Penulisan karya berkaitan al-Sirah al-Nabawiyyah semakin bertambah dalam pasaran buku di Malaysia. Masyarakat Malaysia semakin berminat dengan pengkisahan cerita Nabi Muhammad dan para sahabat serta orang-orang yang terlibat dalam hidup baginda. Kualiti kisah dan cerita itu adalah berdasarkan persembahan tulisan serta sumber rujukan yang sahih dan autentik.
Karya al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa Melayu di Malaysia
Suasana penerbitan karya al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa Melayu juga mempunyai pelbagai bentuk
penulisan. Menurut Faisal Ahmad Shah,[1]
karya-karya al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa Melayu terbahagi kepada empat
bentuk; pertama, karya sastera Melayu tradisional. Contohnya seperti
Hikayat Mukjizat Nabi, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Nabi
Mikraj, Hikayat Rasulullah dan sebagainya. Namun menurut beliau, sesetengah
kisah yang terkandung di dalam karya-karya ini mengandungi unsur-unsur fiksyen
dan khurafat.[2]
Kedua, karya syair,
nazam dan burdah. Karya sebegini sangat masyhur dalam kalangan masyarakat awam.
Lazimnya karya sebegini masyhur dengan karya Maulid Barzanji dan Daiba’i dan
sebagainya.[3] Ia
biasanya didendangkan pada awal bulan Rabiul Awwal, kenduri cukur jambul,
khatam al-Quran dan keraian lain. Berdasarkan kisah-kisah yang dimasukkan ke
dalam karya-karya ini, banyak riwayat dan kisah-kisah yang tidak tepat serta
bukan berdasarkan riwayat yang sahih.[4]
Ketiga, karya al-Sirah
al-Nabawiyyah terjemahan daripada bahasa asing terutama Bahasa Arab. Sekarang
ini semakin banyak karya-karya al-Sirah al-Nabawiyyah berbentuk terjemahan yang diterjemahkan
daripada pelbagai karya yang masyhur. Antara Fiqh al-Sirah karya Syeikh
Ramadhan al-Buti, Rahiq al-Makhtum karya Safi al-Rahman al-Mubarakfuri, Hayat
Muhammad karya Hussein Haykal, Muhammad s.a.w. Ka’annaka Tarahu karya
Dr. Aidh bin ‘Abdullah al-Qarni,[5]
al-Sirah al-Nabawiyyah karya Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi[6]
dan lain-lain. Selain itu, terdapat juga karya-karya terjemahan yang
diterjemahkan daripada karya-karya turath seperti Sirah Ibn Hisyam,
Keempat ialah
karya-karya al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa Melayu yang ditulis oleh
penulis tempatan dengan gaya bahasa tersendiri. Apabila kita perhatikan di
kedai-kedai buku sama ada berskala kecil atau besar, kita akan dapati terdapat
pelbagai karya-karya al-Sirah al-Nabawiyyah yang ditulis oleh penulis tempatan.
Antaranya, Lahirnya Cahaya Kebenaran Sejarah Hidup Nabi Muhammad s.a.w.
oleh Haji Husseiny Zambur,[7]
Sirah Muhammad oleh Haji Mohd Rashad Shamsuddin,[8]
Kisah Kehidupan Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. oleh Abu Hikmah al-Husni,[9]
Sirah dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad s.a.w. oleh Abu Mazaya al-Hafiz,[10]
Fiqh al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah oleh Haji ‘Abdul Hadi Awang,[11]
Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar Nabi Muhammad s.a.w. oleh Tarikuddin bin Haji
Hassan,[12]
Biografi Muhammad bin Abdullah oleh Zulkifli Mohd. Yusoff dan Noor Naemah Abd.
Rahman[13]
dan sebagainya.
Bentuk karya yang keempat ini akan menjadi fokus bagi artikel ini. Namun
penulis hanya memilih beberapa karya daripada senarai di atas. Usaha ini hanya
untuk mengenal pasti sejauh mana kepekaan penulis karya berkenaan terhadap
sumber riwayat dan takhrij al-hadith bagi kisah-kisah yang dimuati. Walau
bagaimanapun, sorotan ringkas telah dilakukan oleh Dr. Faisal Ahmad Shah di
dalam tulisan beliau.[14]
Sorotan Kisah dan Takhrij Dalam Karya al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa
Melayu
Penulis telah memilih peristiwa Hijrah al-Rasul ke Madinah sebagai fokus
tulisan ini termasuk beberapa sub-kisah seperti Asma’ binti Abu Bakr r.a.
memotong tali pinggang dan kisah Suraqah bin Malik r.a. mengejar Nabi s.a.w.
Apabila diperhatikan secara sepintas lalu penulisan karya sirah Bahasa Melayu
di Malaysia ini, kebanyakan karya-karya sebegini tidak menitikberatkan
kesahihan kisah berkenaan dan nukilan sumber bagi kisah-kisah berkenaan. Namun
terdapat juga karya menukilkan kisah dengan disertakan sumber riwayat tersebut.
Sebagai contoh di dalam Fiqh al-Harakah, Haji ‘Abdul Hadi dengan jelas menyebut
sumber pada kisah Suraqah bin Malik r.a. mengejar Nabi s.a.w. itu daripada
riwayat al-Bukhari.[15]
Jadi, di sini kita lihat kepekaan penulis terhadap sumber riwayat. Namun, tidak
dinyatakan takhrij yang lengkap bagi kisah tersebut dan berkemungkinan
atas-atas sebab tertentu.
Kisah Hijrah Rasulullah ke Madinah
Apabila dilihat pada karya sirah Bahasa Melayu, kebanyakan kisah-kisah yang
dimasukkan adalah bercampur-campur antara riwayat yang sahih dan sebaliknya.
Boleh dikatakan, majoriti karya akan mengambil riwayat daripada Sirah Ibn
Hisyam sebagai sumber utama kerana ini adalah antara karya al-Sirah al-Nabawiyyah
terawal dan terkenal.
Di dalam tulisan Abu Mazaya al-Hafiz dan Abu Hikmah al Husni, beliau telah
menukilkan kisah hijrah Rasulullah s.a.w. dari rumah baginda s.a.w. dengan
kisah Ali bin Abi Talib r.a. tidur di tempat baginda. Manakala kisah Nabi
s.a.w. berhijrah dari rumah Abu Bakr al-Sidddiq r.a. tidak dimuati.[16]
Manakala pada karya-karya yang lain, kedua-dua kisah di atas dinukilkan
bersama. Kebiasaannya, kisah Rasulullah s.a.w. berhijrah dari rumah Abu Bakr
al-Siddiq r.a. tidaklah begitu masyhur di Malaysia, menyebabkan kisah hijrah
dari rumah baginda s.a.w. dengan Ali r.a. tidur di tempat baginda s.a.w. lebih
diungguli, walaupun kisah Nabi s.a.w. berhijrah dari rumah Abu Bakr r.a. juga
terkandung di dalam Sirah Ibn Hisyam.
Bagi kisah Hijrah Nabi s.a.w. dari rumah Abu Bakr r.a., penulis mendapati
terdapat beberapa karya yang memuatkan kisah ini, antaranya tulisan Haji ‘Abdul
Hadi Awang,[17]
Haji Mohd Rashad Shamsuddin[18]
dan Haji Husseiny Zambur.[19]
Namun apa yang membezakan antara karya-karya ini, kisah yang dikemukakan adalah
sama ada daripada riwayat dari karya hadith terutama Sahih al-Bukhari atau
karya sirah khususnya Sirah Ibn Hisyam.
Apabila ditelusuri kisah ini di dalam karya hadith khususnya Sahih
al-Bukhari dan Sirah Ibn Hisyam, kita akan mendapati kisah Nabi
s.a.w. berhijrah dari rumah Abu Bakr al-Siddiq r.a. terdapat pada kedua-dua
karya ini melalui riwayat daripada ‘Urwah bin al-Zubayr daripada ‘A’isyah binti
Abu Bakr r.a. Walau bagaimanapun kedua-dua matan kedua-dua riwayat kisah ini
adalah berbeza. Berikut adalah perbezaan kedua-dua riwayat bagi kisah ini;
Riwayat al-Bukhari (m.
256H);
قَالَ ابْنُ شِهَابٍ قَالَ عُرْوَةُ قَالَتْ عَائِشَةُ فَبَيْنَمَا
نَحْنُ يَوْمًا جُلُوسٌ فِي بَيْتِ أَبِي بَكْرٍ فِي نَحْرِ الظَّهِيرَةِ قَالَ
قَائِلٌ لِأَبِي بَكْرٍ هَذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
مُتَقَنِّعًا فِي سَاعَةٍ لَمْ يَكُنْ يَأْتِينَا فِيهَا
Takhrij : Sahih al-Bukhari di dalam Kitab Manaqib al-Ansar,[20]
Sahih Ibn Hibban di dalam Kitab al-Tarikh,[21]
Sunan Abu Dawud di dalam Kitab al-Libas,[22]
Musnad Ahmad[23] dan Musannaf ‘Abd al-Razzaq di dalam Kitab al-Maghazi.[24]
Riwayat Ibn
Ishaq (m. 151H);[25]
قَالَ ابْنُ إسْحَاقَ : فَحَدّثَنِي مَنْ لَا أَتّهِمُ عَنْ
عُرْوَةَ بْنِ الزّبَيْرِ ، عَنْ عَائِشَةَ أُمّ الْمُؤْمِنِينَ أَنّهَا قَالَتْ كَانَ
لَا يُخْطِئُ رَسُولُ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ أَنْ يَأْتِيَ بَيْتَ
أَبِي بَكْرٍ أَحَدَ طَرَفَيْ النّهَارِ إمّا بُكْرَةً وَإِمّا عَشِيّةً
Takhrij : Selain daripada riwayat Ibn Ishaq di dalam Sirah Ibn Hisyam, penulis
tidak menemuinya di dalam karya-karya hadith yang lain, melainkan di dalam Tarikh al-Tabari[26] dan Bidayah wa al-Nihayah.[27] Kedua-duanya melalui riwayat Ibn Ishaq (m.
151H) juga.
Secara makna, riwayat Ibn Ishaq (m. 151H) di atas
boleh diterima secara umum. Namun apa yang membezakannya dengan riwayat
al-Bukhari (m. 256H) adalah pada beberapa babak. Contohnya, di dalam riwayat
Ibn Ishaq (m. 151H), apabila Rasulullah s.a.w.
meminta Abu Bakr al-Siddiq r.a.
menemani baginda untuk berhijrah;
قَالَتْ فَوَاَللّهِ مَا شَعُرْت قَطّ قَبْلَ ذَلِكَ
الْيَوْمِ أَنّ أَحَدًا يَبْكِي مِنْ الْفَرَحِ حَتّى رَأَيْت أَبَا بَكْرٍ
يَبْكِي يَوْمئِذٍ
Terjemahan : ‘A’isyah berkata, “Demi Allah, hingga kini
aku belum pernah melihat seseorang menangis kerana gembira sehingga aku melihat
Abu Bakr menangis ketika ini…[28]
Manakala pada riwayat al-Bukhari (m. 256H) babak ini tidak wujud sama sekali.[29]
Kisah ini dapat dilihat pada tulisan Haji Husseiny bin Zambur yang beliau
menukilkan riwayat Ibn Ishaq (m. 151H) di atas.[30]
Manakala riwayat al-Bukhari (m. 256H) pula dinukilkan oleh Haji ‘Abdul Hadi
Awang[31]
dan Haji Mohd Rashad Shamsuddin[32]
dalam tulisan masing-masing.
Kisah Asma’ binti Abu Bakr r.a. Memotong Tali Pinggang
Pada kebanyakan tulisan al-Sirah al-Nabawiyyah dalam Bahasa Melayu,
penulis mendapati kisah Asma’ binti Abu Bakr r.a. memotong tali pinggang ini
berlaku semasa Rasulullah s.a.w. bersembunyi di Gua Thur. Berdasarkan pada
sumber riwayat, kisah ini diambil daripada Sirah Ibn Hisyam. Walau
bagaimanapun, riwayat yang terkandung di dalam Sirah Ibn Hisyam ini adalah
riwayat daripada Ibn Ishaq (m. 151H) tanpa apa-apa sumber dari para sahabat
r.a. Riwayat tersebut adalah seperti berikut;
Ibn Ishaq berkata “Rasulullah berada di Gua Thur selama tiga hari bersama
Abu Bakr. Kaum Qurasy telah menyediakan hadiah sebanyak seratus ekor unta bagi
sesiapa yang dapat mengembalikan baginda [s.a.w.] kepada mereka. Manakala
Abdullah bin Abu Bakr berada dalam kalangan Qurasy pada waktu siang hari bagi
mendengar perencanaan dan perbualan mereka tentang Rasulullah s.a.w. dan Abu
Bakr, kemudian beliau datang kepada Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakr bagi
melaporkan maklumat berkenaan. Kemudian ‘Amir bin Fuhayrah mawla Abu Bakr yang
mengembala kambing bersama penduduk Makkah datang pada waktu petang membawa
kambing Abu Bakr, lalu mereka memerah [susu] dan menyembelihnya. Jika Abdullah
bin Abu Bakr pulang ke Makkah, ‘Amir bin Fuhayrah berjalan mengikut jejaknya
dengan kambing hingga menghapus jejak kaki. Sehingga tiga hari, setelah
penduduk [Makkah] tidak membicara tentang mereka berdua (Nabi s.a.w. dan Abu
Bakr r.a.). Lalu datang orang yang diupah kepada mereka berdua (Nabi s.a.w. dan
Abu Bakr r.a.) dengan membawa unta. Kemudian Asma’ bint Abu Bakr datang
kepada mereka berdua dengan membawa sufrah (bekalan makanan). Beliau terlupa
mengikat bekalan tersebut, apabila [Nabi s.a.w. dan Abu Bakr] mahu berangkat,
Asma’ mahu mengikat [bekalan makanan itu] tetapi tiada pengikat, lalu beliau
membuang tali pinggangnya dan menjadikannya pengikat lalu beliau mengikat
[bekalan tersebut]. Oleh kerana itu, [beliau] digelar Asma’ bint Abu Bakr Dhat
al-Nitaqayn (Pemilik Dua Tali Pinggang).”[33]
Kisah ini dilihat pada tulisan Haji Mohd rashad Shamsuddin[34]
dan Haji ‘Abdul Hadi Awang.[35]
Tetapi ini berbeza dengan riwayat yang sahih dalam Sahih al-Bukhari. Riwayat
al-Bukhari (m. 256H) di dalam Kitab Manaqib al-Ansar dengan jelas
menyebut daripada riwayat ‘A’isyah r.a. bahawa peristiwa ini berlaku di rumah
Abu Bakr r.a.;
‘A’isyah berkata, “Lalu kami menyiapkan
kedua unta itu dengan persiapan secepatnya. Kemudian kami membuatkan bekal
untuk mereka berdua di dalam sufrah. Lalu Asma’ bint Abu Bakar memutus ikat pinggangnya dan
mengikatkannya pada muncung bekalan itu. Oleh yang demikian, beliau digelar
dengan Dhat al-Nitaqayn (wanita yang memiliki dua tali pinggang).” [‘A’isyah] berkata, “Kemudian Rasulullah saw. dan Abu Bakar menyusul ke gua di Bukit Thawr, dan mereka bersembunyi di situ tiga
malam.”[36]
Jelas di sini bahawa babak ini berlaku di dalam
rumah Abu Bakr r.a. sewaktu Nabi s.a.w. dan Abu Bakr
r.a. mahu memulakan perjalanan mereka. Manakala bagi riwayat Asma’ r.a.
pula;
Daripada Asma’ r.a., [katanya], “Aku menyediakan
bekalan [di dalam] sufrah untuk Nabi s.a.w. dan Abu Bakr ketika mereka mahu menuju ke Madinah.” Lalu aku berkata kepada
ayahku, “Aku tidak temui sesuatu yang [boleh] mengikat [bekalan ini] kecuali
tali pinggangku ini.” [Ayahku] berkata, “Maka belahlah ia.” Lalu aku melakukan
demikian dan aku digelar Dhat al-Nitaqayn. Ibn ‘Abbas berkata, “Asma’ Dhat al-Nitaqayn.”[37]
Riwayat Asma’ r.a. di atas tidak
dimuatkan di dalam riwayat ‘A’isyah r.a. dan tidak dinyatakan tempat berlakunya
peristiwa berkenaan. Mungkin boleh diandaikan bahawa kemungkinan peristiwa ini
berlaku dua kali di tempat yang berbeza iaitu di rumah Abu Bakr r.a. dan di Gua
Thur. Tetapi, apabila diteliti pada pengulangan hadith di dalam Sahih
al-Bukhari pada kitab-kitab yang lain, hadith Asma’ r.a.
didapati berulang di bahagian lain iaitu di dalam Kitab al-Jihad, Bab Haml al-Zad fi al-Ghazw dengan beberapa perincian yang lebih jelas.
Hadith tersebut adalah;
عَنْ أَسْمَاءَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ صَنَعْتُ سُفْرَةَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ فِي بَيْتِ أَبِي بَكْرٍ حِينَ أَرَادَ أَنْ يُهَاجِرَ إِلَى
الْمَدِينَةِ...
Terjemahan : Daripada Asma’ r.a., katanya,
“Aku menyediakan bekalan [di dalam] sufrah untuk Nabi s.a.w. di rumah Abu Bakr ketika
mereka berangkat [untuk] berhijrah ke Madinah…”[38]
Berdasarkan lafaz yang digariskan di atas, jelas bahawa riwayat Asma’ r.a.
memotong tali pinggang itu berlaku di rumah Abu Bakr r.a. dan ini bercanggah
dengan riwayat Ibn Ishaq (m. 151H) yang mengatakan berlaku di Gua
Thur. Justeru, riwayat al-Bukhari (m. 256H) diunggulkan kerana kekuatan riwayat
serta sumber yang jelas dan autentik.
Kisah Suraqah bin Malik Mengejar Nabi s.a.w.
Bagi kisah ini, kebanyakan penulis jarang memberi perhatian terhadap sumber
riwayatnya. Lazimnya ia diambil daripada riwayat yang terkandung di dalam Sirah
Ibn Hisyam. Namun terdapat juga penulis karya sirah mengambil riwayat kisah
ini daripada karya hadith terutama Sahih al-Bukhari. Contohnya pada
tulisan Haji Husseiny bin Zambur,[39]
beliau mengambil riwayat kisah ini daripada riwayat Ibn Ishaq di dalam Sirah
Ibn Hisyam. Manakala Haji ‘Abdul Hadi Awang dengan jelas menyatakan bahawa
kisah ini di ambil daripada Sahih al-Bukhari.[40]
Jika dilihat secara makna, riwayat kedua-dua sumber di atas adalah hampir sama
dan boleh dikatakan ia tidak banyak beza. Bahkan riwayat daripada Ibn Ishaq (m.
151H) itu diriwayatkan secara mawsul melalui riwayat al-Zuhri (m. 124H)
daripada Suraqah bin Malik r.a.
Berikut adalah takhrij kedua-dua riwayat kisah ini;
Riwayat al-Bukhari (m.
256H);
سُرَاقَةَ بْنَ جُعْشُمٍ يَقُولُ جَاءَنَا رُسُلُ كُفَّارِ قُرَيْشٍ يَجْعَلُونَ فِي رَسُولِ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ دِيَةَ كُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا
مَنْ قَتَلَهُ أَوْ أَسَرَهُ...
Terjemahan : Suraqah bin Ju‘syum berkata, “Kelompok
[daripada] orang-orang kafir Quraysy telah mejadikan Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakr [r.a.] sebagai tawaran hadiah bagi setiap seorang [kepada sesiapa]
yang membunuh atau menawannya...
Takhrij : Diriwayatkan di
dalam Sahih al-Bukhari di dalam Kitab Manaqib al-Ansar,[41]
Ahmad (m. 223H) di dalam al-Musnad,[42]
‘Abd al-Razzaq al-San‘ani (m.
211H) di dalam al-Musannaf pada Kitab al-Maghazi,[43]
juga diriwayatkan di dalam Sahih Ibn Hibban pada Kitab
al-Tarikh[44]
dan al-Mu‘jam al-Kabir al-Tabarani.[45] Semua riwayat di atas adalah melalui
riwayat Ma‘mar bin Rasyid (m. 153H) daripada al-Zuhri (m.
124H). Selain itu, hadith ini juga diriwayatkan oleh al-Hakim (m.
405H) di dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayn pada Kitab al-Hijrah melalui sumber yang
sama.[46]
Al-Bayhaqi (m. 458H) juga meriwayatkan hadith ini
melalui riwayat ‘Uqayl daripada al-Zuhri (m. 124H) di dalam Dala’il al-Nubuwwah dengan
lafaz yang ringkas.[47]
Riwayat Ibn Ishaq (m.151H)
سُرَاقَةَ بْنِ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ ، قَالَ لَمّا خَرَجَ
رَسُولُ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ مِنْ مَكّةَ مُهَاجِرًا إلَى
الْمَدِينَةِ، جَعَلَتْ قُرَيْشٌ فِيهِ مِئَةَ نَاقَةٍ لِمَنْ رَدّهُ عَلَيْهِمْ.
Terjemahan : Suraqah bin Malik bin Ju‘syum berkata, “Apabila Rasulullah s.a.w. keluar daripada Makkah
[untuk] berhijrah ke Madinah, kaum Quraysy telah [menawarkan] seratus ekor unta
untuk sesiapa yang [berjaya] mengembalikan baginda kepada mereka.[48]
Takhrij : Selain daripada riwayat Ibn Ishaq (m.
151H), ia juga diriwayatkan oleh al-Bayhaqi (m.
458H) di dalam Dala’il al-Nubuwwah melalui riwayat Musa bin
‘Uqbah (m. 141H) daripada al-Zuhri (m. 124H).[49]
Manakala al-Tabarani (m. 360H) di dalam al-Mu‘jam al-Kabir pula terdapat dua
riwayat dari sumber yang berbeza. Pertama, melalui riwayat Musa bin
‘Uqbah (m. 141H),[50]
kedua, melalui riwayat Salih bin Kaysan.[51]
Selain itu, hadith ini juga dimuatkan di dalam Ahadith Muntkhabah min Maghazi Musa bin ‘Uqbah.[52]
Walau bagaimanapun, riwayat yang terkandung di
dalam Sirah Ibn Hisyam mempunyai penambahan atau idraj pada matan
riwayat tersebut. Tambahan lafaz tersebut ialah;
...فَكَتَبَ
لِي كِتَابًا فِي عَظْمٍ أَوْ فِي رُقْعَةٍ أَوْ فِي خَزَفَةٍ ثُمّ أَلْقَاهُ إلَيّ...
Terjemahan : ... Maka beliau (Abu Bakr r.a.) telah menulis kepadaku satu
tulisan pada tulang atau pada kepingan kulit atau pada tembikar kemudian
beliau melemparkan tulisan [itu] kepadaku...[53]
Lafaz yang digariskan di atas adalah penambahan pada matan yang terdapat
pada riwayat Ibn Ishaq (m. 151H) di dalam Sirah Ibn Hisyam. Lafaz
ini tidak terdapat pada hadith yang diriwayatkan oleh Musa bin
‘Uqbah (m. 141H)[54]
dan Salih bin Kaysan[55]
di atas.
Apa yang membezakan kedua-dua riwayat ini adalah pada babak Suraqah r.a.
meminta Nabi s.a.w. menulis surat keamanan kepada beliau. Babak tersebut adalah
seperti berikut;
Riwayat al-Bukhari (m.
256H)
فَسَأَلْتُهُ أَنْ يَكْتُبَ لِي كِتَابَ أَمْنٍ فَأَمَرَ
عَامِرَ بْنَ فُهَيْرَةَ فَكَتَبَ فِي رُقْعَةٍ مِنْ أَدِيمٍ
Terjemahan : Maka aku (Suraqah) meminta
kepada baginda agar menulis kepadaku tulisan (surat) keamanan, lalu
baginda menyuruh ‘Amir
bin Fuhayrah,
maka [‘Amir pun] menulis pada kulit yang telah
disamak.[56]
Riwayat Ibn Ishaq (m.
151)
قُلْت : تَكْتُبُ لِي كِتَابًا يَكُونُ آيَةً بَيْنِي
وَبَيْنَك. قَالَ اُكْتُبْ لَهُ يَا أَبَا بَكْرٍ.
Terjemahan : Aku (Suraqah) berkata :
“Tuliskan kepadaku satu tulisan (surat) [yang menjadi] bukti antaraku dan
engkau.” Baginda berkata, “Tuliskanlah kepadanya wahai Abu Bakr.”[57]
Di dalam riwayat al-Bukhari (m. 256H) Rasulullah s.a.w. dilihat menyuruh ‘Amir
bin Fuhayrah r.a. menuliskan tulisan berkenaan. Manakala, di dalam riwayat Ibn Ishaq (m.
151H) pula, Rasulullah s.a.w. dengan jelas meminta Abu Bakr
r.a. menuliskan surat tersebut. Melalui perbezaan ini, kita dapat mengenal
pasti kisah ini diambil sama ada daripada Sahih al-Bukhari atau Sirah
Ibn Hisyam.
Kesimpulan
Hasil daripada penelitian di atas, kita dapat simpulkan bahawa kisah-kisah
di dalam karya-karya al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa Melayu perlu disemak dan
disaring dengan menggunakan kaedah takhrij al-hadith. Melalui aplikasi yang
pelbagai dalam era teknologi maklumat sekarang ia akan lebih mudah. Saranan
penulis kepada pengarang karya atau buku pelajaran al-Sirah al-Nabawiyyah
adalah perlu diteliti dan disemak terlebih dahulu kisah-kisah yang akan
dimuatkan di dalam tulisan masing-masing.
Ahmad Saifuddin Yusof (2011)
Ia adalah petikan daripada sebahagian tulisan penulis dalam satu bab bertajuk, “Kepentingan Takhrij al-Hadith Terhadap Penulisan al-Sirah al-Nabawiyyah Bahasa Melayu : Sorotan Terhadap Kisah dan Karya Terpilih.” Faisal Ahmad Shah & Fauzi Deraman et. al. (2011), Takhrij Hadith di Nusantara : Keperluan Masa Kini, c. 1, Jabatan al-Quran dan Hadith, APIUM : Kuala Lumpur, halaman 425-446.
[1] Beliau merupakan pensyarah kanan dalam bidang hadith di Jabatan al-Quran
dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
[2] Faisal Ahmad Shah
(2007), “Aplikasi Metode Ulama Hadith Dalam Karya-karya Sirah Nabi Berbahasa
Melayu,” Prosiding Seminar Warisan Nabawi yang di adakan di De Palm Garden
Hotel, Putrajaya pada 11-12hb. Julai 2007 anjuran Universiti Sains Islam Malaysia ,
h. 211.
[3] Lihat, Syeikh Jaafar
al-Barzanj (1999), Terjemahan Berzanji Lengkap, terj. Mohd Sofwan
Amrullah, Selangor : Pustaka Ilmi; Zulkifli Mat Isa, Maulid Barzanji dan
Daiba’i, Johor Bharu : Perniagaan Jahabersa.
[4] Faisal Ahmad Shah, op. cit. h. 212. Lihat juga, Rasul bin Dahri
(t.t.), Kemungkaran Dalam Kitab Berzanji & Perayaan Maulid Nabi Syirik,
Khurafat dan Tahayul, (versi ebook) di http://www.scribd.com/doc/4738097/Kemungkaran-dalam-Kitab-Berzanji-dan-Maulid-Nabi
[5] Karya ini
diterbitkan oleh al-Hidayah Publishers. Lihat, Aidh bin Abdullah al-Qarni, Kisah
Kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. (Intisari Dari Sirah), Kuala Lumpur :
al-Hidayah Publishers.
[6] Diterbitkan oleh Jasmin Enterprise. Lihat,
Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi (2007), As-Sirah An-Nabawiyyah.
Kuala Lumpur : Jasmin Enterprise.
[7] Haji Husseiny
Zambur (2009), Lahirnya Cahaya Kebenaran Sejarah Hidup Nabi Muhammad s.a.w.,
Kuala Lumpur : al-Hidayah Publishers.
[8] Haji Mohd Rashad
Shamsuddin (2002), Sirah Muhammad, Kuala Lumpur : al-Hidayah Publishers.
[9] Abu Hikmah al
Husni (1998), Kisah Kehidupan Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w., c.1,
Kuala Lumpur : Darul Nu‘man.
[10] Abu Mazaya
al-Hafiz (2009), Sirah dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad s.a.w., c. 5,
Kuala Lumpur : al-Hidayah Publishers.
[11] Haji ‘Abdul Hadi
Awang (2007), Fiqh al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah, Shah Alam : Dewan
Pustaka Fajar.
[12] Tarikuddin bin
Haji Hassan (2006), Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar Nabi Muhammad s.a.w.,
Johor Bharu : Perniagaan Jahabersa.
[13] Zulkifli Mohd.
Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman (2006), Biografi Muhammad bin Abdullah,
Batu Caves : PTS Publications.
[14] Faisal Ahmad Shah, op.
cit. h. 214-218.
[15] Haji ‘Abdul Hadi, op. cit. j. 1, h. 244.
[16] Abu Mazaya al-Hafiz, op. cit. h. 363-364; Abu Hikmah al
Husni, op. cit. h. 215.
[17] Haji ‘Abdul Hadi
Awang, op. cit. j. 1, h. 236.
[18] Haji Mohd Rashad
Shamsuddin, op. cit. h. 233-236.
[19] Haji Husseiny bin
Zambur, op. cit. h. 370.
[20] Al-Bukhari (2000/1421),
Mawsu‘ah al-Hadith, op. cit., Kitab Manaqib al-Ansar, h. 317-318, No.
Hadith 3905.
[21] Lafaz awal matan hadith ini adalah;
)قالت عائشة : فبينا نحن جلوس يوما في بيتنا في نحر الظهيرة
، إذ قال قائل لأبي بكر...(
Lihat, al-Farisi, ‘Ala’ al-Din ‘Ali bin
Balban (1993/1414), Sahih Ibn Hibban bi Tartib Ibn Balban, j. 14, c. 2, Bayrut :
Mu’assasah al-Risalah, Kitab al-Tarikh, h.
180, No. Hadith 6277
[22] Lafaz awal matan hadith ini adalah;
)قَالَ الزُّهْرِيُّ قَالَ عُرْوَةُ قَالَتْ عَائِشَةُ
رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بَيْنَا نَحْنُ
جُلُوسٌ فِي بَيْتِنَا فِي نَحْرِ الظَّهِيرَةِ قَالَ قَائِلٌ لِأَبِي بَكْرٍ
رَضِيَ اللَّهُ عَنْه...ُ(
Al-Sajastani, Abi Dawud Sulayman bin al-Asy‘ath bin Ishaq
al-Azdi (2000/1421), Mawsu‘ah al-Hadith op. cit., Kitab
al-Libas, h. 1521, No. Hadith 4083.
[23] Lafaz awal matan hadith ini adalah;
)قَالَ الزُّهْرِيُّ قَالَ عُرْوَةُ قَالَتْ عَائِشَةُ
فَبَيْنَا نَحْنُ يَوْمًا جُلُوسًا فِي بَيْتِنَا فِي نَحْرِ الظَّهِيرَةِ قَالَ
قَائِلَانٍ لِأَبِي بَكْر...ٍ(
Ahmad bin Muhammad bin Hanbal
(1995/1416), al-Musnad, j. 18, c. 1, al-Qahirah :
Dar al-Hadith, h. 15, No. Hadith 25502.
[24] Lafaz awal matan hadith ini adalah;
)قال الزهري : قال عروة : قالت عائشة : فبينا نحن يوما جلوسا
في بيتنا ، في نحر الظهيرة ، قال قائل لابي بكر...(
Lihat, Al-San‘ani, Abu Bakr ‘Abd al-Razzaq bin
Hammam (1972/1392), al-Musannaf, j. 5, c. 1, Johannesburg : al-Majlis al-‘Ilmi, Kitab
al-Maghazi, h. 388, No. Hadith 9743.
[25] Al-Ma‘afiri, Abi Muhammad
‘Abd al-Malik bin Hisyam (1998/1418), op.
cit., j. 2, h. 82
[26] Al-Tabari (m.
310H) telah menukilkan riwayat ini dengan sanad yang jelas melalui riwayat Ibn Ishaq (m.
151H) juga berbanding riwayat di dalam Sirah Ibn Ishaq yang dinukilkan dengan perawi yang tidak jelas.
Riwayat tersebut adalah seperti berikut;
حدثني محمد بن إسحاق، قال: حدثني محمد بن عبد الرحمن بن
عبد الله بن الحصين التميمي، قال: حدثني عروة بن الزبير، عن عائشة زوج النبي
صلى الله عليه وسلم، قالت: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم لا يخطئه أحدٌ طرفي
النهار أن يأتي بيت أبي بكر إما بكرةً، وإما عشيةً
Lihat, al-Tabari, (t.t.), Tarikh. op. cit., j. 2, h. 377.
[27] Al-Dimasyqi, ‘Imad al-Din Abi
al-Fida’ Isma‘il bin ‘Umar bin Kathir
al-Qurasyi (1997/1417), Bidayah wa al-Nihayah, j. 4, c. 1, t.t.p. : Hijr, h. 444-445.
[28] Al-Ma‘afiri, Abi Muhammad
‘Abd al-Malik bin Hisyam (1998/1418), op.
cit., j. 2, h. 82.
[29] al-Bukhari
(2000/1421), Mawsu‘ah al-Hadith, op. cit., Kitab Manaqib al-Ansar, h. 318, No. Hadith
3905.
[30] Haji Husseiny bin Zambur, op. cit. h. 370.
[31] Haji ‘Abdul Hadi Awang, op. cit. j. 1, h. 236.
[32] Haji Mohd Rashad
Shamsuddin, op. cit. h. 233-236.
[33] Al-Ma‘afiri, Abi Muhammad
‘Abd al-Malik bin Hisyam (1998/1418), op.
cit., j. 2, h. 84.
[34] Haji Mohd Rashad
Shamsuddin, op. cit. h. 235.
[35] Haji ‘Abdul Hadi
Awang, op. cit. j. 1, h. 243.
[36] Lihat, Al-Bukhari
(2000/1421), Mawsu‘ah al-Hadith, op. cit., Kitab Manaqib al-Ansar, h. 318, No. Hadith
3905.
[37] ibid., h. 319, No. Hadith 3907.
[38] ibid., Kitab
al-Jihad, h. 239, No. Hadith 2979.
[39] Haji Husseiny bin Zambur, op. cit. h. 380.
[40] Haji ‘Abdul Hadi Awang, op. cit. j. 1, h. 244.
[41] Lafaz di atas adalah lafaz awal matan
daripada matan yang panjang. Penulis menunjukkan matan tersebut adalah untuk
membezakan antara riwayat al-Bukhari (m. 256H) dan Ibn Ishaq (m.
151H). Lihat, al-Bukhari (2000/1421), Mawsu‘ah al-Hadith, op. cit., Kitab Manaqib
al-Ansar, h. 318, No. Hadith 3906.
[42] Ahmad bin Muhammad
bin Hanbal (1995/1416), op. cit., j. 13, h. 426-427, No. Hadith 17521.
[43] Al-San‘ani, Abu Bakr
‘Abd al-Razzaq bin Hammam (1972/1392), op.
cit., j. 5, Kitab al-Maghazi, h.
392-394, No. Hadith 9743
[44] al-Farisi, ‘Ala’ al-Din ‘Ali bin
Balban (1993/1414), op. cit., j. 14, Kitab al-Tarikh, h.
184-186, No. Hadith 6280.
[45] Al-Tabarani, Abi al-Qasim
Sulayman bin Ahmad (1983/1404), al-Mu‘jam
al-Kabir, j. 7, c. 2, al-Qahirah
: Maktabah Ibn Taymiyyah, h. 156-157, No. Hadith 6601.
[46] Al-Naysaburi, Abi ‘Abd
Allah al-Hakim (1997/1417), al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayn, j. 3, c. 1, al-Qahirah
: Dar al-Haramayn, Kitab al-Hijrah, h. 7-8, No.
Hadith 4328.
[47] al-Bayhaqi
(1988/1408), Dala’il. op. cit., j. 2, h. 485-486.
[48] Lafaz awal daripada nukilan riwayat Ibn Ishaq (m.
151H). Lihat, Al-Ma‘afiri, Abi Muhammad ‘Abd al-Malik
bin Hisyam (1998/1418), op. cit., j. 2, h. 88.
[49] Lafaz awal riwayat al-Bayhaqi (m.
458H);
أن أخاه سراقة بن جعشم أخبره أنه لما خرج رسول الله صلى الله
عليه وسلم من مكة مهاجرا إلى المدينة جعلت قريش لمن رده عليهم مائة ناقة
Lihat, al-Bayhaqi (1988/1408), Dala’il. op. cit., j. 2,
h. 487-488.
[50] Lafaz awal riwayat al-Tabarani (m.
360H) melalui Musa bin ‘Uqbah (m. 141H);
أَنَّ أَخَاهُ سُرَاقَةَ بن مَالِكِ بن جُعْشُمٍ
أَخْبَرَهُ، أَنَّهُ"لَمَّا خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مِنْ مَكَّةَ مُهَاجِرًا إِلَى الْمَدِينَةِ
جَعَلَتْ قُرَيْشٌ لِمَنْ رَدَّهُ عَلَيْهِمْ مِائَةَ نَاقَةٍ،
Lihat, Al-Tabarani, Abi al-Qasim Sulayman bin Ahmad
(1983/1404), op. cit., j. 7, h. 157-159, No. Hadith 6602.
[51] Lafaz awal riwayat al-Tabarani (m.
360H) melalui Salih bin Kaysan;
أَنَّ سُرَاقَةَ بن مَالِكٍ، أَخْبَرَهُ
أَنَّهُ:"لَمَّا خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مِنْ مَكَّةَ مُهَاجِرًا إِلَى
الْمَدِينَةِ، جَعَلَتْ قُرَيْشٌ لِمَنْ رَدَّهُ مِائَةَ نَاقَةٍ،
Lihat, Al-Tabarani, Abi al-Qasim Sulayman bin Ahmad
(1983/1404), op. cit., j. 7, h. 159-160, No. Hadith 6603.
[52] Terdapat sedikit perbezaan kalimah dengan
riwayat Musa bin ‘Uqbah (m. 141H) di dalam al-Mu‘jam
al-Kabir karya al-Tabarani (m.
360H). Lihat, Yusuf bin Muhammad bin ‘Umar bin Qadi
Syahbah (1991/1412), Ahadith Muntkhabah min Maghazi Musa bin ‘Uqbah, c. 1, Bayrut : Mu’assasah al-Rayyan, h. 64. No. Hadith 3.
[53] Al-Ma‘afiri, Abi Muhammad
‘Abd al-Malik bin Hisyam (1998/1418), op.
cit., j. 2, h. 89.
[54] Lafaz hadith berkenaan ialah;
...فَكَتَبَ لِي، ثُمَّ أَلْقَاهَا إِلَيَّ...
Terjemahan : ...Lalu beliau [Abu Bakr r.a.] menulis kepadaku, kemudian
melemparkan kepadaku…
Lihat, Al-Tabarani, Abi al-Qasim Sulayman bin Ahmad
(1983/1404), op. cit., j. 7, h. 158; al-Bayhaqi
(1988/1408), Dala’il. op. cit., j. 2, h. 488; Yusuf
bin Muhammad bin ‘Umar bin Qadi
Syahbah (1991/1412), op. cit., h. 65.
[55] Lafaz hadith tersebut ialah;
فَكَتَبَ لِي كِتَابًا،
ثُمَّ أَلْقَاهُ إِلَيَّ،
Terjemahan : Lalu beliau [Abu Bakr r.a.] menulis kepadaku [satu]
tulisan, kemudian beliau melemparkan kepadaku,
Lihat, Al-Tabarani, Abi al-Qasim Sulayman bin Ahmad
(1983/1404), op. cit., j. 7, h. 160.
[56] Al-Bukhari
(2000/1421), Mawsu‘ah al-Hadith, op. cit., Kitab Manaqib al-Ansar, h. 319, No. Hadith
3906
[57] Al-Ma‘afiri, Abi Muhammad
‘Abd al-Malik bin Hisyam (1998/1418), op.
cit., j. 2, h. 89.
Saya rasa adalah lebih baik sekiranya penuils boleh memberikan hadith yang lengkap sekali dengan isnadnya dalam takhrijnya sama ada daripada al-Bukhari, Ibn Ishaq atau sumber-sumber lain supaya pembaca dapat membuat perbandingan dengan lebih mudah.
Artikel yang bagus... Bagaimana pula dengan perbezaan antara riwayat Imam Al-Bukhari dengan Imam Muslim tentang Sirah An-Nabawiyyah?
Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.
Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)