Kembara Makna

Dalam relung-relung kasih, kita semua bersua dan berjumpa. Ada yang tidak pernah kukenal peribadinya. Tetapi aku tetap sama. Ayah dan ibu darah serupa. Mungkin cara kita melihat diri, mengubah cara kita melihat dunia.

"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276
Showing posts with label Buku Tulis Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Buku Tulis Ilmu. Show all posts

Mengurut Perasaan Melalui ‘Di Hamparan Shamrock’

Posted by Ahmad Saifuddin Tuesday, August 21, 2012 1 comments


Sudah sekian lama saya tidak membaca dengan tekun buku yang dianggap tidak sebaris artikel jurnal atau makalah ilmiah yang penuh nota kaki dan ulasan para sarjana silam. Masa yang ada, cukup membendung untuk membelek buku-buku sedemikian. Kerja-kerja penyelidikan bersama Tim Hadith Psikologi yang tidak pernah habis dan penulisan buku, cukup menghambat diri untuk membaca buku-buku ini.

Hari raya kedua di waktu malam, kepenatan urat dan tulang belakang setelah seharian mengharungi sesak jalan di sekitar Kota Bharu cukup membuatkan mata terlelap dalam masa 30 saat. Tertidur di ruang televisyen di rumah ibu mertua, cukup membuatkan isteri saya geram. Kerap kali saya dipesan dan dinasihati supaya tidur biarlah bertempat. Namun tubuh ini cukup penat bekerja melayan adat hari raya saban tahun.

Jam 3.25 pagi mata terbuka. Seakan ada sesuatu di mata menyebabkan ia terus terbuka dan terasa segar. Setelah berkumur dan membasuh tangan, saya terlihat sebuah buku seorang ikon ustaz terkenal di kalangan anak-anak muda. Di Hamparan Shamrock, Ku Seru Nama-Mu sudah acap kali saya melihat kelibat kaver buku ini. Saya terlintas, “Apa kena mengena Ustaz Hasrizal dengan Sham Kamikaze pemuzik rock itu?” Sudah lama saya terfikirkan begitu, namun tangan tidak pantas untuk membelek dan menekuninya.

Saya melihat jam, pukul 3.45 pagi, buku kaver berwarna biru putih itu saya buka di bahagian tengahnya, membelek dan membacanya sambil berdiri seperti menunggu sesuatu. Membaca cerita demi cerita menyebabkan saya terduduk. Nyamuk sekali sekala mengganggu telinga dan ‘menyibuk’ di hadapan mata. Saya bingkas dan membuka kipas lalu terus meniarap. Membaca kisah perjalanan belajar dan bekerja memenuhi cita-cita dan harapan bonda. Hampir-hampir saya bergenang air mata. Membaca cerita beliau dipenjara, bekerja demi sebuah cita-cita, berjuang memenuhi tujuan agama. Saya terlintas ikon muda lain yang lantang bersuara, adakah mereka pernah melalui jalan yang hampir serupa? 

Lama meniarap menekuni setiap helaian cerita beliau, terasa perasaan ini seperti diurut supaya dibetulkan urat sarafnya, dibetulkan laras nadinya. Memahami apa tujuan hidup sebenar dan makna sebuah agama. Adakah perjuangan terhenti selepas mendapat digri atau sunyi sepi selepas berjaya membeli Honda City? Saya terus membaca dan saya terpaksa ‘melompat’ apabila cerita itu ditulis oleh Puan Muna, isteri beliau. Saya minta maaf ustaz, entah mengapa, kalimah ‘saya’ dan ‘aku’ itu memberi konotasi berbeza pada saya walaupun maknanya sama.

Cerita-cerita beliau sewaktu menjadi Imam di Belfast itu cukup mengurut perasaan dan menggenggam jiwa melalui cerita-cerita orang yang datang hadir dalam setiap kisah itu. Kisah orang datang mencari kebenaran dan keyakinan dalam menjejaki pembatas antara hak dan batil seperti melenyek-lenyek sikap malas dan berat tulang ada melilit diri. Melihat sesuatu isu dari ‘mata burung’ antara satu perkara yang saya belajar dari buku ini. Bukan hanya melihat dari tingkap cermin mata manusia yang terbatas. Mendepani secara bijaksana sesuatu isu dan mengheret  kepada paksi asal serta menjauhkan ia dari kekusutan dan ‘kepelikan’, mengundang seribu satu faedah yang tidak terhitung. Mengeluarkan percaturan yang berpandukan pada jendela rasional semata-mata dan membawa kepada tawakal tulus terus kepada Tuhan boleh ‘melemaskan’ sesiapa yang mudah ‘banjir’ pada matanya. Jenuh juga memikirkan di manakah asbabnya, namun perancangan Tuhan melangkaui ruang rasional yang ada.

Selesai membaca seusai azan subuh, belikat saya baru terasa sengal. Terlalu lama meniarap membaca buku ini. Selain terhibur dengan jalan cerita, otak saya mula memproses pelbagai ibrah yang ada. Mencerna dan menilai semula apa yang patut dan apa yang tidak patut berlaku dalam hidup saya di masa hadapan.

Rupanya Shamrock itu adalah sebuah nama tempat di Eropah. Aduh! Menilai sebuah buku melalui kaver dan judulnya memang tidak adil. Untuk buku ini, tidak perlu saya letakkan berapa bintang. Buku ini penuh warna-warni pelangi kehidupan untuk dijadikan pengajaran. Mungkin ada yang berkata ‘perasan’ kepada penulisnya, melihat sebuah bas ekspres yang baru dari bahagian bawah memanglah nampak buruknya.

Ustaz Hasrizal, saya kagum dengan buku ini, ia membuka paradigma saya melihat makna hidup.

Mu'jam al-Mufahras li Alfaz al-Hadith al-Nabawi

Posted by Ahmad Saifuddin Sunday, June 10, 2012 0 comments

Mu'jam al-Mufahras li Alfaz al-Hadith al-Nabawi adalah susunan Arent J. Wensinck seorang orientalis. Wensinck tidaklah menyusun Mu’jam ini berseorangan, beliau dibantu oleh beberapa orientalis yang lain seperti Dr. Y. B. Monsej dari Universiti Leiden, Y. B. Dye Hasz, Y. B. Fonne Lone, Y. T. B. Dye Barwin dan Y. B. R. Herman. Penyusunan Mu’jam ini juga turut dibantu oleh Muhammad Fu’ad Abd al-Baqiy dari Mesir.

Kitab ini mempunyai indeks hadith-hadith dari sembilan buah kitab hadith utama atau lebih dikenali dengan panggilan Kutub al-Tis’ah. Kutub al-Tis’ah bermaksud sembilan kitab hadith utama iaitu, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan Tirmizi, Sunan Ibn Majah, Sunan al-Nasa’i, Muwatta’ Malik, Sunan al-Darimi dan Musnad Ahmad. Oleh kerana itulah ia sudah memadai apabila kita merujuk kitab Mu’jam ini dalam mencari hadith-hadith yang terdapat di dalam sembilan buah kitab hadith tersebut. Cetakan manakah sembilan buah kitab hadith yang digunakan oleh penyusun Mu’jam ini? Berikut adalah cetakan kitab-kitab tersebut :-

  1. Sahih Bukhari – iaitu kitab yang diletakkan nombor oleh Muhammad Fu’ad Abd al-Baqiy, sepertimana cetakan al-Maktabah al-Islamiyyah, Istanbul, Turki, tahun 1979M. Cetakan ini terdapat dalam 4 jilid dan terbahagi kepada 8 juzuk. Atau seperti mana kitab syarah Sahih Bukhari iaitu Fath al-Bari yang disusun oleh al-Syeikh Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz cetakan al-Salafiyyah.
  1. Sahih Muslim – dicetak oleh Percetakan ‘Isa al-Babiy al-Halabiy di Kaherah pada tahun 1374 H / 1955-1956 M. Cetakan ini sebanyak 5 juzuk dan juzuk yang kelima dimasukkan indeks hadith yang dilakukan oleh Muhammad Fu`ad ‘Abd al-Baqiy.
  1. Sunan Tirmizi – cetakan yang telah ditahqiq dan diletakkan nombor oleh Syeikh Ahmad Syakir bagi juzuk pertama dan kedua. Juzuk ketiga – yang  telah ditahqiq dan dinomborkan oleh Muhammad Fu`ad ‘Abd al-Baqiy. Juzuk keempat dan kelima – ditahqiq dan dinomborkan oleh Ibrahim Utwah. Namun begitu terdapat sedikit perbezaan susunan nombor bagi juzuk pertama dan kedua dengan Mu’jam Mufahras.
  1. Sunan Abu Dawud – cetakan Kaherah pada tahun 1935 M. Ditahqiq oleh Muhammad Muhyiddin ‘Abd al-Hamid sebanyak 4 jilid.
  1. Sunan al-Nasa`i – kitab syarah oleh Zahr al-Ruba, percetakan al-Syeikh Hasan Muhammad al-Mas’uwdiy dalam 8 jilid.
  1. Sunan Ibn Majah – ditahqiq oleh Muhammad Fu`ad Abd al-Baqiy cetakan Kaherah.
  1. Sunan al-Darimiy – (1) Percetakan Hajariyyah tahun 1293 H. (2) Cetakan Dar Ihya’ al-Sunnah al-Nabawiyyah di Beirut dengan tahqiq oleh al-Sayd ‘Abdullah Hasyim al-Yamani.
  1. Muwatta’ Imam Malik – dengan tahqiq Muhammad Fu`ad ‘Abd Baqiy dalam dua jilid cetakan Kaherah.
  1. Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal – cetakan al-Maymaniyyah, Mesir pada tahun 1313H dalam 6 jilid. Cetakan ini terdapat di Perpustakaan di Jabatan al-Quran dan Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis selalu menggunakan cetakan ini apabila melakukan takhrij al-hadith dengan menggunakan Mu'jam al-Mufahras ini.

Dr. Mahmud al-Tahhan meletakkan kitab ini di dalam kaedah yang khusus dalam proses mentakhrij hadith. Sekiranya kita menggunakan kaedah melalui lafaz awal matan ia memerlukan kita mengesahkan terlebih dahulu lafaz tersebut adalah lafaz yang pertama dengan tepat. Jadi, sekiranya kita ingin mencari hadith menggunakan lafaz yang berada di tengah atau diakhir matan, sudah tentu sukar untuk mencarinya dengan kaedah lafaz pertama. Jadi dengan adanya kaedah dan kitab Mu’jam ini, ia akan lebih memudahkan kita untuk mencari hadith.

Senarai sarjana dan orientalis yang terlibat bagi menyiapkan jilid pertama.



Kebanyakan orientalis yang terlibat adalah antara pakar-pakar dalam bidang manuskrip dan ilmu-ilmu Islam. Contoh, J. Horovitz adalah seorang Yahudi antara pentahqiq awal yang mentahqiq Tabaqat Ibn Sa'ad dan beberapa karya sejarah Islam lain. A. Guillaume pula adalah penterjemah Sirah Ibn Hisyam. P. Voorhoeve pula merupakan pakar manuskrip karya-karya sarjana Islam. Walau bagaimanapun, ada di antara mereka yang menulis buku-buku yang prejudis kepada Islam.

Arent Jan Wensinck

Posted by Ahmad Saifuddin Friday, June 8, 2012 5 comments


Penyusun utama bagi kitab indeks hadith-hadith yang berjudul al-Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Hadith al-Nabawi adalah Arent Jan Wensinck. Terdapat perbezaan ejaan nama iaitu terdapat ejaan Arend Jan Wensinck seperti yang terdapat di dalam al-I'lam susunan Khair al-Din al-Zirkili (Lihat al-’Ilam, j. 1, hlm. 289) Namun begitu ada juga yang menyebut Arnold James Wensinck, tetapi ejaan ini tidak tepat kerana tidak terdapat ejaan begini ini pada buku-buku karangan beliau. 


Terdapat pandangan mengatakan bahawa nama sebenar beliau adalah Arent atau Arend Johannes Wensinck, ini berdasarkan pada surat beliau sendiri yang bertarikh pada 5 Mac 1934 yang ditulis dalam bahasa Arab dengan meletakkan ringkasan nama dengan huruf Alif. Ya. Wensinck. Ya itu merujuk kepada (يوهنس) Johannes. Surat ini dihantar dari Belanda kepada Muhammad Fu`ad ‘Abd al-Baqiy di Mesir. Arent Jan Wensinck (meninggal 1939 M). (Rujuk, Miftah Kunuz al-Sunnah, alih bahasa ke Bahasa Arab oleh Muhammad Fu`ad ‘Abd Baqi, t.t.,Kaherah: Dar al-Hadith, jilid 1, hlm. (muqaddimah).




Nama penuh kitab berkenaan adalah al-Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Hadith al-Nabawi ‘an al-Kutub al-Sittah wa ‘an Musnad al-Darimiy wa Muwatta’ Malik wa Musnad Ahmad Ibn Hanbal atau dalam Bahasa Belanda ditulis Concordance Et Indices de La Tradition Musulmane Les Six Livres Le Musnad D’al-Darimi, Le Muwatta’ de Malik, Le Musnad de Ahmad Ibn Hanbal cetakan 1939 hingga 1969.

Aren Jan Wensinck


Arent Jan Wensinck dilahirkan pada 1882M bersamaan 1299H di Aarlanderveen, Belanda dan meninggal pada 1939M bersamaan 1358H. Ayah beliau bernama Johan Herman Wensinck manakala ibu beliau bernama Anna Sara Geertruida Vermeer. Wensinck berkahwin pada 3 Oktober 1912M dengan Maria Elisabet Daubanton dan mendapat dua anak lelaki dan dua anak perempuan. Beliau merupakan pensyarah Bahasa Arab di Universiti Leiden, Belanda. Beliau berkhidmat di universiti tersebut bermula 1927 hingga beliau meninggal dunia. Sering merantau ke Mesir, Syria dan negara-negara Arab lain.

Namun begitu, beliau merupakan seorang orientalis yang memusuhi Islam. Ini terdapat di dalam karya-karya beliau yang lain. Tidak dapat dikenal pasti apakah tujuan beliau menyusun kitab Mu’jam Mufahras ini. Ini kerana ia merupakan antara kitab utama dalam proses mencari dan mentakhrij hadith-hadith Nabi. Walau apa pun tujuan dan niatnya, kitab ini memberi banyak kemudahan kepada para ulama’, pelajar-pelajar dan pengkaji-pengkaji Islam di seluruh dunia.

Kisah lanjut tentang beliau boleh dibaca di pautan ini.

Belajar Sahih Muslim Dalam Masa 40 Hari?!

Posted by Ahmad Saifuddin Wednesday, June 2, 2010 2 comments

Syeikh Jamaluddin al-Qasimi menceritakan pengalaman beliau menuntut ilmu. Kata beliau;
"Alhamdulillah, aku telah menamatkan Sahih Muslim dalam masa empat puluh hari, Sunan Ibn Majah dalam masa dua puluh hari dan menamatkan Muwatta' Imam Malik selama sembilan belas hari. Manakala menamatkan Tahzib al-Tahzib, mentashihkan beberapa kesilapan yang terkandung di dalam naskah-naskah karya tersebut dan memberi keterangan tambahan bila perlu, semuanya aku lakukan dalam masa sepuluh hari."
Belajar Sahih Muslim dalam masa empat puluh hari?! Secara peribadi, saya membelek Sahih Muslim yang mengandungi beribu hadith itu helaian demi helaian pun sudah rasa tidak terdaya. Apatah lagi belajar satu persatu. Subhanallah! Membuat pembetulan pada karya Tahzib al-Tahzib yang mengandungi beribu-ribu biografi perawi hadith selama sepuluh hari mungkin tidak tercapai pada akal kita pada hari ini. Tetapi usaha ulama' silam memberi kita kemudahan untuk menyemak hadith-hadith Rasulullah s.a.w.

Semoga semangat al-Qasimi menyerap masuk ke dalam minda dan hati kita untuk meneruskan usaha menuntut ilmu walau dengan apa cara sekalipun.

Autoriti Hadis Menangani Gerakan Antihadis

Posted by Ahmad Saifuddin Sunday, May 23, 2010 2 comments

Penulis : Ishak Hj. Suliaman, Fauzi Deraman, Mohd. Muhiden Abd Rahman & Abdul Karim Ali
Judul : Autoriti Hadis Menangani Gerakan Antihadis

Penerbit : Penerbit Universiti Malaya
Halaman : 171 halaman
Harga : RM25.00
ISBN : 983-100-422-1

Buku ini muncul apabila isu anti hadis seolah-olah tenggelam dalam isu-isu semasa yang lain. Tetapi isu anti hadis ini masih menjadi api dalam sekam ketika buku ini diterbitkan. Atas inisiatif tokoh-tokoh akademik ini, buku ini berjaya diterbitkan bagi menangani gerakan anti hadis yang berleluasa secara senyap di tengah-tengah hiruk pikuk masyarakat.

Penulisan buku ini tidak memberi fokus kepada individu tertentu yang terlibat dalam gerakan anti hadis, tetapi memberi fokus kepada dakyah-dakyah serangan yang sering diputar walaupun ia sudah lapuk ditelan tulang belulang Ignaz Goldziher (1850-1921) dan konco-konconya. Penulisan ini juga ditulis secara berasingan berdasarkan judul-judul tertentu. Ia adalah gabungan daripada beberapa artikel ilmiah yang ditulis oleh empat penulis di atas dan disatukan untuk diterbitkan sebagai sumber ilmiah dalam menangani gerakan anti hadis.

Walaupun isi kandungan buku amat bagus, namun saya agak terganggu kerana terdapat beberapa kesalahan struktur ayat serta paparan teks Arab yang terlalu kecil. Mungkin pihak penerbit perlu mengemaskini layout dan suntingan yang lebih baik bagi ulang cetak yang berikutnya.

Kandungan Buku

Bab 1 : Autoriti Hadith dan Penjelasan Terhadap Kekeliruan Mengenainya
(Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman)
Bab 2 : Kedudukan dan Peranan Hadith Terhadap Islam
(Dr. Mohd. Muhiden Abd rahman)
Bab 3 : Sejarah Perkembangan Hadith
(Dr. Mohd. Muhiden Abd Rahman)
Bab 4 : Isnad Hadith Sebagai Etika Maklumat Islam
(Dr. Ishak Hj. Suliaman)
Bab 5 : Karya-Karya Hadith Dalam Tulisan Jawi
(Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman)
Bab 6 : Metodologi Muhaddithin
(Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman)
Bab 7 : Penyebaran Hadith Mawdu‘ Dan Implikasinya Kepada Masyarakat
(Dr. Mohd. Muhiden Abd Rahman)
Bab 8 : Israi’liyyat Dalam Pengajian Tafsir Dan Sunnah
(Dr. Ishak Hj. Suliaman)
Bab 9 : Pandangan Orientalis Terhadap Hadith dan Jawapannya Dari Perspektif Islam
(Dr. Mohd. Muhiden Abd Rahman)
Bab 10 : Anti Hadith: Rujukan Kepada Kitab Jima‘ al-‘Ilm
(Prof. Madya Dr. Abdul Karim Ali)
Bab 11 : Metode Imam Al-Syafi‘e dan Ulama’ di Malaysia Dalam Menangani Golongan yang Mempertikaikan Hadith
(Prof. Madya dr. Abdul Karim Ali)

Nota : 1. Prof. Madya Dr. Ishak Suliaman dan Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman adalah pensyarah Jabatan al-Quran dan Hadith, APIUM. Manakala Prof. Madya Dr. Muhiden Abd Rahman adalah pensyarah di Pusat Asasi Pengajian Islam UM di Nilam Puri dan Prof. Madya Dr. Abdul Karim Ali adalah pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, APIUM.

2. Ignaz Goldziher ialah seorang orientalis berbangsa Yahudi yang mengkaji sejarah penulisan hadith. Beliau sangat merbahaya sehingga mampu mempengaruhi umat Islam tentang teori beliau berkenaan sejarah penulisan hadith. Karya beliau yang masyhur ialah Muhammedanische Studien yang telah mempengaruhi ramai tokoh-tokoh akademik Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia. [Lebih lanjut, rujuk Mawsu’ah al-Mustasyriqin : 197-203]

Buku ini boleh dibeli di Penerbit Universiti Malaya.

Wasiat dan Hibah

Posted by Ahmad Saifuddin Saturday, May 22, 2010 1 comments

Penulis : Rizalman Muhammad dan Ishak Suliaman (2007)
Judul : Wasiat dan Hibah
Penerbit : Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Halaman : 211 halaman
Harga : RM25.00
ISBN : 978-983-3603-20-6

Tulisan ini boleh dikatakan antara tulisan terbaru dalam menganalisis hadith-hadith berkaitan mu’amalat khususnya hadith-hadith tentang wasiat dan hibah. Tulisan ini perlu diteliti oleh individu yang ingin memahami tentang wasiat dan hibah dari sudut perspektif hadith nabawi. Biasanya kita membaca isu-isu ini di dalam tulisan yang lebih menjurus kepada perbincangan feqah yang sarat dengan qawl ulama’ yang kadang-kadang perlu diteliti kembali sumber ambilannya. Jadi, buku ini membawa kita terus kepada sumber yang sebenar iaitu hadith Nabi s.a.w.

Namun hadith-hadith yang dikupas dalam tulisan ini meliputi hadith-hadith di dalam al-Kutub al-Sittah sahaja. Jadi, liputan hadith-hadith tentang wasiat dan hibah ini tidak mencapah terus kepada keseluruhan hadith. Ini kerana kemampuan penulis karya ini untuk meneliti keseluruhan hadith adalah sukar kerana susunan hadith di dalam sesetengah kitab hadith lain tidak disusun mengikut abwab al-din dan abwab al-fiqh. Selain itu, jumlah hadith di dalam sesetengah kitab hadith terlalu banyak untuk dikaji dan memerlukan tenaga dan masa yang agak banyak.

Justeru, saya mencadangkan kepada sesiapa yang berminat terhadap isu wasiat dan hibah ini, agar meneliti hadith-hadith yang terkandung di dalam kitab-kitab hadith yang lain, seperti Sahih Ibn Hibban, Sahih Ibn Khuzaymah, Sunan al-Kubra al-Bayhaqi, Musnad Ahmad bin Hanbal dan banyak lagi. Walaupun Musnad Ahmad disusun mengikut perawi sahabat, namun cetakan terkini sekarang mempunyai indeks hadith-hadith yang disusun mengikut bab-bab tertentu. Saya secara peribadi berpendapat, karya ini adalah satu usaha yang bermanfaat untuk umat Islam bagi memahami hadith-hadith Nabi s.a.w. secara tematik khususnya bidang mu’amalat.

Lazimnya, tulisan-tulisan seperti ini mengandungi beberapa kesilapan sama ada berbentuk teknikal, penggunaan istilah, isi kandungan dan sebagainya. Karya ini juga tidak terlepas daripada kelaziman ini. Kepada sesiapa yang biasa membaca tulisan bersifat akademik seperti tesis, disertasi, jurnal ilmiah, prosiding dan sebagainya, tentu akan perasan bahawa karya ini merupakan sebuah kajian akademik sama ada bersifat tesis atau disertasi. Ini jelas apabila penulis mengekalkan bab pendahuluan di dalam tulisan asal beliau yang membincangkan tentang metodologi kajian, objektif kajian dan sebagainya. Secara peribadi, perkara-perkara tersebut tidak perlu dimasukkan ke dalam tulisan ini, cukup sekadar memasukkan definisi istilah, sorotan literasi (literature review) sebagai makluman kepada pembaca tentang kajian-kajian lepas yang telah dibuat. Ikhlas saya katakan bahawa saya tidak biasa dengan perbahasan tentang wasiat dan hibah. Jadi, review saya kali ini lebih kepada perbincangan hadith.

Menurut penulis buku ini, beliau menyebut;
Hadith-hadith wasiat dan hibah banyak terdapat di dalam kitab-kitab hadith. Dalam melihat hadith-hadith tersebut, penulis hanya menumpukan kepada kitab al-Sunan al-Sittah sahaja. (h. 25)
Istilah yang saya hitamkan itu adalah istilah yang digunakan oleh penulis buku ini. Sepanjang pemahaman saya tentang genre kitab hadith ini, saya tidak pernah menemui istilah al-Sunan al-Sittah (Enam Kitab Sunan). Biasanya, saya menjumpai istilah Sunan Arba’ah (Empat Kitab Sunan). Ini kerana di dalam senarai al-Sunan al-Sittah, Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah bukan dalam kategori Kitab Sunan. Maka istilah yang digunakan penulis buku ini adalah kurang tepat dan penggunaan istilah ini berkekalan sehingga tamat buku. Istilah yang tepat adalah al-Kutub al-Sittah (rujuk nota dibawah). Kesilapan penggunaan istilah ini biasa berlaku kerana kita selalu melazimi dengan istilah berkenaan dan tiada sesiapa yang membetulkannya. Kadang kala, kita kurang suka membetulkan istilah yang diguna atau kesilapan sebutan oleh orang disekeliling kita kerana kita fikir bahawa dia akan berkecil hati atau kita fikir bahawa dia akan menganggap kita menganggap dia kurang pandai atau dangkal dalam hal itu. Kebanyakan manusia suka salahnya diperbetulkan. Sekiranya orang itu tidak suka, biarkan dia terjun dengan labu-labunya. Bukankah jika kita tersilap itu tandanya kita masih seorang manusia?

Selain itu, penulis dilihat tidak konsisten dalam menyatakan rujukan atau takhrij hadith di sesetengah tempat. Selain itu, beliau juga tidak menyatakan perawi sahabat r.a. bagi sesetengah hadith. Jadi, kita sukar menentukan siapakah sahabat r.a. yang meriwayatkan hadith berkenaan. Contohnya di dalam bab empat, halaman 136 pada topik Wasiat Rasulullah s.a.w., hadith pertama yang dinukilkan tidak dinyatakan perawi sahabat r.a., jadi kita sukar untuk kita mengetahui siapakah sahabat r.a. yang menjawab soalan berkenaan. Selain itu, takhrij yang beliau nukilkan juga tidak konsisten.

Kenapa perawi sahabat r.a. itu penting? Bagi saya, walaupun ia sekadar nama, tetapi daripada rekod sekecil itu, kita dapat mengenal pasti sama ada hadith berkenaan adalah riwayat terus daripada orang yang terlibat, atau ia adalah hadith bersifat mursal sahabi. Contohnya, pada bab empat, halaman 146 pada topik Ahli Waris Terdekat (al-Aqarib) penulis telah menukilkan hadith yang mengandugi lafaz “Wahai Safiyyah…” dan “Wahai Fatimah bint Muhammad…” Kedua-dua lafaz ini terdapat dalam satu matan hadith. Oleh kerana tiada perawi sahabat r.a. dinyatakan, saya tidak pasti sama ada Safiyyah r.a. atau Fatimah r.a. yang meriwayatkan hadith ini atau mungkin orang lain yang mendengar ucapan ini, atau mungkin orang-orang yang terlibat dalam peristiwa ini telah menceritakan kepada sahabat r.a. yang lain yang tidak hadir, lalu sahabat r.a. yang tidak hadir ini meriwayatkan hadith ini.

Walau apapun, ia satu usaha yang sangat murni bagi mengembalikan masyarakat kepada sumber asal iaitu hadith Nabawi bagi pensyariatan hukum yang diaplikasi dalam kehidupan kita. Khususnya isu berkaitan Wasiat dan Hibah. Kadang kala kita lebih suka merasai manisnya gula tanpa kita mengambil bahawa ia dari keringat petani yang menanam tebu, proses menuai dan menjadikannya ia gula yang manis pada minuman.

Bagi mendapatkan buku ini, boleh merujuk kepada laman web E-Maktabah.

Nota : Kutub al-Sittah ialah enam kitab hadith yang utama. Ia adalah Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmizi, Sunan al-Nasa’i dan Sunan Ibn Majah.

Abwab al-Din ialah bab-bab agama, biasa dimulakan dengan bab tentang iman dan seterusnya.

Abwab al-Fiqh ialah bab-bab fiqh. Susunannya lazimnya dimulakan dengan bab al-taharah, kemudian bab al-solah dan seterusnya.

Rizalman Muhammad merupakan seorang guru pendidikan Islam di SMKA Air Kuning, Mambang, Perak. Manakala Prof. Madya Dr. Ishak Suliaman adalah pensyarah di Jabatan al-Quran dan Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Sekarang beliau menyandang jawatan Timbalan Pengarah Ijazah Tinggi.

Penulis Enam Ratus Ribu Hadith

Posted by Ahmad Saifuddin Thursday, May 20, 2010 1 comments

Ada seorang kawan Imam Ahmad bin Hanbal bernama Yahya bin Ma'in. Beliau di antara ulama hadith terkenal sehingga sekarang. Ali bin al-Madini pernah berkata, "Aku belum pernah berjumpa orang yang mampu menulis sebanyak apa yang ditulis oleh Yahya bin Ma'in." Beliau menambah, "Sejak zaman Nabi Adam, aku belum pernah berjumpa orang yang mampu menulis hadith sebanyak tulisan Yahya."

Seseorang bertanya kepada Yahya, "Berapakah hadith yang tuan telah tulis?" Yahya bin Ma'in menjawab, "Aku menulis dengan tanganku ini sebanyak enam ratus ribu hadith."

Sebagai mana kita maklum, Musnad Ahmad bin Hanbal antara karya hadith terbesar. Di dalamnya ada lebih kurang 40 ribu hadith. Itupun sudah mencecah lebih lima jilid cetakan sekarang. Bagaimana pula dengan tulisan Yahya bin Ma'in ini. Karya ini tidak pernah dicetak sehingga sekarang. Sama ada manuskripnya masih wujud atau tidak, hanya Allah s.w.t. yang Tahu.

Ramai di antara kita sudah merasa hebat apabila berjaya menyiapkan tesis Ph.D setebal 300 halaman yang disiapkan dalam masa tiga hingga empat tahun. Sudah berbangga dengan tulisan kita. Sekiranya Yahya bin Ma'in masih hidup lagi sekarang, tentu beliau akan tersenyum melihat gelagat kita. Yahya bin Ma'in, penulis enam ratus ribu hadith.

Khazanah Tafsir di Malaysia

Posted by Ahmad Saifuddin 0 comments

Penulis : Mustaffa Abdullah

Judul : Khazanah Tafsir di Malaysia
Penerbit : Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Halaman : 337 halaman
Harga : RM30.00
ISBN : 978-983-43765-7-4

Secara jujur, saya ingin mengatakan bahawa tulisan ini merupakan satu-satunya tulisan yang menghimpunkan tokoh, penulis dan penyusun tafsir al-Quran di Malaysia. Tulisan-tulisan lain wujud pada tulisan-tulisan Wan Mohd Saghir serta kajian-kajian akademik sama ada disertasi, tesis, artikel jurnal dan sebagainya. Tetapi buku ini memberi fokus khusus tentang tokoh dan penulis tafsir al-Quran di Malaysia

Saya sendiri mendengar kritikan yang merendah-rendahkan tulisan ini. Mereka mengkritik adakah senarai tokoh-tokoh yang disenaraikan di dalam karya ini layak digelar tokoh? Memang benar, individu yang dimasukkan di dalam tulisan ini mungkin belum layak untuk dinobat sebagai tokoh. Tetapi jika tokoh-tokoh sahaja yang diletakkan di dalam tulisan ini, bagaimana pula dengan individu yang berusaha menulis tafsir al-Quran walaupun hanya satu karya sahaja? Adalah menjadi satu kerja untuk penulis buku ini membuat satu indikator khusus untuk membezakan yang mana tokoh dan yang mana tidak. Perbincangan tentang terminologi kalimah ‘tokoh’ ini perlu diperincikan lagi untuk mengabsahkan seseorang itu layak digelar tokoh.

Ada juga di kalangan pengkritik yang mentertawakan tulisan ini kerana memasukkan keterangan seorang individu yang pernah menulis tafsir al-Quran dengan keterangan dalam satu halaman sahaja. Memang ini berlaku pada tulisan Khazanah Tafsir di Malaysia ini. Pada bab Abu Zaky Fadzil halaman 319, penulis hanya memberi huraian ringkas tentang beliau dan karya beliau. Memang nampak kelakar apabila satu bab hanya satu halaman, tetapi bagi saya, jika tulisan ini tidak memasukkan individu yang bernama Abu Zaky Fadzil sebagai salah seorang penulis tafsir al-Quran, tentu kita tidak akan mengenali satu karya yang bertajuk Tafsir al-Quran : Tafsir al-Hidayah (1968). Walaupun karya tafsir ini mengandungi 33 halaman, tidakkah Allah s.w.t. menerima amal baik walau sebesar zarah? (al-Zalzalah : 7)

Walaupun tulisan ini amat bagus, namun ia mengandungi kesalahan yang fatal dari segi teknikal. Isi kandungan buku ini tidak menepati dengan halaman sebenar. Tetapi ia tiada kena mengena dengan penulis karya ini kerana ia melibatkan suntingan dan pembikinan layout. Tetapi kesilapan ini amat menggangu saya yang suka ‘menebuk’ buku.

Apabila kita membaca buku ini halaman demi halaman, kita akan faham bahawa penulis ini bersungguh-sungguh mendapatkan maklumat dan data untuk mempersembahkan tulisan ini dengan baik. Bagi saya ia adalah satu maklumat yang baru kerana saya tidak mengkaji perkara ini dan bagi sesetengan pengkaji, mereka hanya mengkaji satu dua orang tokoh sahaja. Jadi, buku ini memberi satu gambaran awal tentang tokoh dan karya-karya tafsir al-Quran yang wujud di Malaysia khususnya.

Walau apapun kritikan yang datang, buku ini wujud di kala pengkaji mendahagai bahan untuk mengkaji ulama’ di Nusantara khususnya di Malaysia. Kritikan yang mendatang, tidak mengurangkan kualiti buku ini. Bagi saya kesilapan-kesilapan yang wujud pada buku ini adalah biasa kerana kesilapan manusia itu biasa. Kita semua tidak luar biasa, jadi apabila kesilapan yang tidak disengajakan itu adalah biasa maka mengapa kita mesti takut untuk melakukan kesilapan kerana itu tanda kita telah lakukan sesuatu yang baik. Jika kita lakukan sesuatu yang jahat, kesilapan pada perbuatan itu tidak dikira silap kerana ia pada asalnya sudah tidak baik. Jika seseorang berkata kepada kita, “Anda silap dalam hal ini.” Itu bermakna kita telah lakukan sesuatu yang baik, cuma kita sedikit tersilap dalam sesetengah perkara. Kepada penulis buku ini, syabas! Teruskan usaha kita untuk menitipkan maklumat dan ilmu kepada masyarakat dan intelektualis.

Nota : Penulis buku ini adalah Prof. Madya Dr. Mustaffa Abdullah. Beliau adalah pensyarah di Jabatan al-Quran dan al-Hadith. Sehingga tulisan ini diletakkan, beliau masih lagi menjadi Ketua Jabatan ini.

‘Menebuk’ buku bermaksud, cara membaca dengan melihat pada isi kandungan dan memilih bab-bab tertentu untuk dibaca. Cara ini memudahkan pembaca untuk mendapatkan maklumat awal tentang kandungan buku ini. Pembacaan sebegini hanya sesuai pada buku yang memisahkan bab-bab yang dimuati. Ia tidak sesuai pada pembacaan buku-buku fiksyen seperti novel dan lain-lain. Cara ini biasanya dilakukan oleh ulat buku semasa berada di kedai-kedai buku.

Sila dapatkan buku ini di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, APIUM, hubungi 03-79676010. Jika bernasib baik, anda akan mendapat potongan harga yang menarik.

'Ulum al-Hadith

Posted by Ahmad Saifuddin 1 comments

Penulis : Fauzi Deraman

Judul : ‘Ulum al-Hadith
Penerbit : Warisan Nabawi Enterprise
Harga : RM25.00
Halaman : 164 halaman
ISBN : 978-983-43765-6-7

Bagi kami, buku ini adalah di antara buku-buku tentang mustalah al-hadith yang bernilai akademik. Di samping ia memaparkan beberapa maklumat awal tentang hubung kait antara hadith dan al-Quran, ia juga membincangkan klasifikasi hadith-hadith dengan lebih terperinci.

Menurut penulis buku ini, ia adalah salah satu bab di dalam tesis doktor falsafah (Ph.D) beliau yang bertajuk Kedudukan Hadith dalam Kitab Jawi: Satu Kajian Terhadap Karya-Karya Syeikh Dawud b. Abdullah al-Fataniy. Jadi, penulisannya dilihat agak akademik dan memaparkan beberapa perselisihan ulama’ terhadap beberapa isu yang dibincang. Ia sangat membantu pelajar-pelajar di peringkat menengah tinggi serta IPT dalam bidang pengajian Islam. Bahkan orang awam yang ingin mendalami bidang pengajian hadith, buku ini sangat membantu untuk memahami ilmu hadith. Tetapi, bagi individu yang masih baru berjinak-jinak dengan ilmu ini, beberapa istilah penting harus difahami terlebih dahulu sebelum membaca dan menelaah buku ini kerana tiada penjelasan kesemua takrifan istilah yang mungkin pembaca kurang memahaminya.

Saya sendiri terlibat secara langsung dalam melakukan kemas kini teks buku ini. Saya semak dari sudut ayat-ayat dan mungkin ada maklumat yang tidak jelas dan tertinggal semasa dalam proses penyuntingan dan sebagainya bagi penerbitan buku yang lepas dengan penerbitan yang lain. Kadang kala agak kekok untuk membetulkan buku yang ditulis sendiri oleh guru kita yang banyak membantu kita dalam memahami ilmu kepakaran mereka. Tetapi, atas kebebasan dan kepercayaan yang diberi, saya menggagahkan diri untuk memikul tugas ini.

Kesukaran yang saya hadapi ialah, kadang kala bagi sesetengah maklumat yang dinyatakan memberi maksud yang pelbagai menyebabkan saya terpaksa berterus terang dengan penulis buku ini untuk bertanyakan maklumat berkenaan. Mungkin secara zahir, ia dilihat semacam kurang ajar kerana mempertikaikan maklumat yang disampaikan beliau. Tetapi dengan sikap yang rendah diri dan tidak ambil kisah, beliau memberi penerangan berkaitan hal berkenaan. Lagipun beliau mahu menerbitkan buku ini dengan seberapa segera untuk kegunaan pelajar-pelajar beliau dan masyarakat umumnya. Semoga perkembangan ilmu hadith berkembang seiring dengan ilmu-ilmu yang lain.

Sebagai tambahan, terdapat perbincangan di dalam al-fikrah.net berkaitan buku ini. Seorang sahabat AFN memberitahu bahawa terdapat sedikit kesilapan pada nama perawi di halaman lapan. Berikut petikan tulisan beliau;
Tertulis pada halaman 8 : "Sepertimana dalam sebuah hadith Umar bin al-Hakam berkata..."

Yang benar nama perawinya ialah Mua'wiyah bin Al-Hakam As Sulami. Hadith ini diriwayatkan oleh Malik, Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'i dan lain-lain. Dalam Sahih Muslim hadith ini boleh disemak pada kitab Masjid dan tempat-tempat shalat, bab dilarang berbicara ketika shalat.
Blurb Buku;

Buku ini memberi kedudukan sebenar tata letak sunnah Muhammad s.a.w. di dalam syariat Islam. Ini adalah untuk menangkis fahaman anti hadith sama ada dari dalam atau luar masyarakat Islam bagi mengekalkan status quo sunnah Rasul s.a.w. sebagai sumber yang mendasari syariat dan hukum Islam.

Tulisan yang membahaskan ilmu-ilmu berkaitan sains hadith atau ulum al-hadith. Dengan memperincikan perbahasan yang dibawa oleh para ulama’ silam dan sekarang adalah untuk memurnikan kembali khilaf yang wujud berkaitan ilmu ini. Penelitian yang tuntas dan sederhana memberi gambaran yang jelas kepada sesiapa yang membelek setiap halaman buku ini.

Buku ini juga mampu memberi maklumat awal tentang gambaran sebenar ilmu-ilmu berkaitan sunnah Rasul s.a.w. yang disusun atur oleh para ulama’ silam dan semasa. Disenaraikan bersama contoh-contoh yang mudah difahami di samping huraian yang jelas dan terang sebagai mana yang digariskan oleh ulama’ hadith.

Boleh menjadi rujukan sama ada di peringkat menengah, pengajian tinggi hatta masyarakat awam sekalipun. Sesuai menjadi buku panduan untuk pelajaran yang berkaitan hadith, tafsir, fiqh dan sebagainya.

Nota : Penulis ialah Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman, pensyarah di Jabatan al-Quran dan Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Glosari : Blurb ialah keterangan ringkas penerbit tentang isi sesebuah buku pada jaket, kulit belakang buku dan lain-lain. [Kamus Dewan 4 : 196]