Kembara Makna

Dalam relung-relung kasih, kita semua bersua dan berjumpa. Ada yang tidak pernah kukenal peribadinya. Tetapi aku tetap sama. Ayah dan ibu darah serupa. Mungkin cara kita melihat diri, mengubah cara kita melihat dunia.

"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276

Kelebihan Ayat al-Kursi

Posted by Ahmad Saifuddin Saturday, May 14, 2011



Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. dan Dialah yang Maha tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha besar (kekuasaanNya). Al-Baqarah : 255

Kelebihan Ayat Kursi

Suatu hari Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kepada Ubay bin Ka’ab, “Apakah ayat yang paling agung dalam kitab Allah?” Ubay menjawab, “Allah dan RasulNya lebih tahu.” Kemudian Nabi s.a.w. mengulangi soalan yang sama berulang-ulang kali. Sehinggalah Ubay menjawab, “Ayat Kursi.” Lalu baginda bersabda, “Semoga ilmu itu menjadi serasi dengan kamu wahai Abu Munzir. Demi jiwaku berada di TanganNya, sesungguhnya ayat Kursi memiliki satu lidah dan dua bibir yang selalu mensucikan al-Malik (Allah) di tiang Arasy.” Riwayat Ahmad bin Hanbal

Nota : Abu Munzir adalah gelaran kepada Ubay bin Ka’ab.

Syaitan Memberitahu Rahsia Ayat Kursi

Abu Hurairah r.a. telah ditugaskan oleh Rasulullah s.a.w. untuk menjaga zakat pada bulan Ramadhan. Kemudian pada suatu malam seorang lelaki datang dan mencuri makanan yang dikumpul daripada zakat orang Islam. Abu Hurairah menangkapnya dan dia memberi alasan tentang keperluan yang penting dari makanan itu. Lalu beliau membebaskan lelaki itu. Abu Hurairah melaporkan kepada Rasulullah s.a.w. tentang peristiwa itu, dan baginda mengatakan lelaki itu akan datang lagi walaupun dia memberitahu tidak akan datang.

Sehinggalah pada malam ketiga, Abu Hurairah berjaya menangkap lelaki berkenaan, dan beliau mengugut untuk melaporkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., lalu lelaki itu berkata, “Lepaskanlah saya, saya akan ajar kepada tuan ayat-ayat dan Allah akan memberi manfaat dengannya.” Abu Hurairah bertanya, “Apakah ayat-ayat itu?” Lelaki itu menjawab, “Apabila tuan mahu tidur, bacalah ayat Kursi (lalu dia membaca ayat di atas). Tentu tuan tidak akan diganggu syaitan sehingga pagi.” Lalu Abu Hurairah r.a. membebaskan lelaki itu dan melaporkan apa yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian baginda bersabda, “Sesungguhnya lelaki itu berkata benar walaupun dia seorang pembohong. Adakah kamu tahu wahai Abu Hurairah, siapa yang telah bercakap dengan kamu selama tiga malam itu?” Abu Hurairah menjawab, “Saya tidak tahu.” Rasulullah s.a.w. memberitahu, “Dia adalah syaitan.” Sahih al-Bukhari

1 Responses to Kelebihan Ayat al-Kursi

  1. subhanaallah..indahnya apabila kita mempelajari dan mendengar tentang islam dengan makna di dalam al-quran..Alhamdulillah ,aku dilahirkan didalam ISLAM..besar nikmat NYA ...

     

Post a Comment