Kembara Makna

Dalam relung-relung kasih, kita semua bersua dan berjumpa. Ada yang tidak pernah kukenal peribadinya. Tetapi aku tetap sama. Ayah dan ibu darah serupa. Mungkin cara kita melihat diri, mengubah cara kita melihat dunia.

"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276
Showing posts with label Kalam Firman. Show all posts
Showing posts with label Kalam Firman. Show all posts

Ayat al-Quran l Kita Suka Allah Setuju

Posted by Ahmad Saifuddin Tuesday, June 12, 2012 0 comments


Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). Ali ‘Imran : 14

Huraian Ayat

Allah s.w.t. menjadikan nikmat di dunia ini sebagai hiasan dan sesuatu yang menggembirakan manusia kerana kesukaannya terhadap nikmat-nikmat itu. Seperti mana Allah s.w.t. nyatakan seperti perempuan, anak-anak, harta seperti emas dan perak, kuda, binatang ternak dan kebun-kebun tanaman.

Boleh difahami di zaman moden ini, nikmat isteri dan suami serta anak-anak sebagai nikmat rumah tangga yang dapat dinikmati dan kita gembira dan bahagia dengannya. Tujuan membina rumah tangga adalah untuk menjaga hawa nafsu dan mendapat redha Allah s.w.t. dengan ramainya keturunan. Anak yang ramai bukan untuk dibangga-bangga dan disisihkan. Lebih baik anak yang sedikit dengan didikan yang kualiti berbanding anak yang ramai yang terbiar tanpa apa-apa asuhan. Emas dan perak adalah sebagai satu simpanan kekal untuk menjamin masa depan kita dan keluarga serta dapat membantu orang lain hasil daripada peningkatan nilai pada masa depan.

Manakala kuda merupakan kenderaan yang dapat digunakan untuk bergerak demi menjaga kebajikan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Di zaman Rasulullah s.a.w., para sahabat r.a. dan selepasnya, kuda terlatih digunakan untuk berperang pada jalan Allah s.w.t. Jadi, kenderaan yang baik, dapat digunakan pada jalan yang baik demi menegakkan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara seperti mana yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ia bukan untuk dibangga-banggakan dengan banyaknya jumlah kenderaan atau modifikasi yang menarik perhatian ramai. Sebaliknya ia dijaga dan dimantapkan demi untuk meneguhkan lagi ajaran Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Binatang ternak adalah sebagai satu pelaburan yang halal yang mana kita dapat menggunakan harta kita untuk membuat pelaburan yang halal dan diterima oleh syara’. Seterusnya dapat digunakan untuk membantu saudara sesama Islam bagi meneguhkan lagi ajaran Islam secara menyeluruh. Kebun-kebun tanaman adalah hasil daripada usaha kita sendiri. Kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hasil, asalkan ia menepati syariat Islam dan halal di sisi Allah s.w.t. Semoga Allah memberi jalan penyelesaian bagi segala derita dan kesusahan kita.

Tsunami di Dalam Al-Quran

Posted by Ahmad Saifuddin Friday, June 8, 2012 0 comments

Tsunami kerap kali melanda dalam tempoh sepuluh tahun ini. Ia adalah salah satu bencana alam dan tanda-tanda kebesaran Allah ‘azza wa jalla. Sebagai mana kita maklum, tsunami adalah berasal dari Bahasa Jepun iaitu Tsu bermaksud melimpah dan Nami bermaksud ombak. Jadi tsunami bermaksud ombak yang melimpah. Dalam ilmu oseanografi ia dikenali Ombak Laut Seismos.

Namun begitu kejadian tsunami bukanlah terjadi disebabkan peredaran angin seperti mana kejadian ombak, tetapi ia terjadi disebabkan oleh gempa bumi yang berlaku di dasar laut atau kejadian-kejadian lain yang besar di dalam atau di atas bentuk bumi pada dasar laut. Ia menyebabkan dasar laut teranjak ke atas atau ke bawah. Kemudian ia akan mengganggu lapisan air laut di bahagian atas. Lalu ombak akan terbentuk dan menghala dari kawasan gangguan dasar laut menuju ke daratan. Ombak inilah dikenali sebagai Tsunami.

Tsunami tidak begitu membahayakan di laut luas, hanya apabila tsunami memasuki air cetek, ia akan membesar dan lebih berbahaya. Di lautan luas ketinggian ombaknya kurang daripada satu meter dan jarak gelombangnya ialah berpuluh dan beratus kilometer panjang. Oleh itu, tsunami tidak dikesan oleh kapal-kapal yang lalu. Halaju tsunami semasa bergerak merentas lautan adalah tinggi, melebihi 400 knot. Manakala pengembangan tsunami yang besar semasa ia menghampiri air cetek disebabkan oleh kecerunan dan keadaan dasar lautan dan pantai. Ia sudah tentu memberi impak yang besar terhadap daratan yang berdekatan dengan pesisir pantai apabila tsunami ini melanda. Inilah yang berlaku kepada negara Jepun pada 11 Mac 2011 lepas.

Terdapat dua ayat yang jelas menyatakan hal ini. Ayat berkenaan adalah tentang suasana kejadian apabila Kiamat tiba.




“Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur.” (al-Takwir : 6)




“Dan apabila lautan pecah bercampur-baur.” (al-Infitar : 3)

Ayat-ayat ini adalah gambaran tentang keadaan pada Hari Kiamat apabila tiupan sangkakala berlaku. Apabila kita menghayati dan meneliti ayat-ayat di dalam surah ini, gambaran Hari Kiamat sungguh dahsyat.

Di dalam surah al-Infitar ayat 3 ini, Imam Fakhr al-Din al-Razi menjelaskan bahawa ia membawa kepada beberapa pengertian :

Pertama, ia menunjukkan bahawa laut-laut pada ketika itu meletup dengan meleraikan sempadan-sempadan yang wujud di antara laut-laut tersebut yang diciptakan Allah s.w.t. Laut-laut itu bersatu kerana sudah tiada sempadan lagi antaranya, kemudian berlaku goncangan dan gempa bumi untuk menghancurkan alam ini.

Kedua, pada asalnya air laut berada dalam keadaan tenang, dan apabila menjadi pecah menyebabkan ia akan meletup dan air-air laut mengalir dalam keadaan tidak teratur.

Ketiga, laut-laut tersebut akan berubah keadaannya, sama ada rupa asalnya dan ciri-cirinya.

Ayat-ayat ini menggambarkan bagaimana proses kehancuran alam ini yang berlaku pada laut-laut di dunia. Bermula dari surah al-Takwir ayat 6 kemudian surah al-Infitar ayat 3. ‘Abdullah Yusuf ‘Ali menterjemahkan al-Takwir ayat 6 adalah “When the ocean boil over with a swell” yang bermaksud “Dan apabila lautan meledak dan memecah dengan satu gelombang besar,” dan al-Infitar ayat 3 dengan “When the ocean are suffered to burst forth,” yang bermaksud “Dan apabila lautan mengalami tekanan untuk meledak keluar.” Daripada terjemahan beliau pada kedua ayat ini, dapatlah digambarkan bahawa keadaan Kiamat adalah sangat menggerunkan dan penuh gegak gempita.

Nota : Terjemahan perkataan al-Bihar pada kedua ayat berkenaan kepada ‘ocean’ adalah kurang tepat. Perkataan al-Bihar adalah kata jamak atau plural bagi al-Bahr. Manakala 'ocean' adalah bermaksud 'lautan'. Lautan dalam Bahasa Arab disebut sebagai al-Muhit. Justeru, terjemahan lebih tepat adalah ‘seas’.

Daripada ayat-ayat ini, ia menggambarkan bahawa keadaan laut yang bergelombang tidak terkawal dan mengganas memusnahkan alam ini. Ia menggambarkan bahawa tsunami yang paling besar akan berlaku. Tsunami berlaku disebabkan oleh gempa bumi yang berlaku di dasar laut atau kejadian-kejadian lain yang besar di dalam atau di atas bentuk bumi dasar laut. Di samping itu Tsunami juga boleh berlaku disebabkan pertembungan kosmik seperti meteorit yang terhempas ke laut dan ia boleh mengganggu kestabilan laut itu sendiri. Firman Allah s.w.t yang bermaksudnya, “Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak. Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu). Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur; (al-Takwir : 1-3 & 6)

Daripada ayat-ayat di atas, ia menggambarkan punca berlaku Tsunami ganas ini berlaku adalah mungkin disebabkan oleh perlanggaran kosmik apabila bintang-bintang berguguran seperti mana dalam surah al-Takwir ayat 2 di atas. Begitu juga di dalam surah al-Infitar, firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Apabila langit terbelah. Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan. Dan apabila lautan pecah bercampur-baur;”(al-Infitar : 1-3)

Apabila diperhatikan pada ayat di atas, menunjukkan bahawa mungkin Tsunami yang besar ini 
berlaku disebabkan bintang-bintang berguguran menghempas bumi dengan begitu kuat dan berlaku pertembungan kosmik sehingga membuakkan lautan dan menimbulkan gelombang yang besar seterusnya menghancurkan muka bumi yang didiami manusia.

‘Abdullah Yusuf ‘Ali menterjemahkan fujjirot (al-Infitar : 3) sebagai “suffer to burst forth” yang memberi makna tsunami yang akan berlaku akan mendapat tekanan yang amat kuat seterusnya meletup keluar dan terus menghala ke hadapan (forth) dan mengkucar-kacirkan kestabilan laut dan di situlah saat kehancuran dunia yang menggerunkan.


Gambaran-gambaran berkenaan Kiamat yang pasti berlaku banyak diterangkan oleh al-Quran, ia memberikan kita peringatan agar kita sentiasa bersedia menghadapinya dengan bekalan taqwa kepada Allah s.w.t dan itulah sebaik-baik bekalan. 


Nota : Catatan ini adalah olahan daripada latihan ilmiah sewaktu di tahun akhir pengajian di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.