Mungkin saya sudah ketinggalan bas untuk berbicara tentang filem ini. Tetapi saya baru menontonnya malam tadi. Ungkapan di atas adalah kesimpulan daripada ucapan John Nash di dalam filem A Beautiful Mind lakonan Russell Crowe. Ucapan beliau ini diucapkan ketika beliau menerima Nobel Price berkaitan sumbangan beliau terhadap ekonomi moden. Ucapan beliau ini adalah seperti berikut;
"I've always believed in numbers. In the equations and logics that lead to reason; but after a lifetime of such pursuits I ask, what truly is logic? Who decides reason? My quest has take me through the physical, the metaphysical, the delusional and back, and I have made the most important discovery of my career... the most important discovery of my life. It is only in the mysterious equations of love that any logical reasons can be found."
Menurut beliau, sukar untuk menentukan apakah logik yang sebenarnya, siapa yang menentukan asbab-asbabnya? Beliau menambah, bahawa daripada Cinta, kita akan dapat menemui segala asbab-asbabnya. Benarkah begitu?
Apabila mendengar ucapan ini, terus saya terlintas kepada Rasulullah s.a.w. yang mulia. Di hati baginda hanya ada Allah s.w.t. dan perjuangannya. Perjuangannya adalah menegakkan Islam, menyampaikan Islam, mensantuni masyarakat, mendidik para sahabat dan ahli keluarga. Ketika baginda menghampiri wafat baginda s.a.w. mengungkapkan sesuatu yang menggambarkan cintanya kepada Allah s.w.t.;'Aisyah r.a. berkata, "Biasanya sewaktu Rasulullah s.a.w. sihat, baginda pernah bersabda, 'Seorang nabi tidak diwafatkan sehingga beliau melihat tempatnya di syurga kemudian dihidupkan atau disuruh memilih.' Ketika baginda menderita sakit dan menghampiri ajal, kepalanya berada di pangkuan 'Aisyah. Lalu beliau pengsan dan ketika sedar, baginda mengangkat pandangan baginda ke atap rumah lalu mengucapkan, Allahumma fi al-Rafiq al-A'la (Wahai Tuhanku, di [sisi] Teman yang Tertinggi). Aku ('Aisyah) berkata, 'Jika demikian, baginda tidak memilih kami.'
Sumber : Sahih al-Bukhari, Kitab al-Maghazi, Bab Sakit dan Wafatnya Nabi s.a.w.
Apabila cinta kepada Tuhan sampai kepada kemuncaknya, tiada asbab lain yang akan membayangi kita, melainkan Allah jua. Namun, untuk sampai ke kemuncaknya, kita haruslah mengikut jejak-jejak kekasih-Nya yang mulia, Muhammad bin 'Abdullah s.a.w., firman Allah s.w.t.;
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Ali 'Imran : 31Bagaimana mengikuti jejak-jejaknya, tiada cara lain dengan meneliti hadith-hadith Nabi s.a.w. di dalam karya-karya hadith. Kepenatan Imam al-Bukhari selama 16 tahun akan berbaloi, jika segala curahan keringatnya mengumpulkan hadith Rasulullah s.a.w. yang mulia dapat diamalkan semampunya. Usaha Ibn Hajar al-'Asqalani yang menghuraikan hadith di dalam Sahih al-Bukhari selama 30 tahun akan berbaloi jika kita dapat meneliti jejak baginda kepada kita. Amalkan bersama. Tiada sesiapa, hanya Cinta segalanya.
0 comments