Kembara Makna

Dalam relung-relung kasih, kita semua bersua dan berjumpa. Ada yang tidak pernah kukenal peribadinya. Tetapi aku tetap sama. Ayah dan ibu darah serupa. Mungkin cara kita melihat diri, mengubah cara kita melihat dunia.

"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276

Kembara Hadith : Demi Kalam Nabi Kurela Tempuhi

Posted by Ahmad Saifuddin Wednesday, January 18, 2012

Islam mementingkan ilmu dan budaya keilmuan. Menggesa dan menggalakkan umat Islam untuk terus maju dan berilmu. Memupuk budaya belajar dan berfikir agar umat Islam menjadi ‘penagih’ ilmu dan ‘pencandu’ pengetahuan. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-Mulk ayat 19;


Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat serta Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.


Imam Abu Hanifah di dalam al-‘Alim wa al-Muta’allim menjelaskan, tujuan menuntut ilmu adalah untuk kita beramal dengannya dan menjadi pakar dalam bidang tersebut bukan untuk untuk berdebat. Oleh yang demikian, kita digalakkan menjadi pakar bukan untuk rasa megah dan hebat, tetapi untuk memberi manfaat kepada umat Islam dan manusia seluruhnya. Namun sebaliknya berlaku sekarang, kita suka dan sering berkata, “Saya betul, awak salah.” Sedangkan betul atau salah itu adalah berdasarkan hujjah dan dalil. Sekiranya ia masih berada di ruang lingkup ijtihadi apa salahnya kita berkata, “Saya betul, awak juga betul.” Namun tentu lebih sukar untuk berkata, “Awak betul, saya salah.”


Kesungguhan generasi terawal menuntut ilmu tidak ada tolok bandingnya. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ilmu. Realiti ini adalah hasil imbasan dan pantulan daripada perintah Allah s.w.t. dan ajaran Nabi s.a.w. Ini dapat dilihat kisah seseorang yang datang menemui Abu al-Darda r.a.


Kathir bin Qays menceritakan; “Ketika saya sedang duduk bersama Abu al-Darda’ di Masjid Damsyiq (Syria), datang seorang lelaki, lalu berkata, “Wahai Abu al-Darda, saya datang kepada kepada tuan dari Madinah, kota Rasulullah s.a.w. kerana satu hadith. Sampai kepada saya (berita) bahawa tuan telah meriwayatkan hadith dari Nabi s.a.w.” Abu al-Darda’ bertanya, “Adakah kamu datang kerana urusan niaga?” Lelaki itu menjawab, “Tidak.” Abu al-Darda’ bertanya lagi, “Adakah kerana ada urusan yang lain?” Dia menjawab, “Tidak.” Lalu Abu al-Darda’ berkata, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke Syurga. Para malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Seorang penuntut ilmu akan dimintakan keampunan oleh penghuni langit dan bumi hinggalah hidupan yang ada di air. Sesungguhnya keutamaan seorang berilmu dibandingkan dengan ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama dengan semua bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris nabi-nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya, maka dia telah mengambil satu bahagian yang sangat besar.”


(Sunan Abu Daud, Kitab al-‘Ilm. Sunan al-Tirmizi, Kitab al-‘Ilm ‘an Rasululillah s.a.w. Sunan Ibn Majah, Muqaddimah. Sahih Muslim dengan lafaz yang sama pada, “Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke Syurga...” Tetapi berbeza lafaz selepasnya. Lihat, Sahih Muslim, Kitab al-Zikr wa al-Du’a wa al-Tawbah wa al-Istighfar)


Kerana Satu Hadith


Apabila para sahabat r.a. bertebaran di segenap pelusuk negara Islam, mereka membawa bersama hadith Rasulullah s.a.w. yang didengar sewaktu hayat baginda. Sekiranya ada sahabat lain yang ingin mengetahui dan memastikan keabsahan hadith berkenaan, mereka akan berusaha untuk menemui sahabat yang lain. Kisah yang masyhur tentang kembara hadith adalah kisah sahabat r.a. yang bernama Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a. yang berada di Madinah. Beliau sendiri menceritakan apa yang berlaku. Kata beliau; “Sampai kepada saya satu berita tentang seseorang yang mempunyai satu hadith yang dia dengar dari Rasulullah s.a.w. Lalu saya terus membeli seekor unta dan saya memulakan kembara bertujuan untuk bertemu dengannya sehingga memakan masa selama sebulan perjalanan. Akhirnya saya sampai di Syam (Syria). Rupanya individu tersebut adalah Abdullah bin Unays, lalu saya berkata kepada penjaga

rumahnya, “Maklumkan kepadanya bahawa Jabir ada di depan rumah.” Penjaga rumah bertanya, “Jabir bin Abdullah?” Saya menjawab, “Ya.” Kemudian beliau (Abdullah bin Unays) keluar dan memeluk saya. Lalu saya berkata kepada beliau, “Sampai kepada saya khabar bahawa kamu mendengar satu hadith tentang pembalasan orang zalim yang saya tidak pernah dengar dan saya risau sekiranya saya atau kamu meninggal dunia terlebih dahulu sebelum saya mendengarnya sendiri.”


Lalu beliau (Abdullah bin Unays r.a.) berkata, “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah menghimpunkan manusia pada Hari Kiamat dalam keadaan telanjang, tidak berkhatan dan buhman.” Lalu kami (para sahabat) bertanya, “Apakah maksud buhman itu?” Baginda menjawab, “Iaitu tidak memakai seurat benang pun, lalu mereka diseru dengan satu suara yang didengari oleh orang yang jauh seperti mana didengari oleh orang yang dekat, “Aku adalah Raja dan Aku adalah Dayyan (Pemberi Balasan)! Tidak patut bagi seorang ahli neraka untuk masuk ke dalam neraka sedangkan dia mempunyai hak ke atas seseorang dari penduduk syurga sehingga Aku memberikan haknya. Tidaklah patut seseorang dari ahli syurga untuk masuk ke dalam syurga sedangkan seseorang dari ahli nereka mempunyai hak atas dirinya sehingga Aku memberikan hak orang berkenaan. Walaupun dengan satu penampar.” Kisah dan hadith ini direkod oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam al-Musnad. (Lihat juga, al-Khatib al-Baghdadi (1395/1975), Rihlah fi Talab al-Hadith, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm. 110-111.)


Kerana satu hadith, Jabir bin ‘Abdullah r.a. seorang sahabat Rasulullah s.a.w. sanggup menempuh sebulan kembara untuk mendengar satu hadith. Walaupun beliau mampu mengupah atau meminta seseorang untuk mendapatkan tulisan atau mendengar hadith tersebut daripada ‘Abdullah bin Unays di Syam. Begitu juga dengan kisah Abu Ayyub al-Ansari r.a., yang mana beliau pernah mendengar satu hadith dari Rasulullah s.a.w. Selain beliau, hanya sahabat bernama Uqbah bin ‘Amir r.a. yang mendengar hadith tersebut dari Rasulullah s.a.w. Bagi mengesahkan kedudukan hadith yang didengarinya, beliau melakukan kembara dari Madinah menuju ke Mesir, semata-mata untuk hadith tersebut.


Al-Khatib al-Baghdadi merekodkan kisah ini. Suatu hari, Abu Ayyub al-Ansari r.a. keluar untuk kembara untuk menemui ‘Uqbah bin ‘Amir r.a. untuk bertanya tentang hadith yang beliau dengar dari Rasulullah s.a.w. Tidak ada seorang pun dalam kalangan sahabat yang mendengar hadith itu daripada Rasulullah s.a.w. melainkan beliau dan ‘Uqbah bin Amir. Apabila sampai di Mesir, beliau menuju ke rumah Gabenor Mesir pada ketika itu, Maslamah bin Mukhallad al-Ansari. Lalu Maslamah menyambut dan memeluk beliau seraya bertanya, “Apa yang tuan bawa wahai Abu Ayyub?” Abu Ayyub menjawab, “Hadith yang saya dengar dari Rasulullah s.a.w. dan tidak ada sesiapa yang mendengarnya kecuali saya dan ‘Uqbah. Hantarkan kepada saya seseorang untuk menunjukkan saya ke rumahnya.”


Apabila sampai di rumah ‘Uqbah dan ‘Uqbah dimaklumkan tentang kedatangan Abu Ayyub, beliau segera keluar menemui Abu Ayyub dan memeluknya. ‘Uqbah r.a. bertanya, “Apa yang kamu bawa wahai Abu Ayyub?” Abu Ayyub r.a. menjawab, “Hadith yang saya dengar dari Rasulullah s.a.w. dan tidak ada sesiapa yang mendengarnya kecuali saya dan kamu tentang menutup aib orang mukmin.” ‘Uqbah berkata, “Benar, saya memang mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang menutup aib seorang mukmin, Allah akan menutup aibnya pada Hari Kiamat.”Apabila Abu Ayyub mendengar hadith tersebut, beliau berkata, “Kamu benar.” Kemudian, dia terus berlalu dan menuju ke tempat unta, lalu menunggangnya untuk pulang ke Madinah. (al-Khatib al-Baghdadi (1395/1975), Rihlah fi Talab al-Hadith, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm. 118-120.)


Disebabkan satu hadith sahaja, para sahabat r.a. sanggup menempuh perjalanan yang jauh dengan menaiki unta. Demi cinta kepada Rasulullah s.a.w. yang mendalam, ingin melaksanakan sunnah baginda, mahu menguatkan lagi hadith yang didengari sendiri. Mereka sanggup meredah saujana luas padang pasir dan menempuh mara bahaya di tengah jalan. Sebab itulah Abdullah bin Mas’ud r.a. pernah berkata, “Sekiranya saya tahu tentang seseorang yang lebih arif tentang kitab Allah daripada saya dan saya mampu menemuinya melalui perjalanan unta, tentu saya akan berjumpa dengannya.”


Daripada sikap para sahabat r.a. ini, ia menjadi contoh kepada para tabi’in. Muncul dalam kalangan tabi’in yang mencintai ilmu dan hadith Rasulullah s.a.w. Golongan ‘pencandu’ ilmu ini sanggup menempuh pelbagai halangan dan kesusahan demi mendapatkan ilmu khususnya hadith Nabi s.a.w. yang mulia. Sa’id bin al-Musayyab merupakan salah seorang kibar (pemuka) al-tabi’in memberitahu, “Dahulu saya pernah melakukan kembara dalam tempoh beberapa hari dan malam hanya untuk mendapatkan satu hadith.” Hanya satu hadith sudah cukup membuatkan mereka rasa teruja untuk mendengar dan mendapatkannya. Hari ini, bagaimana sikap kita sebagai pelajar Islam? Adakah ‘tuang’ kelas dan kuliah itu menjadi rutin harian kita? Atau ia sudah menjadi karier sebagai pemonteng kuliah?


Demi Kalam Nabi Kurela Tempuhi


Kelangsungan ajaran daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a., mewujudkan perantis-perantis dalam kalangan tabi’in yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ilmu dan hadith tanpa mengira masa dan tempat. Ini jelas disebut oleh Abu al-‘Aliyah, “Kami mendengar riwayat dari para sahabat Rasulullah s.a.w. ketika kami berada di Basrah. Kami berasa tidak puas [selagi belum mendapatkannya sendiri] sehingga akhirnya kami menaiki kenderaan menuju ke Madinah agar dapat mendengar secara langsung dari mulut mereka (sahabat r.a.).”


Takkan sampai begitu sekali? Ya, itulah realitinya, ia adalah hasil asuhan dari Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. Gemar terhadap ilmu, teruja untuk melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w., berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Walaupun ia memerlukan perjalanan yang jauh untuk ditempuhi. Legasi ini diteruskan oleh para muhaddith atau ulama’ hadith yang berusaha menghimpun dan menyaring kembali hadith-hadith Nabi s.a.w. ‘Pendekar’ dan ‘pahlawan’ hadith yang muncul seperti, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam al-Tirmizi dan ramai lagi, meneruskan lagi perjuangan dan semangat generasi sebelumnya. Mereka berusaha bersungguh-sungguh mengumpul dan meriwayatkan hadith daripada pemuka dan para ulama’ hadith berwibawa. Dihafal dan dihafaz setiap hadith yang diambil, mereka menyaring dan meneliti setiap sanad, perawi dan inti hadith. Menyingkap segala kesahihan, kecacatan hadith, bersambung atau terputus, makna yang jelas atau kacau. Segalanya dibongkar para ‘pahlawan’ ini.


Gigihnya para ulama mendapatkan ilmu dan hadith adalah seperti mana kisah Imam Ahmad bin Hanbal, yang diceritakan oleh sahabat karibnya Yahya bin Ma’in. “Sewaktu kami dalam perjalanan menuju ke tempat Abd al-Razzaq di Yaman, kami melaksanakan ibadah haji terlebih dahulu. Ketika saya (Yahya) sedang tawaf, saya terpandang Abd al-Razzaq juga sedang tawaf. Saya datang berjumpa dengannya dan memberi salam kepadanya, lalu memberitahu bahawa saya datang bersama Ahmad bin Hanbal. Beliau terus berkata, “Semoga Allah memberkatinya. Saya selalu mendengar cerita yang baik tentang Ahmad.”



Saya pun bertemu Ahmad bin Hanbal, “Allah telah meringankan kembara kita. Kita dapat bertemu [Abd al-Razzaq] di sini dan tidak perlu ke Yaman untuk sebulan perjalanan.” Tetapi Imam Ahmad menjawab, “Sejak bertolak dari Baghdad, saya sudah berniat untuk belajar daripada Abd al-Razzaq di San’a (Yaman). Demi Allah, saya tidak akan mengubah niat ini.” Cuba lihat pada peta dunia, berapa jauhkah jarak antara Baghdad di Iraq dan San’a di Yaman? Sanggupkah kita untuk melaluinya dengan hanya menaiki unta?


Kembara Imam al-Bukhari

Antara ‘panglima-panglima’ hadith yang tersohor adalah Imam Muhammad bin Isma’il al-Bukhari. Lahir pada 13 Syawal 194H di Bukhara dan meninggal dunia pada malam satu Syawal 256H. Peringkat awal, Imam al-Bukhari belajar di negeri beliau iaitu Bukhara (Uzbekistan). Ketika usianya meningkat remaja, beliau datang bersama abang dan ibunya ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji. Waktu itu, usia beliau adalah 16 tahun. Setelah selesai menunaikan haji, ibu dan abangnya pulang ke Bukhara, manakala beliau tinggal di Makkah untuk mempelajari hadith. Imam al-Bukhari menceritakan sendiri, “Saya keluar bersama ibu dan abang saya untuk ke Makkah. Selepas menunaikan haji, ibu dan abang saya pulang semula ke Bukhara dan saya menetap di sini untuk mempelajari hadith.”


Di Makkah, Imam al-Bukhari mempelajari ilmu dan hadith daripada para ulama’ tempatan sehingga usianya 18 tahun. Selepas itu, beliau kembara pula ke Madinah untuk meneruskan pengajian. Kemudian selepas itu, beliau sering berulang alik antara dua Tanah Suci dan tempat berhampiran seperti Ta’if, Jeddah dan lain-lain selama enam tahun. Di Haramain, beliau mula menulis dan menyusun beberapa karya, antaranya Qadhaya al-Sahabat wa al-Tabi’in dan al-Tarikh al-Kabir. Imam al-Bukhari menulis al-Tarikh al-Kabir berhampiran pusara Rasulullah s.a.w. di bawah cahaya bulan. Di Masjidil Haram pula, beliau menyusun isi kandungan al-Jami’ al-Sahih (Sahih al-Bukhari).


Selepas itu, beliau banyak mengembara untuk mencari dan meriwayatkan hadith ke beberapa tempat. Antaranya seperti, Naysabur, Baghdad, Kufah, Basrah, Damsyik, ‘Asqalan dan banyak lagi. Imam al-Bukhari memberitahu, “Saya memasuki Syam, Mesir dan al-Jazirah sebanyak dua kali, ke Basrah pula empat kali, dan saya tinggal di Hijaz beberapa tahun, dan saya tidak dapat kira berapa kali saya masuk ke kawasan Kufah dan Baghdad untuk bersama para ulama hadith”


Oleh sebab itulah, Imam al-Bukhari tidak berkeluarga. Para ulama yang mengkaji peribadi beliau menyebut, tidak ada riwayat atau rekod yang menyatakan bahawa Imam al-Bukhari mempunyai keluarga sama ada isteri dan anak-anak. Disebabkan beliau sering mengembara dan merantau untuk mendapat dan meriwayatkan hadith, jadi kemungkinan besar beliau tidak sempat berkeluarga. Imam al-Bukhari menyerahkan segala jiwa dan raga demi hadith Rasulullah s.a.w. dan beliau berjaya melaksanakannya. Interpretasi cinta kepada baginda s.a.w. sehingga sanggup menyerahkan segala-galanya demi Allah dan Rasul. ‘Abd al-Wahid bin Adam al-Tawawisi menceritakan, “Beberapa hari sebelum kematian al-Bukhari, saya telah melihat Rasulullah di dalam mimpi bersama kumpulan para sahabat. Lalu saya memberi salam dan baginda membalasnya. Kemudian saya bertanya kepada baginda, apakah yang membuat Tuan berada di sini? Baginda menjawab, aku sedang menunggu Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari.”


Jom Belajar!


Sebelum mengakhiri tulisan ini, penulis ingin berkongsi satu kisah yang sungguh menakjubkan. Kisah Syu’bah bin al-Hajjaj (m. 160H) yang berada di Kufah (Iraq) menjejaki hadith yang diriwayatkannya. Syu’bah telah meriwayatkan satu hadith daripada Abu Ishaq. Syu’bah berkata, “Abu Ishaq telah menyampaikan kepada saya hadith tersebut daripada Abdullah bin Ata’ daripada ‘Uqbah bin ‘Amir.” Lalu Syu’bah bertanya kepada Abu Ishaq, “Siapakah Abdullah bin Ata’ itu?” Abu Ishaq bengang dengan soalan itu. Lalu datang Mis’ar bin Kidam, lalu berkata, “Abdullah bin Ata’ itu tinggal di Makkah.”


Syu’bah pun bersiap untuk ke Makkah. Katanya, “Saya terus kembara menuju ke Makkah berniat untuk menunaikan haji dan juga meriwayatkan hadith.” Lalu beliau bertemu dengan Abdullah bin Ata’ dan bertanya tentang hadith itu. Abdullah bin Ata’ memberitahu, “Sa’d bin Ibrahim menyampaikan kepada saya.” Malik bin Anas yang hadir ketika itu memberitahu, “Sa’d berada di Madinah, beliau tidak menunaikan haji pada tahun ini.” Lalu Syu’bah kembara pula ke Madinah dan berjumpa dengan Sa’d bin Ibrahim. Lalu beliau bertanya kepada Sa’d tentang hadith berkenaan. Sa’d memberitahu, “Ziyad bin Mikhraq menyampaikan kepada saya hadith yang ada dengan kamu itu.” Ziyad pula tinggal di Basrah (Iraq). Syu’bah berpatah balik pula ke Iraq menuju ke Basrah, lalu bertemu dengan Ziyad bin Mikhraq dan bertanyakan tentang hadith itu. Ziyad memberitahu, “Syahr bin Hawsyab menyampaikan kepada saya daripada Abi Rihanah daripada ‘Uqbah bin ‘Amir dari Nabi s.a.w.” Apabila disebutkan nama Syahr bin Hawsyab, Syu’bah berkata, “Hadith ini sungguh memenatkan saya. Jika cara ini dapat mensahihkan untuk saya daripada Rasulullah s.a.w., ia lebih saya kasih daripada keluarga dan harta saya serta seluruh manusia.” Lalu Syu’bah bin al-Hajjaj meneruskan kembaranya untuk menjejaki hadith tersebut sehingga sampai kepada sumber yang terdekat. (al-Khatib al-Baghdadi (1395/1975), Rihlah fi Talab al-Hadith, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm. 152-153.)

“Hadith ini sungguh memenatkan saya. Jika cara ini dapat mensahihkan untuk saya daripada Rasulullah s.a.w., ia lebih saya kasih daripada keluarga dan harta saya serta seluruh manusia.” ~ Syu'bah bin al-Hajjaj


Inspirasi daripada kisah-kisah ini memberi kita makna bahawa usaha mereka sukar ditandingi. Namun semangat mereka mampu kita resapi dalam diri. Ayuh! Kita sama-sama gerakkan segala fizikal dan jiwa, kerahkan segala tenaga, fikiran dan keringat, demi menjunjung al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Pelajari setiap intinya, telusuri setiap maknanya, tiap patah kata difahami ulas bicara. Resapilah semangat mereka para ‘pahlawan’ hadith dalam diri, agar pencak dan ligat menepati setiap jurus dan gerak. Ya Allah! Teguhkan semangat dan hati kami untuk terus mengembara dan berkelana menjunjung ajaranMu dan suruhan RasulMu serta mendapatkan ilmu. Jom belajar hadith!

1 Responses to Kembara Hadith : Demi Kalam Nabi Kurela Tempuhi

  1. Indahnya kembara demi mencari ilmu...

    ^_^

     

Post a Comment