Penulis : Rizalman Muhammad dan
Ishak Suliaman (2007)
Judul : Wasiat dan Hibah
Penerbit : Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Halaman : 211 halaman
Harga : RM25.00
ISBN : 978-983-3603-20-6
Tulisan ini boleh dikatakan antara tulisan terbaru dalam menganalisis hadith-hadith berkaitan mu’amalat khususnya hadith-hadith tentang wasiat dan hibah. Tulisan ini perlu diteliti oleh individu yang ingin memahami tentang wasiat dan hibah dari sudut perspektif hadith nabawi. Biasanya kita membaca isu-isu ini di dalam tulisan yang lebih menjurus kepada perbincangan feqah yang sarat dengan
qawl ulama’ yang kadang-kadang perlu diteliti kembali sumber ambilannya. Jadi, buku ini membawa kita terus kepada sumber yang sebenar iaitu hadith Nabi s.a.w.
Namun hadith-hadith yang dikupas dalam tulisan ini meliputi hadith-hadith di dalam
al-Kutub al-Sittah sahaja. Jadi, liputan hadith-hadith tentang wasiat dan hibah ini tidak mencapah terus kepada keseluruhan hadith. Ini kerana kemampuan penulis karya ini untuk meneliti keseluruhan hadith adalah sukar kerana susunan hadith di dalam sesetengah kitab hadith lain tidak disusun mengikut
abwab al-din dan
abwab al-fiqh. Selain itu, jumlah hadith di dalam sesetengah kitab hadith terlalu banyak untuk dikaji dan memerlukan tenaga dan masa yang agak banyak.
Justeru, saya mencadangkan kepada sesiapa yang berminat terhadap isu wasiat dan hibah ini, agar meneliti hadith-hadith yang terkandung di dalam kitab-kitab hadith yang lain, seperti Sahih Ibn Hibban, Sahih Ibn Khuzaymah, Sunan al-Kubra al-Bayhaqi, Musnad Ahmad bin Hanbal dan banyak lagi. Walaupun Musnad Ahmad disusun mengikut perawi sahabat, namun cetakan terkini sekarang mempunyai indeks hadith-hadith yang disusun mengikut bab-bab tertentu. Saya secara peribadi berpendapat, karya ini adalah satu usaha yang bermanfaat untuk umat Islam bagi memahami hadith-hadith Nabi s.a.w. secara tematik khususnya bidang mu’amalat.
Lazimnya, tulisan-tulisan seperti ini mengandungi beberapa kesilapan sama ada berbentuk teknikal, penggunaan istilah, isi kandungan dan sebagainya. Karya ini juga tidak terlepas daripada kelaziman ini. Kepada sesiapa yang biasa membaca tulisan bersifat akademik seperti tesis, disertasi, jurnal ilmiah, prosiding dan sebagainya, tentu akan perasan bahawa karya ini merupakan sebuah kajian akademik sama ada bersifat tesis atau disertasi. Ini jelas apabila penulis mengekalkan bab pendahuluan di dalam tulisan asal beliau yang membincangkan tentang metodologi kajian, objektif kajian dan sebagainya. Secara peribadi, perkara-perkara tersebut tidak perlu dimasukkan ke dalam tulisan ini, cukup sekadar memasukkan definisi istilah, sorotan literasi (literature review) sebagai makluman kepada pembaca tentang kajian-kajian lepas yang telah dibuat. Ikhlas saya katakan bahawa saya tidak biasa dengan perbahasan tentang wasiat dan hibah. Jadi, review saya kali ini lebih kepada perbincangan hadith.
Menurut penulis buku ini, beliau menyebut;
Hadith-hadith wasiat dan hibah banyak terdapat di dalam kitab-kitab hadith. Dalam melihat hadith-hadith tersebut, penulis hanya menumpukan kepada kitab al-Sunan al-Sittah sahaja. (h. 25)
Istilah yang saya hitamkan itu adalah istilah yang digunakan oleh penulis buku ini. Sepanjang pemahaman saya tentang genre kitab hadith ini, saya tidak pernah menemui istilah
al-Sunan al-Sittah (Enam Kitab Sunan). Biasanya, saya menjumpai istilah
Sunan Arba’ah (Empat Kitab Sunan). Ini kerana di dalam senarai
al-Sunan al-Sittah, Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah bukan dalam kategori Kitab Sunan. Maka istilah yang digunakan penulis buku ini adalah kurang tepat dan penggunaan istilah ini berkekalan sehingga tamat buku. Istilah yang tepat adalah
al-Kutub al-Sittah (rujuk nota dibawah). Kesilapan penggunaan istilah ini biasa berlaku kerana kita selalu melazimi dengan istilah berkenaan dan tiada sesiapa yang membetulkannya. Kadang kala, kita kurang suka membetulkan istilah yang diguna atau kesilapan sebutan oleh orang disekeliling kita kerana kita fikir bahawa dia akan berkecil hati atau kita fikir bahawa dia akan menganggap kita menganggap dia kurang pandai atau dangkal dalam hal itu. Kebanyakan manusia suka salahnya diperbetulkan. Sekiranya orang itu tidak suka, biarkan dia terjun dengan labu-labunya. Bukankah jika kita tersilap itu tandanya kita masih seorang manusia?
Selain itu, penulis dilihat tidak konsisten dalam menyatakan rujukan atau takhrij hadith di sesetengah tempat. Selain itu, beliau juga tidak menyatakan perawi sahabat r.a. bagi sesetengah hadith. Jadi, kita sukar menentukan siapakah sahabat r.a. yang meriwayatkan hadith berkenaan. Contohnya di dalam bab empat, halaman 136 pada topik Wasiat Rasulullah s.a.w., hadith pertama yang dinukilkan tidak dinyatakan perawi sahabat r.a., jadi kita sukar untuk kita mengetahui siapakah sahabat r.a. yang menjawab soalan berkenaan. Selain itu, takhrij yang beliau nukilkan juga tidak konsisten.
Kenapa perawi sahabat r.a. itu penting? Bagi saya, walaupun ia sekadar nama, tetapi daripada rekod sekecil itu, kita dapat mengenal pasti sama ada hadith berkenaan adalah riwayat terus daripada orang yang terlibat, atau ia adalah hadith bersifat mursal sahabi. Contohnya, pada bab empat, halaman 146 pada topik Ahli Waris Terdekat (al-Aqarib) penulis telah menukilkan hadith yang mengandugi lafaz
“Wahai Safiyyah…” dan
“Wahai Fatimah bint Muhammad…” Kedua-dua lafaz ini terdapat dalam satu matan hadith. Oleh kerana tiada perawi sahabat r.a. dinyatakan, saya tidak pasti sama ada Safiyyah r.a. atau Fatimah r.a. yang meriwayatkan hadith ini atau mungkin orang lain yang mendengar ucapan ini, atau mungkin orang-orang yang terlibat dalam peristiwa ini telah menceritakan kepada sahabat r.a. yang lain yang tidak hadir, lalu sahabat r.a. yang tidak hadir ini meriwayatkan hadith ini.
Walau apapun, ia satu usaha yang sangat murni bagi mengembalikan masyarakat kepada sumber asal iaitu hadith Nabawi bagi pensyariatan hukum yang diaplikasi dalam kehidupan kita. Khususnya isu berkaitan Wasiat dan Hibah. Kadang kala kita lebih suka merasai manisnya gula tanpa kita mengambil bahawa ia dari keringat petani yang menanam tebu, proses menuai dan menjadikannya ia gula yang manis pada minuman.
Bagi mendapatkan buku ini, boleh merujuk kepada laman web
E-Maktabah.
Nota :
Kutub al-Sittah ialah enam kitab hadith yang utama. Ia adalah Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmizi, Sunan al-Nasa’i dan Sunan Ibn Majah.
Abwab al-Din ialah bab-bab agama, biasa dimulakan dengan bab tentang iman dan seterusnya.
Abwab al-Fiqh ialah bab-bab fiqh. Susunannya lazimnya dimulakan dengan bab al-taharah, kemudian bab al-solah dan seterusnya.
Rizalman Muhammad merupakan seorang guru pendidikan Islam di SMKA Air Kuning, Mambang, Perak. Manakala Prof. Madya Dr. Ishak Suliaman adalah pensyarah di Jabatan al-Quran dan Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Sekarang beliau menyandang jawatan Timbalan Pengarah Ijazah Tinggi.