani, Abu Bakr ‘Abd al-Razzaq bin Hammam (1972/1392), al-Musannaf, j. 5, c. 1, Johannesburg : al-Majlis al-‘Ilmi, Kitab al-Maghazi, h. 388, No. Hadith 9743.
[25] Al-Ma‘afiri, Abi Muhammad ‘Abd al-Malik bin Hisyam (1998/1418), op. cit., j. 2,  h. 82
[26] Al-Tabari (m. 310H) telah menukilkan riwayat ini dengan sanad yang jelas melalui riwayat Ibn Ishaq (m. 151H) juga berbanding riwayat di dalam Sirah Ibn Ishaq yang dinukilkan dengan perawi yang tidak jelas. Riwayat tersebut adalah seperti berikut;
حدثني محمد بن إسحاق، قال: حدثني محمد بن عبد الرحمن بن عبد الله بن الحصين التميمي، قال: حدثني عروة بن الزبير، عن عائشة زوج النبي صلى الله عليه وسلم، قالت: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم لا يخطئه أحدٌ طرفي النهار أن يأتي بيت أبي بكر إما بكرةً، وإما عشيةً
Lihat, al-Tabari, (t.t.), Tarikh. op. cit., j. 2, h. 377.
[27] Al-Dimasyqi, ‘Imad al-Din Abi al-Fida’ Isma‘il bin ‘Umar bin Kathir al-Qurasyi (1997/1417), Bidayah wa al-Nihayah, j. 4, c. 1, t.t.p. : Hijr, h. 444-445.
[28] Al-Ma‘afiri, Abi Muhammad ‘Abd al-Malik bin Hisyam (1998/1418), op. cit., j. 2, h. 82.
[29] al-Bukhari (2000/1421), Mawsu‘ah al-Hadith, op. cit., Kitab Manaqib al-Ansar, h. 318, No. Hadith 3905.
[30] Haji Husseiny bin Zambur, op. cit. h. 370.
[31] Haji ‘Abdul Hadi Awang, op. cit. j. 1, h. 236.
[32] Haji Mohd Rashad Shamsuddin, op. cit. h. 233-236.
[33] Al-Ma‘afiri, Abi Muhammad ‘Abd al-Malik bin Hisyam (1998/1418), op. cit., j. 2, h. 84.
[34] Haji Mohd Rashad Shamsuddin, op. cit. h. 235.
[35] Haji ‘Abdul Hadi Awang, op. cit. j. 1, h. 243.
[36] Lihat, Al-Bukhari (2000/1421), Mawsu‘ah al-Hadith, op. cit., Kitab Manaqib al-Ansar, h. 318, No. Hadith 3905.
[37] ibid., h. 319, No. Hadith 3907.
[38] ibid., Kitab al-Jihad, h. 239, No. Hadith 2979.
[39] Haji Husseiny bin Zambur, op. cit. h. 380.
[40] Haji ‘Abdul Hadi Awang, op. cit. j. 1, h. 244.
[41] Lafaz di atas adalah lafaz awal matan daripada matan yang panjang. Penulis menunjukkan matan tersebut adalah untuk membezakan antara riwayat al-Bukhari (m. 256H) dan Ibn Ishaq (m. 151H). Lihat, al-Bukhari (2000/1421), Mawsu‘ah al-Hadith, op. cit., Kitab Manaqib al-Ansar, h. 318, No. Hadith 3906.
[42] Ahmad bin Muhammad bin Hanbal (1995/1416), op. cit., j. 13, h. 426-427, No. Hadith 17521.
[43] Al-San‘ani, Abu Bakr ‘Abd al-Razzaq bin Hammam (1972/1392), op. cit., j. 5, Kitab al-Maghazi, h. 392-394, No. Hadith 9743
[44] al-Farisi, ‘Ala’ al-Din ‘Ali bin Balban (1993/1414), op. cit., j. 14, Kitab al-Tarikh, h. 184-186, No. Hadith 6280.
[45] Al-Tabarani, Abi al-Qasim Sulayman bin Ahmad (1983/1404), al-Mu‘jam al-Kabir, j. 7, c. 2, al-Qahirah : Maktabah Ibn Taymiyyah, h. 156-157, No. Hadith 6601.
[46] Al-Naysaburi, Abi ‘Abd Allah al-Hakim (1997/1417), al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayn, j. 3, c. 1, al-Qahirah : Dar al-Haramayn, Kitab al-Hijrah, h. 7-8, No. Hadith 4328.
[47] al-Bayhaqi (1988/1408), Dala’il. op. cit., j. 2, h. 485-486.
[48] Lafaz awal daripada nukilan riwayat Ibn Ishaq (m. 151H). Lihat, Al-Ma‘afiri, Abi Muhammad ‘Abd al-Malik bin Hisyam (1998/1418), op. cit., j. 2, h. 88.
[49] Lafaz awal riwayat al-Bayhaqi (m. 458H);
أن أخاه سراقة بن جعشم أخبره أنه لما خرج رسول الله صلى الله عليه وسلم من مكة مهاجرا إلى المدينة جعلت قريش لمن رده عليهم مائة ناقة
Lihat, al-Bayhaqi (1988/1408), Dala’il. op. cit., j. 2, h. 487-488.
[50] Lafaz awal riwayat al-Tabarani (m. 360H) melalui Musa bin ‘Uqbah (m. 141H);
أَنَّ أَخَاهُ سُرَاقَةَ بن مَالِكِ بن جُعْشُمٍ أَخْبَرَهُ، أَنَّهُ"لَمَّا خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مِنْ مَكَّةَ مُهَاجِرًا إِلَى الْمَدِينَةِ جَعَلَتْ قُرَيْشٌ لِمَنْ رَدَّهُ عَلَيْهِمْ مِائَةَ نَاقَةٍ،
Lihat, Al-Tabarani, Abi al-Qasim Sulayman bin Ahmad (1983/1404), op. cit., j. 7, h. 157-159, No. Hadith 6602.
[51] Lafaz awal riwayat al-Tabarani (m. 360H) melalui Salih bin Kaysan;
أَنَّ سُرَاقَةَ بن مَالِكٍ، أَخْبَرَهُ أَنَّهُ:"لَمَّا خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مِنْ مَكَّةَ مُهَاجِرًا إِلَى الْمَدِينَةِ، جَعَلَتْ قُرَيْشٌ لِمَنْ رَدَّهُ مِائَةَ نَاقَةٍ،
Lihat, Al-Tabarani, Abi al-Qasim Sulayman bin Ahmad (1983/1404), op. cit., j. 7, h. 159-160, No. Hadith 6603.
[52] Terdapat sedikit perbezaan kalimah dengan riwayat Musa bin ‘Uqbah (m. 141H) di dalam al-Mu‘jam al-Kabir karya al-Tabarani (m. 360H). Lihat, Yusuf bin Muhammad bin ‘Umar bin Qadi Syahbah (1991/1412), Ahadith Muntkhabah min Maghazi Musa bin ‘Uqbah, c. 1, Bayrut : Mu’assasah  al-Rayyan, h. 64. No. Hadith 3.
[53] Al-Ma‘afiri, Abi Muhammad ‘Abd al-Malik bin Hisyam (1998/1418), op. cit., j. 2, h. 89.
[54] Lafaz hadith berkenaan ialah;
...فَكَتَبَ لِي، ثُمَّ أَلْقَاهَا إِلَيَّ...
Terjemahan : ...Lalu beliau [Abu Bakr r.a.] menulis kepadaku, kemudian melemparkan kepadaku…
Lihat, Al-Tabarani, Abi al-Qasim Sulayman bin Ahmad (1983/1404), op. cit., j. 7, h. 158; al-Bayhaqi (1988/1408), Dala’il. op. cit., j. 2, h. 488; Yusuf bin Muhammad bin ‘Umar bin Qadi Syahbah (1991/1412), op. cit., h. 65.
[55] Lafaz hadith tersebut ialah;
فَكَتَبَ لِي كِتَابًا، ثُمَّ أَلْقَاهُ إِلَيَّ،
Terjemahan : Lalu beliau [Abu Bakr r.a.] menulis kepadaku [satu] tulisan, kemudian beliau melemparkan kepadaku,
Lihat, Al-Tabarani, Abi al-Qasim Sulayman bin Ahmad (1983/1404), op. cit., j. 7, h. 160.
[56] Al-Bukhari (2000/1421), Mawsu‘ah al-Hadith, op. cit., Kitab Manaqib al-Ansar, h. 319, No. Hadith 3906
[57] Al-Ma‘afiri, Abi Muhammad ‘Abd al-Malik bin Hisyam (1998/1418), op. cit., j. 2, h. 89.

4 comments

  1. Anonymous Says:
  2. Saya rasa adalah lebih baik sekiranya penuils boleh memberikan hadith yang lengkap sekali dengan isnadnya dalam takhrijnya sama ada daripada al-Bukhari, Ibn Ishaq atau sumber-sumber lain supaya pembaca dapat membuat perbandingan dengan lebih mudah.

     
  3. Artikel yang bagus... Bagaimana pula dengan perbezaan antara riwayat Imam Al-Bukhari dengan Imam Muslim tentang Sirah An-Nabawiyyah?

     
  4. Anonymous Says:
  5. This comment has been removed by a blog administrator.  
  6. Unknown Says:
  7. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

     

Post a Comment