Kembara Makna

Dalam relung-relung kasih, kita semua bersua dan berjumpa. Ada yang tidak pernah kukenal peribadinya. Tetapi aku tetap sama. Ayah dan ibu darah serupa. Mungkin cara kita melihat diri, mengubah cara kita melihat dunia.

"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276

Ayat al-Quran l Kita Suka Allah Setuju

Posted by Ahmad Saifuddin Tuesday, June 12, 2012


Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). Ali ‘Imran : 14

Huraian Ayat

Allah s.w.t. menjadikan nikmat di dunia ini sebagai hiasan dan sesuatu yang menggembirakan manusia kerana kesukaannya terhadap nikmat-nikmat itu. Seperti mana Allah s.w.t. nyatakan seperti perempuan, anak-anak, harta seperti emas dan perak, kuda, binatang ternak dan kebun-kebun tanaman.

Boleh difahami di zaman moden ini, nikmat isteri dan suami serta anak-anak sebagai nikmat rumah tangga yang dapat dinikmati dan kita gembira dan bahagia dengannya. Tujuan membina rumah tangga adalah untuk menjaga hawa nafsu dan mendapat redha Allah s.w.t. dengan ramainya keturunan. Anak yang ramai bukan untuk dibangga-bangga dan disisihkan. Lebih baik anak yang sedikit dengan didikan yang kualiti berbanding anak yang ramai yang terbiar tanpa apa-apa asuhan. Emas dan perak adalah sebagai satu simpanan kekal untuk menjamin masa depan kita dan keluarga serta dapat membantu orang lain hasil daripada peningkatan nilai pada masa depan.

Manakala kuda merupakan kenderaan yang dapat digunakan untuk bergerak demi menjaga kebajikan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Di zaman Rasulullah s.a.w., para sahabat r.a. dan selepasnya, kuda terlatih digunakan untuk berperang pada jalan Allah s.w.t. Jadi, kenderaan yang baik, dapat digunakan pada jalan yang baik demi menegakkan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara seperti mana yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ia bukan untuk dibangga-banggakan dengan banyaknya jumlah kenderaan atau modifikasi yang menarik perhatian ramai. Sebaliknya ia dijaga dan dimantapkan demi untuk meneguhkan lagi ajaran Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Binatang ternak adalah sebagai satu pelaburan yang halal yang mana kita dapat menggunakan harta kita untuk membuat pelaburan yang halal dan diterima oleh syara’. Seterusnya dapat digunakan untuk membantu saudara sesama Islam bagi meneguhkan lagi ajaran Islam secara menyeluruh. Kebun-kebun tanaman adalah hasil daripada usaha kita sendiri. Kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hasil, asalkan ia menepati syariat Islam dan halal di sisi Allah s.w.t. Semoga Allah memberi jalan penyelesaian bagi segala derita dan kesusahan kita.

0 comments

Post a Comment