Catatan Lama : 13 Mei 2009 (Rabu)
Sakit aku terus bersambung selepas transit sementara pada hari minggu yang lepas. Sekarang bersambung kembali bermula Isnin hingga tulisan ini dititip. Mengikut maklumat dari kotak gambar berbunyi, matahari sedang berada tegak di atas garisan tropika, menyebabkan panas yang terlalu terik.
Tekak aku masih sakit, mungkin kerana kurang bercakap perkara yang baik atau kurang mengingati Empunya tekak ini. Maafkan diriku. Tentang selamat hari ibu, aku sudah lali dengan sambutan ini, kerana aku tidak menyambutnya bersama ibuku kerana sebelum aku mengetahui ada sambutan hari ibu, ibuku telah pergi lebih awal. Kira-kira dua puluh tahun yang lalu. Bagi aku, hari ibu tidak perlu disambut pada hari-hari tertentu, kerana kita semestinya menyambut hari ibu setiap hari.
Apakah kita mampu membalas jasa ibu kita hanya dengan menyambut hari berkenaan. Pada zaman Rasulullah s.a.w. dulu pernah berlaku, ada sahabat r.a. yang mendukung atau mengangkat ibunya menunaikan haji sehingga selesai. Lalu beliau berjumpa Rasulullah s.a.w. dan bertanya, adakah beliau telah berjaya membalas jasa ibunya itu. Rasulullah s.a.w. menjawab, "Kamu tidak akan dapat membalasnya walaupun kamu mendukungnya sampai mati." (Hadith ini aku tidak pasti status kesahihannya, kerana aku cuma mendengar daripada Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor di dalam kuliah kursus Ahadith Akhlak tahun 2002)
Jadi, aku rasa tidak perlu kita sambut hari ibu kerana kita semestinya mengingati ibu setiap hari setiap masa. Orang-orang yang memulakan sambutan ini adalah kerana hidup mereka terlalu mengejar dunia, sehingga mereka lupa ahli keluarga mereka. Ini yang banyak berlaku di negara Barat, apabila anak-anak ada kehidupan, mereka lupa siapa yang melahir dan menjaga mereka selama ini.
Bagi aku, ibu adalah asbab kewujudanku. Tanpa Wan Salamah Wan Ahmad maka tiadalah Ahmad Saifuddin bin Yusof yang sedang menaip patah perkataan ini sekarang. Terima kasih ibu, hanya lafaz ini kumampu.
Terima kasih ibu
Terima kasih ibu
Hanya kalimah ini sahaja yang mampu
Untukku luahkan dari rongga mulut ini
Terima kasih memberi budi
Memberi isi hati
Mengajar urus kendiri
Dari membasuh muka hingga ke kaki
Terima kasih ibu
Mengajarku menumbuk kunyit sendiri
Atau belajar membancuh air minum
Mengerti kerja seorang ibu
Untuk kufaham penat seorang perempuan
Bergelar ibu
Terima kasih ibu
Dari tingkahmu kubelajar
Hidup berdikari
Hidup mengerti penat seorang isteri
Terima kasih ibu
Hanya lafaz ini kumampu...
Kawakib Duriyah
Gombak
2 April 2009, 11.50 malam
Orang yang mencipta Hari Ibu ini kejam kerana dia tidak tahu betapa besar ertinya seorang ibu pada orang seperti aku yang saban tahun merindui. Kami merindui ibu setiap hari bukan hari tertentu.

Pelbagai yang aku lalui sejak beberapa bulan ini. Pelbagai jenis ranjau, onak dan duri aku lalui bersama keluarga. Kadang kala ada ketika kami gembira, tetapi sering kami sedih dan gundah gulana. Berhadapan dengan pelbagai jenis manusia dalam tempoh sesingkat ini. Memberi aku pelbagai erti makna hidup bahawa hidup ini adalah sememangnya tempat Allah s.w.t. menguji iman hamba-Nya.
Bertemu dengan pelbagai ragam manusia yang kadang kala membuatkan hati muak dan loya dengan gaya pakaian dan cakap mereka. Menggunakan topeng-topeng agama untuk menghalalkan segala cara. Bercakap seolah-olah dia sahaja yang hebat, dia sahaja yang benar, dia sahaja yang berhak!
Bercakap tinggi melangit seolah-olah dia mampu menukar warna langit, sedangkan di kakinya masih terpalit najis sendiri.Bercakap seolah-olah dirinya sahaja hebat, dirinya sahaja yang layak dipuji dan dipuja. Lupakah pada pepatah Melayu, "Setinggi-tinggi nyior melambai, tinggi lagi asap menjulang." Allahu Akbar, Allah jua yang Maha Hebat. Mendengar kalam berlapik ayat al-Quran dan Hadith dari orang sebegini, terdetik di hati aku, "Benarkah dia membaca ayat dan hadith itu? Apa sebenarnya berlaku dalam fikirannya?" Berbuih mulutnya menceritakan tentang kebaikan, namun hasil dan praktikalnya hanya sedikit. Benar kata pepatah Melayu lama;
Ibarat Jalak di hujung kampung, kokok berderai-derai, ekor bergelumang taik.Kita hanya mampu mendengar dan terpaksa berkumat-kamit membaca sesuatu bagi menghilangkan keresahan itu. Hanya Allah s.w.t. memahami keadaan ini. Kalam aku ini kadang kala menyedihkan hati aku kerana ia datang dari apa yang berlaku. Ingatlah kata pepatah;
Bila telunjuk menuding, tiga jari di bawah sedang menuding ke arah kita.Kesedihan yang datang ini, memberi erti yang sungguh bermakna mengenangkan ayahku dulu yang sering kerut di dahi memikirkan soal keluarga. Ya Allah, kumohon kepadamu dihilangkan resah ini. Gembirakan hatiku dan keluargaku.

Ketika saya sedang menyiapkan disertasi sarjana saya. Kajian saya lebih menjurus kepada al-Sirah al-Nabawiyyah. Lalu saya terjumpa satu ungkapan dari Rasulullah s.a.w. berkenaan nama-nama baginda. Baginda bersabda;
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَنَا مُحَمَّدٌ وَأَنَا أَحْمَدُ وَأَنَا الْمَاحِي الَّذِي يُمْحَى بِيَ الْكُفْرُ وَأَنَا الْحَاشِرُ الَّذِي يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى عَقِبِي وَأَنَا الْعَاقِبُ وَالْعَاقِبُ الَّذِي لَيْسَ بَعْدَهُ نَبِيٌّTerjemahan : Dari Muhammad bin Jubair bin Mut’im dari bapanya r..a. berkata; Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku mempunyai lima nama, Aku adalah Muhammad, Ahmad, aku juga al-Mahiy (penghapus), maksudnya Allah menghapuskan kekafiran melalui perantaraanku, aku juga al-Hasyir (penghimpun), maksudnya manusia akan berhimpun di bawah kakiku dan aku juga al-‘Aqib yang mana tidak nabi lagi selepasku.
Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Kitab al-Manaqib dan Muslim di dalam Kitab al-Fada’il. Hadith di atas adalah daripada lafaz Muslim.
Kemudian apabila kita membaca kisah-kisah para sahabat membantu Rasulullah s.a.w. menyebarkan Islam. Pelbagai cabaran dan rintangan yang dilalui oleh mereka bersama Rasulullah s.a.w. Sewaktu berlaku Peperangan Mu’tah berlaku satu peristiwa;
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى زَيْدًا وَجَعْفَرًا وَابْنَ رَوَاحَةَ لِلنَّاسِ قَبْلَ أَنْ يَأْتِيَهُمْ خَبَرُهُمْ فَقَالَ أَخَذَ الرَّايَةَ زَيْدٌ فَأُصِيبَ ثُمَّ أَخَذَ جَعْفَرٌ فَأُصِيبَ ثُمَّ أَخَذَ ابْنُ رَوَاحَةَ فَأُصِيبَ وَعَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ حَتَّى أَخَذَ الرَّايَةَ سَيْفٌ مِنْ سُيُوفِ اللَّهِ حَتَّى فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِمْTerjemahan : Dari Anas r.a., bahwasanya Nabi s.a.w. mengumumkan kematian Zaid bin Harithah, Ja’far bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah kepada para sahabat sebelum berita kematian mereka sampai. Nabi bersabda, “Bendera perang diambil oleh Zaid, lantas ia gugur, kemudian Ja’far mengambil alih benderanya, dia pun gugur, lantas diambil alih pula oleh Abdullah bin Rawahah dan dia pun gugur lalu -kedua mata baginda berlinang dengan air mata,- lantas bendera diambil oleh satu pedang dari pedang-pedang (Suyuf) Allah hingga Allah membuka kemenangan bagi mereka.
Orang terakhir yang mendapat gelaran pedang dari pedang-pedang Allah itu adalah Khalid al-Walid.
Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Kitab Manaqib dan Kitab al-Maghazi.
Kesimpulan dari dua hadith di atas, kami namakan anak kedua kami dengan mengambil kalimah seperti berikut :
Al-‘Aqib = Muhammad Rasulullah s.a.w.
Suyufillah = Zaid bin Harithah, Ja’far bin Abi Talib, Abdullah bin Rawahah dan Khalid bin al-Walid r.a.
Lalu kami namakan anak kedua ‘Aqib Suyufi. Semoga anak ini dapat mengambil semangat daripada nama-nama itu. Ya Allah, berkati dan berikan petunjuk kepada anak-anak kami.
Bersama ayahanda, bonda dan kakandamu mendepani cabaran hidup ini. Meneruskan usaha pejuang silam. Walaupun sekelumit jasa, sesenduk usaha, sesudu idea, ia tidak mengapa kerana itu tandanya kita telah lakukan sesuatu demi agama.
Ya Bunayya! Ana Sayf wa Anta Suyuf…
Ubat bagi resah dan gelisah, kedekut dan bakhil. Penawarnya adalah Solat. Allah s.w.t. berkata di dalam al-Quran;
Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Al-Ma’arij : 19-22Jom solat!


Selepas arwah ibu saya meninggal semasa saya berumur 6 tahun, dalam keadaan saya mempunyai kawan dalam kalangan sepupu sepapat bermain bersama. Jauh di sudut hati, saya kesunyian, sepi lagi kesik. Jadi, kadang kala saya berekspresi sendiri menghiburkan hati. Saya fikir elok dilupakan seketika episod syahdu rindu ini.
Saya mengenali dunia origami ini seawal usia 6 tahun atau mungkin 5 tahun melalui abang saya Muhammad Zahid Yusof. Beliau sudah tidak melipat kertas. Harap-harap beliau masih belum lupa lagi lipatan kertas itu. Hehehe Origami pertama yang beliau ajar ialah origami kamera dan katak.
Saya fikir, sudah lama saya tidak melipat kamera dan mungkin ia seakan hilang dari memori saya. Insya Allah, saya akan cuba mencarinya kembali. Hanya origami katak sahaja yang masih segar dalam ingatan saya selama 22 tahun. Allah Maha Hebat mengekalkan memori ini. Terima kasih Abg Aid. Saya masih ingat origami yang Abg Aid lipat di depan saya dahulu menggunakan kertas berwarna ungu di depan televisyen kotak kayu dan kipas. Ia mengujakan saya ketika itu. Diajarnya kepada saya satu persatu dan saya ingat langkah demi langkah lipatan tersebut.
Origami melatih saya mengingati sesuatu dengan cepat dan baik. Melatih ingatan untuk mengekalkan langkah lipatan dengan betul. Tiada latihan yang terbaik melainkan saya melakukannya berkali-kali. Sehingga ia terpasak kekal di minda saya hingga sekarang.
Namun sekarang, bukan sahaja katak yang dapat saya lipat. Tetapi ada beberapa yang saya boleh lipat. Antara yang paling saya suka selain katak ialah Iguanadon atau dinosaur T-Rex, tikus, pepatung dan beberapa benda lain lagi. Mungkin banyak lagi tetapi saya jarang berlatih buat masa sekarang menyebabkan saya lupa. Walaupun ia remeh bagi seseorang, tetapi bagi saya, ia adalah terapi yang baik untuk melepaskan tekanan dan merasai tenaga sendiri. Keremehan yang dianggap itu adalah perspektif yang relatif. Keremehan yang kita anggap itu berada di sekeliling kita, malah kita sangat bergantung kepadanya walaupun ia adalah remeh di mata kita.

Ayah saya yang mendirikan rumah tangga ketika berusia 37 tahun pada tahun 1967. Usia yang agak lewat pada masa itu bagi seorang lelaki. Ia menyebabkan saya lahir ke dunia ketika beliau sudah berusia 50an. Keadaan itu memaksa ayah bekerja walaupun dalam usia 60an untuk menyambung suapan makan ke mulut kami yang berada jauh di seberang laut atau dekat. Kepenatan seharian ayah, memberi kami erti kasihan belas kepada seseorang yang hanya memikirkan keperluan anaknya. Kadang kala dipenuhi, kadang kala terpaksa ditahan seketika. Garis-garis kedut ditubuhnya kadang kala mengundang rasa belas di hati pada ketika itu hanya belasan tahun yang perlu fokus pada belajar semata. Apakan daya, sedaya mampu cuma dapat kuhulur untuk membantu ayah. Membasuh pakaian, memasak, mengurus rumah dan sebagainya. Abang kakak berada jauh menyambung belajar meneruskan legasi ayah dalam pelajaran.
Aduhai ayah, ketika usia menjangkau 66 tahun dan kau masih membanting tulang mencari makan untuk kami semua. Tiada gunung emas yang mampu membalas. Di saat rakan-rakanmu bergelak ketawa bersama cucu di depan anjung rumah sambil menghirup kopi panas dan pisang goreng. Kau sedang mengayuh basikal pulang dari tempat kerja, hanya untuk keperluan anak-anakmu. Kisah ayah ini, kedengaran biasa di mulut sesiapa sahaja yang mempunyai ayah yang tabah. Sekadar bersyahdu sementara. Semoga Allah s.w.t. mengampuni dan merahmati Ayah, Yusof bin Mat Sah.