Kembara Makna

Dalam relung-relung kasih, kita semua bersua dan berjumpa. Ada yang tidak pernah kukenal peribadinya. Tetapi aku tetap sama. Ayah dan ibu darah serupa. Mungkin cara kita melihat diri, mengubah cara kita melihat dunia.

"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276

Origami

Posted by Ahmad Saifuddin Thursday, May 20, 2010

Antara permainan yang saya suka sejak dari kecil hingga ke usia dewasa sekarang ialah origami. Origami ialah seni lipatan kertas yang masyhur di negara Jepun. Ramai yang memandang remeh mainan saya ini. Mereka melihat ia kebudak-budakkan walaupun origami ini masyhur di Jepun dalam pelbagai lapisan usia termasuk warga emas. Saya tidak peduli itu semua, yang penting saya gembira dengan apa yang saya lakukan. Faktor utama yang menjadikan saya suka pada origami ialah saya boleh bermain origami tanpa sesiapa. Maksudnya ia adalah permainan seorang diri. Kita boleh tersenyum sendiri, terasa gembira sendirian.

Selepas arwah ibu saya meninggal semasa saya berumur 6 tahun, dalam keadaan saya mempunyai kawan dalam kalangan sepupu sepapat bermain bersama. Jauh di sudut hati, saya kesunyian, sepi lagi kesik. Jadi, kadang kala saya berekspresi sendiri menghiburkan hati. Saya fikir elok dilupakan seketika episod syahdu rindu ini.

Saya mengenali dunia origami ini seawal usia 6 tahun atau mungkin 5 tahun melalui abang saya Muhammad Zahid Yusof. Beliau sudah tidak melipat kertas. Harap-harap beliau masih belum lupa lagi lipatan kertas itu. Hehehe Origami pertama yang beliau ajar ialah origami kamera dan katak.

Saya fikir, sudah lama saya tidak melipat kamera dan mungkin ia seakan hilang dari memori saya. Insya Allah, saya akan cuba mencarinya kembali. Hanya origami katak sahaja yang masih segar dalam ingatan saya selama 22 tahun. Allah Maha Hebat mengekalkan memori ini. Terima kasih Abg Aid. Saya masih ingat origami yang Abg Aid lipat di depan saya dahulu menggunakan kertas berwarna ungu di depan televisyen kotak kayu dan kipas. Ia mengujakan saya ketika itu. Diajarnya kepada saya satu persatu dan saya ingat langkah demi langkah lipatan tersebut.

Origami melatih saya mengingati sesuatu dengan cepat dan baik. Melatih ingatan untuk mengekalkan langkah lipatan dengan betul. Tiada latihan yang terbaik melainkan saya melakukannya berkali-kali. Sehingga ia terpasak kekal di minda saya hingga sekarang.

Namun sekarang, bukan sahaja katak yang dapat saya lipat. Tetapi ada beberapa yang saya boleh lipat. Antara yang paling saya suka selain katak ialah Iguanadon atau dinosaur T-Rex, tikus, pepatung dan beberapa benda lain lagi. Mungkin banyak lagi tetapi saya jarang berlatih buat masa sekarang menyebabkan saya lupa. Walaupun ia remeh bagi seseorang, tetapi bagi saya, ia adalah terapi yang baik untuk melepaskan tekanan dan merasai tenaga sendiri. Keremehan yang dianggap itu adalah perspektif yang relatif. Keremehan yang kita anggap itu berada di sekeliling kita, malah kita sangat bergantung kepadanya walaupun ia adalah remeh di mata kita.

1 Responses to Origami

  1. Saya suka artikel ini

    ^_^

     

Post a Comment