Kembara Makna

Dalam relung-relung kasih, kita semua bersua dan berjumpa. Ada yang tidak pernah kukenal peribadinya. Tetapi aku tetap sama. Ayah dan ibu darah serupa. Mungkin cara kita melihat diri, mengubah cara kita melihat dunia.

"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276

Hidup Ini Penuh Makna

Posted by Ahmad Saifuddin Monday, November 29, 2010 2 comments

Sejak sekian lama, aku jarang menconteng laman ini dengan bebas. Paparan yang biasanya nampak 'skema' sahaja dengan pos-pos yang agak akademik. Sekali sekala dengan beberapa berita tentang keluarga.

Pelbagai yang aku lalui sejak beberapa bulan ini. Pelbagai jenis ranjau, onak dan duri aku lalui bersama keluarga. Kadang kala ada ketika kami gembira, tetapi sering kami sedih dan gundah gulana. Berhadapan dengan pelbagai jenis manusia dalam tempoh sesingkat ini. Memberi aku pelbagai erti makna hidup bahawa hidup ini adalah sememangnya tempat Allah s.w.t. menguji iman hamba-Nya.

Bertemu dengan pelbagai ragam manusia yang kadang kala membuatkan hati muak dan loya dengan gaya pakaian dan cakap mereka. Menggunakan topeng-topeng agama untuk menghalalkan segala cara. Bercakap seolah-olah dia sahaja yang hebat, dia sahaja yang benar, dia sahaja yang berhak!
Bercakap tinggi melangit seolah-olah dia mampu menukar warna langit, sedangkan di kakinya masih terpalit najis sendiri.
Bercakap seolah-olah dirinya sahaja hebat, dirinya sahaja yang layak dipuji dan dipuja. Lupakah pada pepatah Melayu, "Setinggi-tinggi nyior melambai, tinggi lagi asap menjulang." Allahu Akbar, Allah jua yang Maha Hebat. Mendengar kalam berlapik ayat al-Quran dan Hadith dari orang sebegini, terdetik di hati aku, "Benarkah dia membaca ayat dan hadith itu? Apa sebenarnya berlaku dalam fikirannya?" Berbuih mulutnya menceritakan tentang kebaikan, namun hasil dan praktikalnya hanya sedikit. Benar kata pepatah Melayu lama;
Ibarat Jalak di hujung kampung, kokok berderai-derai, ekor bergelumang taik.
Kita hanya mampu mendengar dan terpaksa berkumat-kamit membaca sesuatu bagi menghilangkan keresahan itu. Hanya Allah s.w.t. memahami keadaan ini. Kalam aku ini kadang kala menyedihkan hati aku kerana ia datang dari apa yang berlaku. Ingatlah kata pepatah;
Bila telunjuk menuding, tiga jari di bawah sedang menuding ke arah kita.
Kesedihan yang datang ini, memberi erti yang sungguh bermakna mengenangkan ayahku dulu yang sering kerut di dahi memikirkan soal keluarga. Ya Allah, kumohon kepadamu dihilangkan resah ini. Gembirakan hatiku dan keluargaku.



Solat & Zakat = Dunia & Akhirat = Kaya & Beriman

Posted by Ahmad Saifuddin Monday, October 4, 2010 0 comments

Kita selalu membaca al-Quran yang mempunyai dua kalimah ini. Allah s.w.t. merangkumkan di dalam ayat-ayatNya antara solat dan zakat bersama. Kenapa? Apa istimewa dua ibadat ini? Atau tujuan Allah s.w.t. menggabungkan dua kalimah ini. Mengapa tidak solat dan puasa, solat dan haji dan sebagainya?

Pemerhatian penulis, banyak ayat-ayat yang menggabungkan dua kalimah ini. Lihat pada Surah Al-Baqarah [83, 110], An-Nisa [77], Al-Bayyinah [5], Al-Mujadalah [13], Fatir [29], Al-Ahzab [33], Al-Anfal [3-4], An-Naml [3], An-Nur [37, 56], Al-Hajj [41, 77], Al-Hajj [41], Maryam [54-55], Ibrahim [31], At-Taubah [11, 18, 54, 71], dan Al-Anbiya [73].

Jika dihitung di sini terdapat 21 ayat Allah s.w.t. menggabung dua kalimah ini dalam satu ayat. Kita semua tahu, semua yang beriman kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. wajib menunaikan solat tanpa terlepas seorang pun yang mukallaf. Tidak ada alasan yang boleh kita meninggalkan solat.

Bagi zakat pula, ia mestilah memenuhi kriteria tertentu bagi melaksanakan ibadah ini. Ia mestilah memenuhi nisab tahunan sebanyak nilai 85gram emas. Jika nilai emas adalah RM109.41, nilai nisabnya ada RM9,300.00 bagi tempoh setahun. Bila simpanan kita mempunyai lebihan sebanyak itu, maka kita dikenakan zakat dan kita wajib membayarnya.

Tetapi mampukah kita untuk membayar zakat jika wang kita tidak mencukupi? Jika wang tidak mencukupi, kita tidak diwajibkan membayar zakat. Jika sebanyak itu barulah dikenakan zakat, sudah tentu orang yang terlibat mempunyai pendapatan yang selesa.

Persoalannya mengapa Allah s.w.t. meletakkan zakat bersama dengan ibadah solat. Adakah Allah s.w.t. mahu semua hambaNya kaya raya agar layak membayar zakat? Memang ada tafsiran para ulama’ mengatakan bahawa solat itu menunjukkan hubungan kita dengan Allah s.w.t. secara langsung manakala zakat pula adalah berkaitan hubungan kita dengan manusia.

Walau bagaimanapun, mengapa ibadah zakat juga dipilih. Seolah-olah Allah s.w.t. mahu kita semua sebagai hambaNya menjadi kaya agar layak dan mampu membayar zakat. Jom! Kita berazam untuk membayar zakat pada tahun hadapan kerana kita akan beroleh ganjaran pahala dan syurga serta membantu saudara seagama yang memerlukan. Hati tenang, keluarga gembira, kita semua dapat pahala.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Anfal ayat 3 hingga 4;
[3] Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. [4] Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).

'Aqib Suyufi

Posted by Ahmad Saifuddin Thursday, July 15, 2010 2 comments

Anak kedua ini lahir sewaktu hidup kami sedang membina hidup. Semoga Allah s.w.t. memberi keberkatan atas kelahiran ini. Dengan ini kami namakan dia dengan nama ‘Aqib Suyufi. Setelah mencari nama-nama yang elok maknanya dan indah maksudnya.

Ketika saya sedang menyiapkan disertasi sarjana saya. Kajian saya lebih menjurus kepada al-Sirah al-Nabawiyyah. Lalu saya terjumpa satu ungkapan dari Rasulullah s.a.w. berkenaan nama-nama baginda. Baginda bersabda;
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَنَا مُحَمَّدٌ وَأَنَا أَحْمَدُ وَأَنَا الْمَاحِي الَّذِي يُمْحَى بِيَ الْكُفْرُ وَأَنَا الْحَاشِرُ الَّذِي يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى عَقِبِي وَأَنَا الْعَاقِبُ وَالْعَاقِبُ الَّذِي لَيْسَ بَعْدَهُ نَبِيٌّ
Terjemahan : Dari Muhammad bin Jubair bin Mut’im dari bapanya r..a. berkata; Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku mempunyai lima nama, Aku adalah Muhammad, Ahmad, aku juga al-Mahiy (penghapus), maksudnya Allah menghapuskan kekafiran melalui perantaraanku, aku juga al-Hasyir (penghimpun), maksudnya manusia akan berhimpun di bawah kakiku dan aku juga al-‘Aqib yang mana tidak nabi lagi selepasku.

Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Kitab al-Manaqib dan Muslim di dalam Kitab al-Fada’il. Hadith di atas adalah daripada lafaz Muslim.

Kemudian apabila kita membaca kisah-kisah para sahabat membantu Rasulullah s.a.w. menyebarkan Islam. Pelbagai cabaran dan rintangan yang dilalui oleh mereka bersama Rasulullah s.a.w. Sewaktu berlaku Peperangan Mu’tah berlaku satu peristiwa;
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى زَيْدًا وَجَعْفَرًا وَابْنَ رَوَاحَةَ لِلنَّاسِ قَبْلَ أَنْ يَأْتِيَهُمْ خَبَرُهُمْ فَقَالَ أَخَذَ الرَّايَةَ زَيْدٌ فَأُصِيبَ ثُمَّ أَخَذَ جَعْفَرٌ فَأُصِيبَ ثُمَّ أَخَذَ ابْنُ رَوَاحَةَ فَأُصِيبَ وَعَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ حَتَّى أَخَذَ الرَّايَةَ سَيْفٌ مِنْ سُيُوفِ اللَّهِ حَتَّى فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ
Terjemahan : Dari Anas r.a., bahwasanya Nabi s.a.w. mengumumkan kematian Zaid bin Harithah, Ja’far bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah kepada para sahabat sebelum berita kematian mereka sampai. Nabi bersabda, “Bendera perang diambil oleh Zaid, lantas ia gugur, kemudian Ja’far mengambil alih benderanya, dia pun gugur, lantas diambil alih pula oleh Abdullah bin Rawahah dan dia pun gugur lalu -kedua mata baginda berlinang dengan air mata,- lantas bendera diambil oleh satu pedang dari pedang-pedang (Suyuf) Allah hingga Allah membuka kemenangan bagi mereka.

Orang terakhir yang mendapat gelaran pedang dari pedang-pedang Allah itu adalah Khalid al-Walid.

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Kitab Manaqib dan Kitab al-Maghazi.

Kesimpulan dari dua hadith di atas, kami namakan anak kedua kami dengan mengambil kalimah seperti berikut :

Al-‘Aqib = Muhammad Rasulullah s.a.w.

Suyufillah = Zaid bin Harithah, Ja’far bin Abi Talib, Abdullah bin Rawahah dan Khalid bin al-Walid r.a.


Lalu kami namakan anak kedua ‘Aqib Suyufi. Semoga anak ini dapat mengambil semangat daripada nama-nama itu. Ya Allah, berkati dan berikan petunjuk kepada anak-anak kami.

Bersama ayahanda, bonda dan kakandamu mendepani cabaran hidup ini. Meneruskan usaha pejuang silam. Walaupun sekelumit jasa, sesenduk usaha, sesudu idea, ia tidak mengapa kerana itu tandanya kita telah lakukan sesuatu demi agama.

Ya Bunayya! Ana Sayf wa Anta Suyuf…

Kelebihan Demam

Posted by Ahmad Saifuddin Wednesday, June 30, 2010 3 comments

Suatu hari, Rasulullah s.a.w. menziarahi Ummu Sa’ib yang sedang sakit. Apabila sampai di rumahnya, Rasulullah s.a.w. bertanya, “Kenapa kamu menggigil Ummu Sa’ib?” Beliau menjawab, “Saya sakit demam, semoga Allah tidak memberkati demam ini.” Lalu Rasulullah s.a.w. menegur, “Janganlah kamu mencela sakit demam, kerana ia akan menghapuskan dosa-dosa anak adam seperti mana pemanas besi dapat menghilangkan karat-karat besi.” Hadith riwayat Muslim

Demam sudah dianggap penghapus dosa kita. Apatah lagi sakit jantung, kanser, strok, patak kaki, batu karang, luka akibat kemalangan dan banyak lagi. Semoga sakit ini menjadi penghapus dosa kita yang telah lalu. Kita redha dengan apa yang menimpa kita kerana kita tahu Allah sayangkan kita dan Dia mahu kita berjumpa dengannya tanpa sebarang dosa dan noda.

Rasulullah s.a.w. ada berpesan,
“Ujian akan sentiasa menimpa lelaki dan perempuan yang beriman. Sama ada menimpa kepada diri sendiri, anak-anak dan hartanya. Sehinggalah dia menemui Allah tanpa apa-apa salah.” Hadith riwayat al-Tirmizi (Hasan Sahih)

Setiap susah yang menimpa diri kita akan dihapuskan dosa-dosa, walaupun ia cuma sekadar tertusuk duri sahaja. Allah mengambil kira walaupun ia terlalu kecil. Hanya sekadar tertusuk duri...

Kasih Allah Kepada HambaNya

Posted by Ahmad Saifuddin 0 comments

Suatu hari Nabi Muhammad dan sahabat beliau melihat seorang ibu yang hilang anaknya. Sejurus kemudian, ibu tersebut menemui kembali anaknya itu. Dia memeluk erat anaknya lantaran terlalu sayang.

Lalu Nabi Muhammad bertanya kepada para sahabatnya, “Mungkinkah wanita ini akan mencampakkan anaknya ke dalam api?” Mereka menjawab, “Tidak.” Nabi Muhammad menyambung, “Allah sayangkan hambaNya lebih daripada sayangnya wanita ini kepada anaknya.” Riwayat Muslim

Aduh! Begitu hebat kasih Allah kepada kita. Lebih dalam daripada kasih seorang ibu kepada anaknya. Kasih ibu adalah kasih yang tiada tandingan di dunia ini. Tetapi kasih Allah kepada hambaNya melebihi segala-gala.

Justeru, apa yang berlaku kepada adalah sebagai tanda cinta dan sayangnya Allah kepada kita. Semakin berat ujian itu, semakin besar pahala dan ganjarannya. Jika sekiranya kita redha terhadap ujian ini, maka Allah akan redha kepada kita. Jika kita marah kepada Allah kerana ujian ini, kita akan mendapat marahNya juga.

Nabi Muhammad berkata,
“Besar pahala itu adalah berdasarkan beban ujian. Jika Allah mencintai satu golongan, tentu Allah menimpakan golongan itu dengan ujian. Sesiapa yang redha, maka dia akan mendapat redhaNya. Sesiapa yang marah, dia akan mendapat marah daripada Allah.” Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah.

Selepas Susah Pasti Senang

Posted by Ahmad Saifuddin Friday, June 25, 2010 0 comments

Percayakah kita bahawa setiap susah itu pasti akan senang kemudian. Allah lebih tahu keadaan kita. Dia lebih tahu masa depan kita. Apabila Allah berkata di dalam al-Quran,
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran, disertai kemudahan” (al-Insyirah : 5 & 6)

Apabila Allah berkata demikian, yakinlah bahawa setiap susah yang kita terima pasti akan disusuli dengan senang dan lapang. Kita semua tentu mengalaminya saban hari. Ibu-ibu pasti memahami maksud ayat ini ketika perit melahirkan anak. Percayalah bahawa kepada pesan Allah ini. Hanya Dia yang lebih tahu tentang diri kita, baik buruk kita dan perangai kita. Kita berusaha dan berjuang melawan sakit dan pedih akhirnya kita akan pasti berjaya. Tetapi Allah menyambung kata-katanya,
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain).” (al-Insyirah : 7)

Selesai satu kerja, lakukan kerja yang lain dengan lebih bersungguh-sungguh. Adakah mencari rezeki itu bukan amal salih? Mencari rezeki juga amal salih di sisi Allah. Bukan hanya sembahyang, puasa, zakat dan haji. Kita mencari rezeki yang halal untuk anak-anak dan keluarga supaya anak-anak dapat belajar dengan selesa. Menyediakan tempat berteduh, makan, pakaian dan banyak lagi. Allah mengira segala apa yang kita lakukan untuk kebaikan, asalkan tidak melanggar undang-undang yang Allah tetapkan.

Sebagai seorang muslim kita wajib menunaikan sembahyang lima kali sehari. Tetapi Allah memudahkan kepada orang yang sakit untuk meringkas sembahyang dan menggabung waktu sembahyang. Namun, lakukan dengan bersungguh-sungguh, berdoa dengan tekun. Selepas satu amalan, satu lagi amalan sehingga kita tenang dan bahagia.

Belajar bukan amal salih? Siang malam kita bersungguh-sungguh datang ke kelas, ke kuliah untuk memenuhi cita-cita sendiri, cita-cita ibu dan ayah. Allah mengira semuanya sebagai amal salih, asalkan kita lakukan ia bukan untuk mencari duit semata-mata. Tetapi kita perlu ingat, cerah mungkin tidak sampai ke petang, mungkin hujan di tengahari. Kita belum pasti dapat apa yang kita citakan. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Sebab itulah Allah menyambung pesanannya dengan berkata,
“Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)” (al-Insyirah : 8)

Hanya kepada Allah kita meminta. Hanya Dia sahaja pemilik segala-galanya. Tidak kira ia di langit atau di bumi. Memang perit ujian yang menimpa kita. Kadang-kadang tidak tertanggung rasa. Hanya kepada Allah kita memohon dan meminta. Sahabat Nabi Muhammad, Salman al-Farisi ada menceritakan bahawa Nabi Muhammad pernah memberitahu,
“Sesungguhnya Allah akan malu apabila seorang hamba mengangkat kedua tangan berdoa kepadaNya, lalu Dia membiarkan kedua tangan itu kosong dan hampa.” - Direkodkan oleh al-Hakim dan al-Tabrani

Marilah sama-sama kita meminta kepada Allah, memohon agar dikurangkan beban yang kita tanggung ini. Merayu kepadaNya agar mengurangkan sakit yang pedih ini. Hanya Dia yang boleh membantu.

Syajarah Sanad Kisah Hijrah Nabi s.a.w. di Waktu Siang

Posted by Ahmad Saifuddin Thursday, June 17, 2010 0 comments

Syajarah sanad ini sudah lama saya susun satu persatu. Niat asal untuk dimasukkan di dalam disertasi sarjana saya. Tetapi tidak dimasukkan kerana tiada keperluan untuk dimasukkan ke dalam disertasi berkenaan.

Garisan putus-putus yang bersambung dengan Muhammad Ibn Ishaq itu adalah kerana syeikh beliau adalah majhul, maka ia tidak dapat diandaikan bahawa ia bersambung.

Manakala garisan putus-putus pada al-Bukhari itu, adalah merujuk kepada nukilan al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari melalui perawi berkenaan adalah secara Ta'liq iaitu Mu'allaq.

Garisan Merah pula merujuk kepada perawi yang saya tidak sempat semak atau saya tidak jumpa di dalam kitab rijal kerana namanya terlalu umum untuk disemak satu persatu.

Belajar Sahih Muslim Dalam Masa 40 Hari?!

Posted by Ahmad Saifuddin Wednesday, June 2, 2010 2 comments

Syeikh Jamaluddin al-Qasimi menceritakan pengalaman beliau menuntut ilmu. Kata beliau;
"Alhamdulillah, aku telah menamatkan Sahih Muslim dalam masa empat puluh hari, Sunan Ibn Majah dalam masa dua puluh hari dan menamatkan Muwatta' Imam Malik selama sembilan belas hari. Manakala menamatkan Tahzib al-Tahzib, mentashihkan beberapa kesilapan yang terkandung di dalam naskah-naskah karya tersebut dan memberi keterangan tambahan bila perlu, semuanya aku lakukan dalam masa sepuluh hari."
Belajar Sahih Muslim dalam masa empat puluh hari?! Secara peribadi, saya membelek Sahih Muslim yang mengandungi beribu hadith itu helaian demi helaian pun sudah rasa tidak terdaya. Apatah lagi belajar satu persatu. Subhanallah! Membuat pembetulan pada karya Tahzib al-Tahzib yang mengandungi beribu-ribu biografi perawi hadith selama sepuluh hari mungkin tidak tercapai pada akal kita pada hari ini. Tetapi usaha ulama' silam memberi kita kemudahan untuk menyemak hadith-hadith Rasulullah s.a.w.

Semoga semangat al-Qasimi menyerap masuk ke dalam minda dan hati kita untuk meneruskan usaha menuntut ilmu walau dengan apa cara sekalipun.

Hadith dalam filem Transformer II?

Posted by Ahmad Saifuddin Tuesday, June 1, 2010 4 comments

Saya banyak terperasan satu dialog dalam filem ini yang diucapkan oleh seorang tentera berkulit hitam, "God made us in his image, who made them?" Dialog ini saya perasan pada minit ke-21 dalam filem ini. Ia seakan seerti dengan sebuah hadith riwayat al-Bukhari;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ عَلَى صُورَتِهِ

Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi s.a.w. berkata, "Allah menjadikan Adam daripada imejNya (shuratih)..."

Direkodkan di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Isti'zan.

Doa Ketika Masuk ke Dalam Masjid

Posted by Ahmad Saifuddin Sunday, May 30, 2010 0 comments

Sunnah kepada manusia itu apabila datang ke masjid, mereka berdoa yang disyariatkan daripada Rasulullah s.a.w. sewaktu masuk ke dalam masjid. Seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada hadith Sulayman bin Bilal, ‘an Rabi’ah bin Abi ‘Abd al-Rahman, ‘an ‘Abd al-Malik bin Sa’id, ‘an Abi Asid atau Abi Humayd, bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Apabila kamu semua masuk ke dalam masjid, maka katalah;
اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ
“Wahai Tuhanku, bukakanlah untukku pintu-pintu rahmat-Mu.”
Apabila keluar, maka katakanlah;

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ
“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku meminta kepada-Mu daripada kelebihan-kelebihan-Mu.”

Sahih Muslim, Kitab (صَلَاةِ الْمُسَافِرِينَ وَقَصْرِهَا), Bab (مَا يَقُولُ إِذَا دَخَلَ الْمَسْجِدَ).

Manakala berselawat ke atas Nabi ‘alayhi Solah wa al-Salam ketika masuk ke masjid sebelum membaca doa di atas; Abu Dawud telah membawa satu bentuk riwayat yang bermasalah daripada hadith al-Darawardi ‘an Rabi’ah dan al-Darawardi telah tafarrud (bersendirian) pada riwayat ini dan ia tidak mahfuz (terjaga).

Diriwayatkan juga oleh Ahmad, al-Tirmizi dan lain-lain daripada ‘Abdullah bin al-Hasan ‘an ibunya Fatimah bin al-Husayn (al-Sughra), ‘an Fatimah (al-Kubra), katanya : “Apabila Rasulullah memasukki masjid, baginda berselawat ke atas Muhammad dan mengucap salam (ke atasnya), kemudian berkata;

رَبِّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ
Apabila keluar, baginda berselawat dan mengucap salam ke atas Muhammad dan berdoa;

رَبِّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ فَضْلِكَ

Dan riwayat ini adalah inqita’ (terputus).

Al-Tirmizi berkata : Hadith Fatimah adalah hadith yang hasan. Tetapi isnadnya tidak bersambung. Fatimah bin al-Husayn tidak pernah bertemu dengan Fatimah al-Kubra. Fatimah hidup beberapa bulan selepas Nabi wafat.

Justeru, berselawat dan mengucap salam ke atas Nabi ketika memasuki masjid adalah tidak thabit (sah).

Sifat Solat Nabi oleh Syeikh Abd al-‘Aziz Marzuq al-Torifi, hlm. 36-37.

Ubat Resah dan Kedekut

Posted by Ahmad Saifuddin Tuesday, May 25, 2010 0 comments

Ubat bagi resah dan gelisah, kedekut dan bakhil. Penawarnya adalah Solat. Allah s.w.t. berkata di dalam al-Quran;

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Al-Ma’arij : 19-22
Jom solat!

Beza Khelong dan Jelaa

Posted by Ahmad Saifuddin Monday, May 24, 2010 0 comments

Biasanya Khelong berlaku sebelum makan dan berterusan. Jelaa pula berlaku ketika makan dan berterusan. Jadi, biasanya khelong itu dilihat lebih teruk dari Jelaa. Sekiranya melibatkan wang, harta dan sebagainya, biasa kita sebut sebagai Khelong. Yakni, benda lebih besar nilainya. Manakala Jelaa pula biasanya disebut kepada benda-benda kecil seperti kain, makanan dan sebagainya. Namun dua kalimah ini adakalanya tidak dibezakan bagi sesetengah penutur dialek Kelantan.

Nota : Bagi sebutan yang tepat, rujuk kepada penutur dialek Kelantan.


Autoriti Hadis Menangani Gerakan Antihadis

Posted by Ahmad Saifuddin Sunday, May 23, 2010 2 comments

Penulis : Ishak Hj. Suliaman, Fauzi Deraman, Mohd. Muhiden Abd Rahman & Abdul Karim Ali
Judul : Autoriti Hadis Menangani Gerakan Antihadis

Penerbit : Penerbit Universiti Malaya
Halaman : 171 halaman
Harga : RM25.00
ISBN : 983-100-422-1

Buku ini muncul apabila isu anti hadis seolah-olah tenggelam dalam isu-isu semasa yang lain. Tetapi isu anti hadis ini masih menjadi api dalam sekam ketika buku ini diterbitkan. Atas inisiatif tokoh-tokoh akademik ini, buku ini berjaya diterbitkan bagi menangani gerakan anti hadis yang berleluasa secara senyap di tengah-tengah hiruk pikuk masyarakat.

Penulisan buku ini tidak memberi fokus kepada individu tertentu yang terlibat dalam gerakan anti hadis, tetapi memberi fokus kepada dakyah-dakyah serangan yang sering diputar walaupun ia sudah lapuk ditelan tulang belulang Ignaz Goldziher (1850-1921) dan konco-konconya. Penulisan ini juga ditulis secara berasingan berdasarkan judul-judul tertentu. Ia adalah gabungan daripada beberapa artikel ilmiah yang ditulis oleh empat penulis di atas dan disatukan untuk diterbitkan sebagai sumber ilmiah dalam menangani gerakan anti hadis.

Walaupun isi kandungan buku amat bagus, namun saya agak terganggu kerana terdapat beberapa kesalahan struktur ayat serta paparan teks Arab yang terlalu kecil. Mungkin pihak penerbit perlu mengemaskini layout dan suntingan yang lebih baik bagi ulang cetak yang berikutnya.

Kandungan Buku

Bab 1 : Autoriti Hadith dan Penjelasan Terhadap Kekeliruan Mengenainya
(Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman)
Bab 2 : Kedudukan dan Peranan Hadith Terhadap Islam
(Dr. Mohd. Muhiden Abd rahman)
Bab 3 : Sejarah Perkembangan Hadith
(Dr. Mohd. Muhiden Abd Rahman)
Bab 4 : Isnad Hadith Sebagai Etika Maklumat Islam
(Dr. Ishak Hj. Suliaman)
Bab 5 : Karya-Karya Hadith Dalam Tulisan Jawi
(Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman)
Bab 6 : Metodologi Muhaddithin
(Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman)
Bab 7 : Penyebaran Hadith Mawdu‘ Dan Implikasinya Kepada Masyarakat
(Dr. Mohd. Muhiden Abd Rahman)
Bab 8 : Israi’liyyat Dalam Pengajian Tafsir Dan Sunnah
(Dr. Ishak Hj. Suliaman)
Bab 9 : Pandangan Orientalis Terhadap Hadith dan Jawapannya Dari Perspektif Islam
(Dr. Mohd. Muhiden Abd Rahman)
Bab 10 : Anti Hadith: Rujukan Kepada Kitab Jima‘ al-‘Ilm
(Prof. Madya Dr. Abdul Karim Ali)
Bab 11 : Metode Imam Al-Syafi‘e dan Ulama’ di Malaysia Dalam Menangani Golongan yang Mempertikaikan Hadith
(Prof. Madya dr. Abdul Karim Ali)

Nota : 1. Prof. Madya Dr. Ishak Suliaman dan Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman adalah pensyarah Jabatan al-Quran dan Hadith, APIUM. Manakala Prof. Madya Dr. Muhiden Abd Rahman adalah pensyarah di Pusat Asasi Pengajian Islam UM di Nilam Puri dan Prof. Madya Dr. Abdul Karim Ali adalah pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, APIUM.

2. Ignaz Goldziher ialah seorang orientalis berbangsa Yahudi yang mengkaji sejarah penulisan hadith. Beliau sangat merbahaya sehingga mampu mempengaruhi umat Islam tentang teori beliau berkenaan sejarah penulisan hadith. Karya beliau yang masyhur ialah Muhammedanische Studien yang telah mempengaruhi ramai tokoh-tokoh akademik Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia. [Lebih lanjut, rujuk Mawsu’ah al-Mustasyriqin : 197-203]

Buku ini boleh dibeli di Penerbit Universiti Malaya.

Wasiat dan Hibah

Posted by Ahmad Saifuddin Saturday, May 22, 2010 1 comments

Penulis : Rizalman Muhammad dan Ishak Suliaman (2007)
Judul : Wasiat dan Hibah
Penerbit : Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Halaman : 211 halaman
Harga : RM25.00
ISBN : 978-983-3603-20-6

Tulisan ini boleh dikatakan antara tulisan terbaru dalam menganalisis hadith-hadith berkaitan mu’amalat khususnya hadith-hadith tentang wasiat dan hibah. Tulisan ini perlu diteliti oleh individu yang ingin memahami tentang wasiat dan hibah dari sudut perspektif hadith nabawi. Biasanya kita membaca isu-isu ini di dalam tulisan yang lebih menjurus kepada perbincangan feqah yang sarat dengan qawl ulama’ yang kadang-kadang perlu diteliti kembali sumber ambilannya. Jadi, buku ini membawa kita terus kepada sumber yang sebenar iaitu hadith Nabi s.a.w.

Namun hadith-hadith yang dikupas dalam tulisan ini meliputi hadith-hadith di dalam al-Kutub al-Sittah sahaja. Jadi, liputan hadith-hadith tentang wasiat dan hibah ini tidak mencapah terus kepada keseluruhan hadith. Ini kerana kemampuan penulis karya ini untuk meneliti keseluruhan hadith adalah sukar kerana susunan hadith di dalam sesetengah kitab hadith lain tidak disusun mengikut abwab al-din dan abwab al-fiqh. Selain itu, jumlah hadith di dalam sesetengah kitab hadith terlalu banyak untuk dikaji dan memerlukan tenaga dan masa yang agak banyak.

Justeru, saya mencadangkan kepada sesiapa yang berminat terhadap isu wasiat dan hibah ini, agar meneliti hadith-hadith yang terkandung di dalam kitab-kitab hadith yang lain, seperti Sahih Ibn Hibban, Sahih Ibn Khuzaymah, Sunan al-Kubra al-Bayhaqi, Musnad Ahmad bin Hanbal dan banyak lagi. Walaupun Musnad Ahmad disusun mengikut perawi sahabat, namun cetakan terkini sekarang mempunyai indeks hadith-hadith yang disusun mengikut bab-bab tertentu. Saya secara peribadi berpendapat, karya ini adalah satu usaha yang bermanfaat untuk umat Islam bagi memahami hadith-hadith Nabi s.a.w. secara tematik khususnya bidang mu’amalat.

Lazimnya, tulisan-tulisan seperti ini mengandungi beberapa kesilapan sama ada berbentuk teknikal, penggunaan istilah, isi kandungan dan sebagainya. Karya ini juga tidak terlepas daripada kelaziman ini. Kepada sesiapa yang biasa membaca tulisan bersifat akademik seperti tesis, disertasi, jurnal ilmiah, prosiding dan sebagainya, tentu akan perasan bahawa karya ini merupakan sebuah kajian akademik sama ada bersifat tesis atau disertasi. Ini jelas apabila penulis mengekalkan bab pendahuluan di dalam tulisan asal beliau yang membincangkan tentang metodologi kajian, objektif kajian dan sebagainya. Secara peribadi, perkara-perkara tersebut tidak perlu dimasukkan ke dalam tulisan ini, cukup sekadar memasukkan definisi istilah, sorotan literasi (literature review) sebagai makluman kepada pembaca tentang kajian-kajian lepas yang telah dibuat. Ikhlas saya katakan bahawa saya tidak biasa dengan perbahasan tentang wasiat dan hibah. Jadi, review saya kali ini lebih kepada perbincangan hadith.

Menurut penulis buku ini, beliau menyebut;
Hadith-hadith wasiat dan hibah banyak terdapat di dalam kitab-kitab hadith. Dalam melihat hadith-hadith tersebut, penulis hanya menumpukan kepada kitab al-Sunan al-Sittah sahaja. (h. 25)
Istilah yang saya hitamkan itu adalah istilah yang digunakan oleh penulis buku ini. Sepanjang pemahaman saya tentang genre kitab hadith ini, saya tidak pernah menemui istilah al-Sunan al-Sittah (Enam Kitab Sunan). Biasanya, saya menjumpai istilah Sunan Arba’ah (Empat Kitab Sunan). Ini kerana di dalam senarai al-Sunan al-Sittah, Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah bukan dalam kategori Kitab Sunan. Maka istilah yang digunakan penulis buku ini adalah kurang tepat dan penggunaan istilah ini berkekalan sehingga tamat buku. Istilah yang tepat adalah al-Kutub al-Sittah (rujuk nota dibawah). Kesilapan penggunaan istilah ini biasa berlaku kerana kita selalu melazimi dengan istilah berkenaan dan tiada sesiapa yang membetulkannya. Kadang kala, kita kurang suka membetulkan istilah yang diguna atau kesilapan sebutan oleh orang disekeliling kita kerana kita fikir bahawa dia akan berkecil hati atau kita fikir bahawa dia akan menganggap kita menganggap dia kurang pandai atau dangkal dalam hal itu. Kebanyakan manusia suka salahnya diperbetulkan. Sekiranya orang itu tidak suka, biarkan dia terjun dengan labu-labunya. Bukankah jika kita tersilap itu tandanya kita masih seorang manusia?

Selain itu, penulis dilihat tidak konsisten dalam menyatakan rujukan atau takhrij hadith di sesetengah tempat. Selain itu, beliau juga tidak menyatakan perawi sahabat r.a. bagi sesetengah hadith. Jadi, kita sukar menentukan siapakah sahabat r.a. yang meriwayatkan hadith berkenaan. Contohnya di dalam bab empat, halaman 136 pada topik Wasiat Rasulullah s.a.w., hadith pertama yang dinukilkan tidak dinyatakan perawi sahabat r.a., jadi kita sukar untuk kita mengetahui siapakah sahabat r.a. yang menjawab soalan berkenaan. Selain itu, takhrij yang beliau nukilkan juga tidak konsisten.

Kenapa perawi sahabat r.a. itu penting? Bagi saya, walaupun ia sekadar nama, tetapi daripada rekod sekecil itu, kita dapat mengenal pasti sama ada hadith berkenaan adalah riwayat terus daripada orang yang terlibat, atau ia adalah hadith bersifat mursal sahabi. Contohnya, pada bab empat, halaman 146 pada topik Ahli Waris Terdekat (al-Aqarib) penulis telah menukilkan hadith yang mengandugi lafaz “Wahai Safiyyah…” dan “Wahai Fatimah bint Muhammad…” Kedua-dua lafaz ini terdapat dalam satu matan hadith. Oleh kerana tiada perawi sahabat r.a. dinyatakan, saya tidak pasti sama ada Safiyyah r.a. atau Fatimah r.a. yang meriwayatkan hadith ini atau mungkin orang lain yang mendengar ucapan ini, atau mungkin orang-orang yang terlibat dalam peristiwa ini telah menceritakan kepada sahabat r.a. yang lain yang tidak hadir, lalu sahabat r.a. yang tidak hadir ini meriwayatkan hadith ini.

Walau apapun, ia satu usaha yang sangat murni bagi mengembalikan masyarakat kepada sumber asal iaitu hadith Nabawi bagi pensyariatan hukum yang diaplikasi dalam kehidupan kita. Khususnya isu berkaitan Wasiat dan Hibah. Kadang kala kita lebih suka merasai manisnya gula tanpa kita mengambil bahawa ia dari keringat petani yang menanam tebu, proses menuai dan menjadikannya ia gula yang manis pada minuman.

Bagi mendapatkan buku ini, boleh merujuk kepada laman web E-Maktabah.

Nota : Kutub al-Sittah ialah enam kitab hadith yang utama. Ia adalah Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmizi, Sunan al-Nasa’i dan Sunan Ibn Majah.

Abwab al-Din ialah bab-bab agama, biasa dimulakan dengan bab tentang iman dan seterusnya.

Abwab al-Fiqh ialah bab-bab fiqh. Susunannya lazimnya dimulakan dengan bab al-taharah, kemudian bab al-solah dan seterusnya.

Rizalman Muhammad merupakan seorang guru pendidikan Islam di SMKA Air Kuning, Mambang, Perak. Manakala Prof. Madya Dr. Ishak Suliaman adalah pensyarah di Jabatan al-Quran dan Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Sekarang beliau menyandang jawatan Timbalan Pengarah Ijazah Tinggi.

Terdapat sebuah hadith berkaitan solat bagi orang yang tidak mampu untuk membaca dan menghafaz bacaan di dalam solat. Baginda s.a.w. memberi panduan yang sangat mudah.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي لَا أَسْتَطِيعُ أَنْ آخُذَ مِنْ الْقُرْآنِ شَيْئًا فَعَلِّمْنِي مَا يُجْزِئُنِي مِنْهُ قَالَ قُلْ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فَمَا لِي قَالَ قُلْ اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي وَارْزُقْنِي وَعَافِنِي وَاهْدِنِي

Terjemahan : Daripada 'Abdullah bin Abi Awfa, beliau berkata, "Seorang lelaki datang berjumpa Nabi s.a.w. dan berkata, 'Sesungguh saya tidak mampu untuk mengambil apa-apapun daripada al-Quran (tidak boleh membaca), maka ajarlah saya daripada apa yang memadai sahaja. Lalu Nabi s.a.w. berkata, "Katakanlah, Subhanallah, Alhamdulillah, La Ilaha illa Allah, Allahu Akbar, Wala Hawla wala Quwwata illa Billah al-'Aliy al-'Azim." Lelaki itu berkata, "[Ucapan itu] untuk Allah, apa pula ucapan untuk saya?" Baginda menambah, "Katakanlah (seperti yang dihitamkan).

Sumber : Sunan Abu Dawud, Kitab al-Solah, Bab (مَا يُجْزِئُ الْأُمِّيَّ وَالْأَعْجَمِيَّ مِنْ الْقِرَاءَةِ). Syeikh al-Albani menilai hadith ini sebagai Hasan. al-Hakim juga memasukkan hadith di dalam al-Mustadrak dan mengatakan ia diterima berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim. Al-Zahabi bersetuju dengan pendapat tersebut.

Dipetik daripada buku Sifat Solat al-Nabi karya Syeikh 'Abd al-'Aziz Marzuq al-Torifi, hlm. 110.

Love is Logic!

Posted by Ahmad Saifuddin 0 comments

Mungkin saya sudah ketinggalan bas untuk berbicara tentang filem ini. Tetapi saya baru menontonnya malam tadi. Ungkapan di atas adalah kesimpulan daripada ucapan John Nash di dalam filem A Beautiful Mind lakonan Russell Crowe. Ucapan beliau ini diucapkan ketika beliau menerima Nobel Price berkaitan sumbangan beliau terhadap ekonomi moden. Ucapan beliau ini adalah seperti berikut;

"I've always believed in numbers. In the equations and logics that lead to reason; but after a lifetime of such pursuits I ask, what truly is logic? Who decides reason? My quest has take me through the physical, the metaphysical, the delusional and back, and I have made the most important discovery of my career... the most important discovery of my life. It is only in the mysterious equations of love that any logical reasons can be found."
Menurut beliau, sukar untuk menentukan apakah logik yang sebenarnya, siapa yang menentukan asbab-asbabnya? Beliau menambah, bahawa daripada Cinta, kita akan dapat menemui segala asbab-asbabnya. Benarkah begitu?
John Nash
Apabila mendengar ucapan ini, terus saya terlintas kepada Rasulullah s.a.w. yang mulia. Di hati baginda hanya ada Allah s.w.t. dan perjuangannya. Perjuangannya adalah menegakkan Islam, menyampaikan Islam, mensantuni masyarakat, mendidik para sahabat dan ahli keluarga. Ketika baginda menghampiri wafat baginda s.a.w. mengungkapkan sesuatu yang menggambarkan cintanya kepada Allah s.w.t.;
'Aisyah r.a. berkata, "Biasanya sewaktu Rasulullah s.a.w. sihat, baginda pernah bersabda, 'Seorang nabi tidak diwafatkan sehingga beliau melihat tempatnya di syurga kemudian dihidupkan atau disuruh memilih.' Ketika baginda menderita sakit dan menghampiri ajal, kepalanya berada di pangkuan 'Aisyah. Lalu beliau pengsan dan ketika sedar, baginda mengangkat pandangan baginda ke atap rumah lalu mengucapkan, Allahumma fi al-Rafiq al-A'la (Wahai Tuhanku, di [sisi] Teman yang Tertinggi). Aku ('Aisyah) berkata, 'Jika demikian, baginda tidak memilih kami.'

Sumber : Sahih al-Bukhari, Kitab al-Maghazi, Bab Sakit dan Wafatnya Nabi s.a.w.

Apabila cinta kepada Tuhan sampai kepada kemuncaknya, tiada asbab lain yang akan membayangi kita, melainkan Allah jua. Namun, untuk sampai ke kemuncaknya, kita haruslah mengikut jejak-jejak kekasih-Nya yang mulia, Muhammad bin 'Abdullah s.a.w., firman Allah s.w.t.;
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Ali 'Imran : 31
Bagaimana mengikuti jejak-jejaknya, tiada cara lain dengan meneliti hadith-hadith Nabi s.a.w. di dalam karya-karya hadith. Kepenatan Imam al-Bukhari selama 16 tahun akan berbaloi, jika segala curahan keringatnya mengumpulkan hadith Rasulullah s.a.w. yang mulia dapat diamalkan semampunya. Usaha Ibn Hajar al-'Asqalani yang menghuraikan hadith di dalam Sahih al-Bukhari selama 30 tahun akan berbaloi jika kita dapat meneliti jejak baginda kepada kita. Amalkan bersama. Tiada sesiapa, hanya Cinta segalanya.

Sinonim Dialek Kelantan

Posted by Ahmad Saifuddin Thursday, May 20, 2010 0 comments


(Tenyeh, Tonyoh) (Nyepee, Nyepaa) (Nnalin, Ddebar, Gobar) (Jjelik, Jjalak) (So'oh, Sekok) (Ghabo, Ghasar) (Supik, Jjabir) (Handey, Hatuk) (Lepar, Tagor) (Jijok, Jighik).
Dari sudut makna, kalimah ini seerti secara umum, tetapi ia mempunyai makna yang lebih halus. Huraiannya perlu lebih terperinci berdasarkan penggunaan masyarakat yang lebih tua.

Origami

Posted by Ahmad Saifuddin 1 comments

Antara permainan yang saya suka sejak dari kecil hingga ke usia dewasa sekarang ialah origami. Origami ialah seni lipatan kertas yang masyhur di negara Jepun. Ramai yang memandang remeh mainan saya ini. Mereka melihat ia kebudak-budakkan walaupun origami ini masyhur di Jepun dalam pelbagai lapisan usia termasuk warga emas. Saya tidak peduli itu semua, yang penting saya gembira dengan apa yang saya lakukan. Faktor utama yang menjadikan saya suka pada origami ialah saya boleh bermain origami tanpa sesiapa. Maksudnya ia adalah permainan seorang diri. Kita boleh tersenyum sendiri, terasa gembira sendirian.

Selepas arwah ibu saya meninggal semasa saya berumur 6 tahun, dalam keadaan saya mempunyai kawan dalam kalangan sepupu sepapat bermain bersama. Jauh di sudut hati, saya kesunyian, sepi lagi kesik. Jadi, kadang kala saya berekspresi sendiri menghiburkan hati. Saya fikir elok dilupakan seketika episod syahdu rindu ini.

Saya mengenali dunia origami ini seawal usia 6 tahun atau mungkin 5 tahun melalui abang saya Muhammad Zahid Yusof. Beliau sudah tidak melipat kertas. Harap-harap beliau masih belum lupa lagi lipatan kertas itu. Hehehe Origami pertama yang beliau ajar ialah origami kamera dan katak.

Saya fikir, sudah lama saya tidak melipat kamera dan mungkin ia seakan hilang dari memori saya. Insya Allah, saya akan cuba mencarinya kembali. Hanya origami katak sahaja yang masih segar dalam ingatan saya selama 22 tahun. Allah Maha Hebat mengekalkan memori ini. Terima kasih Abg Aid. Saya masih ingat origami yang Abg Aid lipat di depan saya dahulu menggunakan kertas berwarna ungu di depan televisyen kotak kayu dan kipas. Ia mengujakan saya ketika itu. Diajarnya kepada saya satu persatu dan saya ingat langkah demi langkah lipatan tersebut.

Origami melatih saya mengingati sesuatu dengan cepat dan baik. Melatih ingatan untuk mengekalkan langkah lipatan dengan betul. Tiada latihan yang terbaik melainkan saya melakukannya berkali-kali. Sehingga ia terpasak kekal di minda saya hingga sekarang.

Namun sekarang, bukan sahaja katak yang dapat saya lipat. Tetapi ada beberapa yang saya boleh lipat. Antara yang paling saya suka selain katak ialah Iguanadon atau dinosaur T-Rex, tikus, pepatung dan beberapa benda lain lagi. Mungkin banyak lagi tetapi saya jarang berlatih buat masa sekarang menyebabkan saya lupa. Walaupun ia remeh bagi seseorang, tetapi bagi saya, ia adalah terapi yang baik untuk melepaskan tekanan dan merasai tenaga sendiri. Keremehan yang dianggap itu adalah perspektif yang relatif. Keremehan yang kita anggap itu berada di sekeliling kita, malah kita sangat bergantung kepadanya walaupun ia adalah remeh di mata kita.

Penulis Enam Ratus Ribu Hadith

Posted by Ahmad Saifuddin 1 comments

Ada seorang kawan Imam Ahmad bin Hanbal bernama Yahya bin Ma'in. Beliau di antara ulama hadith terkenal sehingga sekarang. Ali bin al-Madini pernah berkata, "Aku belum pernah berjumpa orang yang mampu menulis sebanyak apa yang ditulis oleh Yahya bin Ma'in." Beliau menambah, "Sejak zaman Nabi Adam, aku belum pernah berjumpa orang yang mampu menulis hadith sebanyak tulisan Yahya."

Seseorang bertanya kepada Yahya, "Berapakah hadith yang tuan telah tulis?" Yahya bin Ma'in menjawab, "Aku menulis dengan tanganku ini sebanyak enam ratus ribu hadith."

Sebagai mana kita maklum, Musnad Ahmad bin Hanbal antara karya hadith terbesar. Di dalamnya ada lebih kurang 40 ribu hadith. Itupun sudah mencecah lebih lima jilid cetakan sekarang. Bagaimana pula dengan tulisan Yahya bin Ma'in ini. Karya ini tidak pernah dicetak sehingga sekarang. Sama ada manuskripnya masih wujud atau tidak, hanya Allah s.w.t. yang Tahu.

Ramai di antara kita sudah merasa hebat apabila berjaya menyiapkan tesis Ph.D setebal 300 halaman yang disiapkan dalam masa tiga hingga empat tahun. Sudah berbangga dengan tulisan kita. Sekiranya Yahya bin Ma'in masih hidup lagi sekarang, tentu beliau akan tersenyum melihat gelagat kita. Yahya bin Ma'in, penulis enam ratus ribu hadith.

Khazanah Tafsir di Malaysia

Posted by Ahmad Saifuddin 0 comments

Penulis : Mustaffa Abdullah

Judul : Khazanah Tafsir di Malaysia
Penerbit : Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Halaman : 337 halaman
Harga : RM30.00
ISBN : 978-983-43765-7-4

Secara jujur, saya ingin mengatakan bahawa tulisan ini merupakan satu-satunya tulisan yang menghimpunkan tokoh, penulis dan penyusun tafsir al-Quran di Malaysia. Tulisan-tulisan lain wujud pada tulisan-tulisan Wan Mohd Saghir serta kajian-kajian akademik sama ada disertasi, tesis, artikel jurnal dan sebagainya. Tetapi buku ini memberi fokus khusus tentang tokoh dan penulis tafsir al-Quran di Malaysia

Saya sendiri mendengar kritikan yang merendah-rendahkan tulisan ini. Mereka mengkritik adakah senarai tokoh-tokoh yang disenaraikan di dalam karya ini layak digelar tokoh? Memang benar, individu yang dimasukkan di dalam tulisan ini mungkin belum layak untuk dinobat sebagai tokoh. Tetapi jika tokoh-tokoh sahaja yang diletakkan di dalam tulisan ini, bagaimana pula dengan individu yang berusaha menulis tafsir al-Quran walaupun hanya satu karya sahaja? Adalah menjadi satu kerja untuk penulis buku ini membuat satu indikator khusus untuk membezakan yang mana tokoh dan yang mana tidak. Perbincangan tentang terminologi kalimah ‘tokoh’ ini perlu diperincikan lagi untuk mengabsahkan seseorang itu layak digelar tokoh.

Ada juga di kalangan pengkritik yang mentertawakan tulisan ini kerana memasukkan keterangan seorang individu yang pernah menulis tafsir al-Quran dengan keterangan dalam satu halaman sahaja. Memang ini berlaku pada tulisan Khazanah Tafsir di Malaysia ini. Pada bab Abu Zaky Fadzil halaman 319, penulis hanya memberi huraian ringkas tentang beliau dan karya beliau. Memang nampak kelakar apabila satu bab hanya satu halaman, tetapi bagi saya, jika tulisan ini tidak memasukkan individu yang bernama Abu Zaky Fadzil sebagai salah seorang penulis tafsir al-Quran, tentu kita tidak akan mengenali satu karya yang bertajuk Tafsir al-Quran : Tafsir al-Hidayah (1968). Walaupun karya tafsir ini mengandungi 33 halaman, tidakkah Allah s.w.t. menerima amal baik walau sebesar zarah? (al-Zalzalah : 7)

Walaupun tulisan ini amat bagus, namun ia mengandungi kesalahan yang fatal dari segi teknikal. Isi kandungan buku ini tidak menepati dengan halaman sebenar. Tetapi ia tiada kena mengena dengan penulis karya ini kerana ia melibatkan suntingan dan pembikinan layout. Tetapi kesilapan ini amat menggangu saya yang suka ‘menebuk’ buku.

Apabila kita membaca buku ini halaman demi halaman, kita akan faham bahawa penulis ini bersungguh-sungguh mendapatkan maklumat dan data untuk mempersembahkan tulisan ini dengan baik. Bagi saya ia adalah satu maklumat yang baru kerana saya tidak mengkaji perkara ini dan bagi sesetengan pengkaji, mereka hanya mengkaji satu dua orang tokoh sahaja. Jadi, buku ini memberi satu gambaran awal tentang tokoh dan karya-karya tafsir al-Quran yang wujud di Malaysia khususnya.

Walau apapun kritikan yang datang, buku ini wujud di kala pengkaji mendahagai bahan untuk mengkaji ulama’ di Nusantara khususnya di Malaysia. Kritikan yang mendatang, tidak mengurangkan kualiti buku ini. Bagi saya kesilapan-kesilapan yang wujud pada buku ini adalah biasa kerana kesilapan manusia itu biasa. Kita semua tidak luar biasa, jadi apabila kesilapan yang tidak disengajakan itu adalah biasa maka mengapa kita mesti takut untuk melakukan kesilapan kerana itu tanda kita telah lakukan sesuatu yang baik. Jika kita lakukan sesuatu yang jahat, kesilapan pada perbuatan itu tidak dikira silap kerana ia pada asalnya sudah tidak baik. Jika seseorang berkata kepada kita, “Anda silap dalam hal ini.” Itu bermakna kita telah lakukan sesuatu yang baik, cuma kita sedikit tersilap dalam sesetengah perkara. Kepada penulis buku ini, syabas! Teruskan usaha kita untuk menitipkan maklumat dan ilmu kepada masyarakat dan intelektualis.

Nota : Penulis buku ini adalah Prof. Madya Dr. Mustaffa Abdullah. Beliau adalah pensyarah di Jabatan al-Quran dan al-Hadith. Sehingga tulisan ini diletakkan, beliau masih lagi menjadi Ketua Jabatan ini.

‘Menebuk’ buku bermaksud, cara membaca dengan melihat pada isi kandungan dan memilih bab-bab tertentu untuk dibaca. Cara ini memudahkan pembaca untuk mendapatkan maklumat awal tentang kandungan buku ini. Pembacaan sebegini hanya sesuai pada buku yang memisahkan bab-bab yang dimuati. Ia tidak sesuai pada pembacaan buku-buku fiksyen seperti novel dan lain-lain. Cara ini biasanya dilakukan oleh ulat buku semasa berada di kedai-kedai buku.

Sila dapatkan buku ini di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, APIUM, hubungi 03-79676010. Jika bernasib baik, anda akan mendapat potongan harga yang menarik.

'Ulum al-Hadith

Posted by Ahmad Saifuddin 1 comments

Penulis : Fauzi Deraman

Judul : ‘Ulum al-Hadith
Penerbit : Warisan Nabawi Enterprise
Harga : RM25.00
Halaman : 164 halaman
ISBN : 978-983-43765-6-7

Bagi kami, buku ini adalah di antara buku-buku tentang mustalah al-hadith yang bernilai akademik. Di samping ia memaparkan beberapa maklumat awal tentang hubung kait antara hadith dan al-Quran, ia juga membincangkan klasifikasi hadith-hadith dengan lebih terperinci.

Menurut penulis buku ini, ia adalah salah satu bab di dalam tesis doktor falsafah (Ph.D) beliau yang bertajuk Kedudukan Hadith dalam Kitab Jawi: Satu Kajian Terhadap Karya-Karya Syeikh Dawud b. Abdullah al-Fataniy. Jadi, penulisannya dilihat agak akademik dan memaparkan beberapa perselisihan ulama’ terhadap beberapa isu yang dibincang. Ia sangat membantu pelajar-pelajar di peringkat menengah tinggi serta IPT dalam bidang pengajian Islam. Bahkan orang awam yang ingin mendalami bidang pengajian hadith, buku ini sangat membantu untuk memahami ilmu hadith. Tetapi, bagi individu yang masih baru berjinak-jinak dengan ilmu ini, beberapa istilah penting harus difahami terlebih dahulu sebelum membaca dan menelaah buku ini kerana tiada penjelasan kesemua takrifan istilah yang mungkin pembaca kurang memahaminya.

Saya sendiri terlibat secara langsung dalam melakukan kemas kini teks buku ini. Saya semak dari sudut ayat-ayat dan mungkin ada maklumat yang tidak jelas dan tertinggal semasa dalam proses penyuntingan dan sebagainya bagi penerbitan buku yang lepas dengan penerbitan yang lain. Kadang kala agak kekok untuk membetulkan buku yang ditulis sendiri oleh guru kita yang banyak membantu kita dalam memahami ilmu kepakaran mereka. Tetapi, atas kebebasan dan kepercayaan yang diberi, saya menggagahkan diri untuk memikul tugas ini.

Kesukaran yang saya hadapi ialah, kadang kala bagi sesetengah maklumat yang dinyatakan memberi maksud yang pelbagai menyebabkan saya terpaksa berterus terang dengan penulis buku ini untuk bertanyakan maklumat berkenaan. Mungkin secara zahir, ia dilihat semacam kurang ajar kerana mempertikaikan maklumat yang disampaikan beliau. Tetapi dengan sikap yang rendah diri dan tidak ambil kisah, beliau memberi penerangan berkaitan hal berkenaan. Lagipun beliau mahu menerbitkan buku ini dengan seberapa segera untuk kegunaan pelajar-pelajar beliau dan masyarakat umumnya. Semoga perkembangan ilmu hadith berkembang seiring dengan ilmu-ilmu yang lain.

Sebagai tambahan, terdapat perbincangan di dalam al-fikrah.net berkaitan buku ini. Seorang sahabat AFN memberitahu bahawa terdapat sedikit kesilapan pada nama perawi di halaman lapan. Berikut petikan tulisan beliau;
Tertulis pada halaman 8 : "Sepertimana dalam sebuah hadith Umar bin al-Hakam berkata..."

Yang benar nama perawinya ialah Mua'wiyah bin Al-Hakam As Sulami. Hadith ini diriwayatkan oleh Malik, Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'i dan lain-lain. Dalam Sahih Muslim hadith ini boleh disemak pada kitab Masjid dan tempat-tempat shalat, bab dilarang berbicara ketika shalat.
Blurb Buku;

Buku ini memberi kedudukan sebenar tata letak sunnah Muhammad s.a.w. di dalam syariat Islam. Ini adalah untuk menangkis fahaman anti hadith sama ada dari dalam atau luar masyarakat Islam bagi mengekalkan status quo sunnah Rasul s.a.w. sebagai sumber yang mendasari syariat dan hukum Islam.

Tulisan yang membahaskan ilmu-ilmu berkaitan sains hadith atau ulum al-hadith. Dengan memperincikan perbahasan yang dibawa oleh para ulama’ silam dan sekarang adalah untuk memurnikan kembali khilaf yang wujud berkaitan ilmu ini. Penelitian yang tuntas dan sederhana memberi gambaran yang jelas kepada sesiapa yang membelek setiap halaman buku ini.

Buku ini juga mampu memberi maklumat awal tentang gambaran sebenar ilmu-ilmu berkaitan sunnah Rasul s.a.w. yang disusun atur oleh para ulama’ silam dan semasa. Disenaraikan bersama contoh-contoh yang mudah difahami di samping huraian yang jelas dan terang sebagai mana yang digariskan oleh ulama’ hadith.

Boleh menjadi rujukan sama ada di peringkat menengah, pengajian tinggi hatta masyarakat awam sekalipun. Sesuai menjadi buku panduan untuk pelajaran yang berkaitan hadith, tafsir, fiqh dan sebagainya.

Nota : Penulis ialah Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman, pensyarah di Jabatan al-Quran dan Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Glosari : Blurb ialah keterangan ringkas penerbit tentang isi sesebuah buku pada jaket, kulit belakang buku dan lain-lain. [Kamus Dewan 4 : 196]

Hadith yang Memegang Jiwa

Posted by Ahmad Saifuddin 2 comments

Sebelum ini saya pernah berkongsi tentang hadith yang saya suka sejak dibangku sekolah lagi. Ia sangat memegang jiwa saya selama ini. Hadith berkenaan adalah riwayat Aisyah r.a.;

Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya.
Sumber : Hadith ini diriwayatkan di dalam Sahih Ibn Hibban, dalam Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276.

Hadith ini secara jujurnya saya dengar dari kaset ceramah politik Datuk Seri Haji 'Abdul Hadi Awang. Saya menyangka bahawa ia adalah hadith sahih pada ketika itu. Apabila diteliti, hadith ini tidak sahih jika disandarkan kepada Nabi s.a.w. Menurut Ibn Abi Hatim di dalam Kitab al-Ilal, beliau telah bertanya kepada Abu Zur'ah al-Dimasyqi berkenaan hadith ini dengan sanad yang sama dengan sanad yang dikemukakan oleh Ibn Hibban di dalam Sahih Ibn Hibban di atas. Abu Zur'ah membetulkannya dan mengatakan bahawa ia adalah hadith mawquf, iaitu dari kata-kata Aisyah r.a. bukan dari kalam Rasulullah s.a.w. Jika disandarkan hadith di atas kepada Aisyah r.a. maka ia ada sahih. (Rujuk: Kitab al-Ilal, No. Masalah 1800, hlm. 1247)

Semoga hadith ini masing memegang jiwa saya selama-lamanya. Hanya Allah s.w.t. Maha Berkuasa ke atas kita semua.

Nota : Sanad ialah rantaian perawi-perawi bagi sesebuah hadith.
Mawquf ialah hadith yang disandarkan kepada sahabat r.a. bukan kepada Nabi s.a.w.

Ayah

Posted by Ahmad Saifuddin Wednesday, May 19, 2010 2 comments

Satu individu yang sering menjadi kebanggaan seorang anak. Kadang kala ada yang sebaliknya. Kita pernah dengar bapa bernafsu binatang yang membaham anaknya sendiri dan sebagainya. Orang sebegini tidak layak digelar sebagai ayah.

Ayah saya yang mendirikan rumah tangga ketika berusia 37 tahun pada tahun 1967. Usia yang agak lewat pada masa itu bagi seorang lelaki. Ia menyebabkan saya lahir ke dunia ketika beliau sudah berusia 50an. Keadaan itu memaksa ayah bekerja walaupun dalam usia 60an untuk menyambung suapan makan ke mulut kami yang berada jauh di seberang laut atau dekat. Kepenatan seharian ayah, memberi kami erti kasihan belas kepada seseorang yang hanya memikirkan keperluan anaknya. Kadang kala dipenuhi, kadang kala terpaksa ditahan seketika. Garis-garis kedut ditubuhnya kadang kala mengundang rasa belas di hati pada ketika itu hanya belasan tahun yang perlu fokus pada belajar semata. Apakan daya, sedaya mampu cuma dapat kuhulur untuk membantu ayah. Membasuh pakaian, memasak, mengurus rumah dan sebagainya. Abang kakak berada jauh menyambung belajar meneruskan legasi ayah dalam pelajaran.

Aduhai ayah, ketika usia menjangkau 66 tahun dan kau masih membanting tulang mencari makan untuk kami semua. Tiada gunung emas yang mampu membalas. Di saat rakan-rakanmu bergelak ketawa bersama cucu di depan anjung rumah sambil menghirup kopi panas dan pisang goreng. Kau sedang mengayuh basikal pulang dari tempat kerja, hanya untuk keperluan anak-anakmu. Kisah ayah ini, kedengaran biasa di mulut sesiapa sahaja yang mempunyai ayah yang tabah. Sekadar bersyahdu sementara. Semoga Allah s.w.t. mengampuni dan merahmati Ayah, Yusof bin Mat Sah.