Kembara Makna

Dalam relung-relung kasih, kita semua bersua dan berjumpa. Ada yang tidak pernah kukenal peribadinya. Tetapi aku tetap sama. Ayah dan ibu darah serupa. Mungkin cara kita melihat diri, mengubah cara kita melihat dunia.

"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276

Kelebihan Ayat al-Kursi

Posted by Ahmad Saifuddin Saturday, May 14, 2011 1 comments



Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. dan Dialah yang Maha tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha besar (kekuasaanNya). Al-Baqarah : 255

Kelebihan Ayat Kursi

Suatu hari Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kepada Ubay bin Ka’ab, “Apakah ayat yang paling agung dalam kitab Allah?” Ubay menjawab, “Allah dan RasulNya lebih tahu.” Kemudian Nabi s.a.w. mengulangi soalan yang sama berulang-ulang kali. Sehinggalah Ubay menjawab, “Ayat Kursi.” Lalu baginda bersabda, “Semoga ilmu itu menjadi serasi dengan kamu wahai Abu Munzir. Demi jiwaku berada di TanganNya, sesungguhnya ayat Kursi memiliki satu lidah dan dua bibir yang selalu mensucikan al-Malik (Allah) di tiang Arasy.” Riwayat Ahmad bin Hanbal

Nota : Abu Munzir adalah gelaran kepada Ubay bin Ka’ab.

Syaitan Memberitahu Rahsia Ayat Kursi

Abu Hurairah r.a. telah ditugaskan oleh Rasulullah s.a.w. untuk menjaga zakat pada bulan Ramadhan. Kemudian pada suatu malam seorang lelaki datang dan mencuri makanan yang dikumpul daripada zakat orang Islam. Abu Hurairah menangkapnya dan dia memberi alasan tentang keperluan yang penting dari makanan itu. Lalu beliau membebaskan lelaki itu. Abu Hurairah melaporkan kepada Rasulullah s.a.w. tentang peristiwa itu, dan baginda mengatakan lelaki itu akan datang lagi walaupun dia memberitahu tidak akan datang.

Sehinggalah pada malam ketiga, Abu Hurairah berjaya menangkap lelaki berkenaan, dan beliau mengugut untuk melaporkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., lalu lelaki itu berkata, “Lepaskanlah saya, saya akan ajar kepada tuan ayat-ayat dan Allah akan memberi manfaat dengannya.” Abu Hurairah bertanya, “Apakah ayat-ayat itu?” Lelaki itu menjawab, “Apabila tuan mahu tidur, bacalah ayat Kursi (lalu dia membaca ayat di atas). Tentu tuan tidak akan diganggu syaitan sehingga pagi.” Lalu Abu Hurairah r.a. membebaskan lelaki itu dan melaporkan apa yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian baginda bersabda, “Sesungguhnya lelaki itu berkata benar walaupun dia seorang pembohong. Adakah kamu tahu wahai Abu Hurairah, siapa yang telah bercakap dengan kamu selama tiga malam itu?” Abu Hurairah menjawab, “Saya tidak tahu.” Rasulullah s.a.w. memberitahu, “Dia adalah syaitan.” Sahih al-Bukhari

Catatan Lama : Selamat Hari Ibu

Posted by Ahmad Saifuddin Sunday, May 8, 2011 0 comments

Catatan Lama : 13 Mei 2009 (Rabu)

Sakit aku terus bersambung selepas transit sementara pada hari minggu yang lepas. Sekarang bersambung kembali bermula Isnin hingga tulisan ini dititip. Mengikut maklumat dari kotak gambar berbunyi, matahari sedang berada tegak di atas garisan tropika, menyebabkan panas yang terlalu terik.

Tekak aku masih sakit, mungkin kerana kurang bercakap perkara yang baik atau kurang mengingati Empunya tekak ini. Maafkan diriku. Tentang selamat hari ibu, aku sudah lali dengan sambutan ini, kerana aku tidak menyambutnya bersama ibuku kerana sebelum aku mengetahui ada sambutan hari ibu, ibuku telah pergi lebih awal. Kira-kira dua puluh tahun yang lalu. Bagi aku, hari ibu tidak perlu disambut pada hari-hari tertentu, kerana kita semestinya menyambut hari ibu setiap hari.

Apakah kita mampu membalas jasa ibu kita hanya dengan menyambut hari berkenaan. Pada zaman Rasulullah s.a.w. dulu pernah berlaku, ada sahabat r.a. yang mendukung atau mengangkat ibunya menunaikan haji sehingga selesai. Lalu beliau berjumpa Rasulullah s.a.w. dan bertanya, adakah beliau telah berjaya membalas jasa ibunya itu. Rasulullah s.a.w. menjawab, "Kamu tidak akan dapat membalasnya walaupun kamu mendukungnya sampai mati." (Hadith ini aku tidak pasti status kesahihannya, kerana aku cuma mendengar daripada Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor di dalam kuliah kursus Ahadith Akhlak tahun 2002)

Jadi, aku rasa tidak perlu kita sambut hari ibu kerana kita semestinya mengingati ibu setiap hari setiap masa. Orang-orang yang memulakan sambutan ini adalah kerana hidup mereka terlalu mengejar dunia, sehingga mereka lupa ahli keluarga mereka. Ini yang banyak berlaku di negara Barat, apabila anak-anak ada kehidupan, mereka lupa siapa yang melahir dan menjaga mereka selama ini.

Bagi aku, ibu adalah asbab kewujudanku. Tanpa Wan Salamah Wan Ahmad maka tiadalah Ahmad Saifuddin bin Yusof yang sedang menaip patah perkataan ini sekarang. Terima kasih ibu, hanya lafaz ini kumampu.

Terima kasih ibu

Terima kasih ibu
Hanya kalimah ini sahaja yang mampu
Untukku luahkan dari rongga mulut ini
Terima kasih memberi budi
Memberi isi hati
Mengajar urus kendiri
Dari membasuh muka hingga ke kaki

Terima kasih ibu
Mengajarku menumbuk kunyit sendiri
Atau belajar membancuh air minum
Mengerti kerja seorang ibu
Untuk kufaham penat seorang perempuan
Bergelar ibu

Terima kasih ibu
Dari tingkahmu kubelajar
Hidup berdikari
Hidup mengerti penat seorang isteri

Terima kasih ibu
Hanya lafaz ini kumampu...

Kawakib Duriyah
Gombak
2 April 2009, 11.50 malam

Orang yang mencipta Hari Ibu ini kejam kerana dia tidak tahu betapa besar ertinya seorang ibu pada orang seperti aku yang saban tahun merindui. Kami merindui ibu setiap hari bukan hari tertentu.

Insafi Dosa Nan Lalu

Posted by Ahmad Saifuddin Monday, February 28, 2011 0 comments


Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Al-Nisa' : 110-111

Insafi Dosa Nan Lalu...

Kita semua melalui seri hidup ini dengan pelbagai pancaroba. Kadang kala gagah, kadang kala kalah. Kita ingati kembali dosa lalu, ingati kembali salah silap kita. Dosa-dosa kita tidak terhitung rasanya. Sama-sama kita insafi dosa yang lalu.

Abu Bakar al-Siddiq r.a. memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidaklah seorang yang beriman itu apabila melakukan dosa, lalu dia berwudhu’ kemudian solat dua rakaat. Lalu dia memohon ampun kepada Allah terhadap dosa itu, kecuali Allah pasti mengampunkannya.” Lalu Abu Bakar r.a. membaca ayat di atas (al-Nisa’ : 110). Riwayat Ahmad bin Hanbal

Sama-sama kita mohon ampun kepada Allah s.w.t. dan insafi kesilapan diri. Allah s.w.t. Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Nabi s.a.w. pernah memberitahu bahawa ada seseorang yang melakukan dosa lalu dia berdoa, “Wahai Tuhan, aku telah melakukan dosa, maka ampunkanlah dosaku ini.” Lalu Allah berfirman, “HambaKu telah berdosa dan dia yakin bahawa dia mempunyai Tuhan yang dapat mengampunkan dosa atau memberikan hukuman kepadanya. Sungguh! Aku telah mengampuni hambaKu ini.”

Lalu orang itu melakukan dosa lagi, dan dia terus sedar dan berdoa memohon ampun. Allah memberitahu, Dia mengampunkan dosa orang tersebut. Sehinggalah kali keempat, orang itu melakukan dosa dan terus memohon ampun. Lalu Allah mengampunkan dosanya dan berfirman, “Aku bersaksi kepada kamu semua (wahai malaikat), bahawa Aku telah mengampuni hambaKu ini, maka silakanlah dia melakukan sesuka hatinya.” Riwayat Ahmad bin Hanbal, al-Bukhari dan Muslim.

Allah s.w.t. tahu kita akan kembali kepadanya apabila kita salah dan berdosa. Allah tahu kita akan memohon ampun atas dosa yang kita lakukan. Kita tidak jemu memohon ampun kepadanya. Biarkan air mata itu mengalir kerana Allah...

“Terbanglah menuju Allah dengan sayap keampunan, janganlah lari dariNya kerana takut pada cemeti murkaNya.” (Syeikh Muhammad al-Ghazali, Jaddid Hayatak)

Astaghfirullah...


Berikut adalah kajian peringkat sarjana tentang kritikan Abdul Fattah Abu Ghuddah tentang kenyataan Ibn Taymiyyah berkenaan asal-usul istilah Hasan dalam hadith.

Disertasi Sarjana oleh Enni Endriyati daripada Universitas Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah, Jakarta, Indonesia.