Kembara Makna

Dalam relung-relung kasih, kita semua bersua dan berjumpa. Ada yang tidak pernah kukenal peribadinya. Tetapi aku tetap sama. Ayah dan ibu darah serupa. Mungkin cara kita melihat diri, mengubah cara kita melihat dunia.

"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276

Hidup Ini Penuh Makna

Posted by Ahmad Saifuddin Monday, November 29, 2010 2 comments

Sejak sekian lama, aku jarang menconteng laman ini dengan bebas. Paparan yang biasanya nampak 'skema' sahaja dengan pos-pos yang agak akademik. Sekali sekala dengan beberapa berita tentang keluarga.

Pelbagai yang aku lalui sejak beberapa bulan ini. Pelbagai jenis ranjau, onak dan duri aku lalui bersama keluarga. Kadang kala ada ketika kami gembira, tetapi sering kami sedih dan gundah gulana. Berhadapan dengan pelbagai jenis manusia dalam tempoh sesingkat ini. Memberi aku pelbagai erti makna hidup bahawa hidup ini adalah sememangnya tempat Allah s.w.t. menguji iman hamba-Nya.

Bertemu dengan pelbagai ragam manusia yang kadang kala membuatkan hati muak dan loya dengan gaya pakaian dan cakap mereka. Menggunakan topeng-topeng agama untuk menghalalkan segala cara. Bercakap seolah-olah dia sahaja yang hebat, dia sahaja yang benar, dia sahaja yang berhak!
Bercakap tinggi melangit seolah-olah dia mampu menukar warna langit, sedangkan di kakinya masih terpalit najis sendiri.
Bercakap seolah-olah dirinya sahaja hebat, dirinya sahaja yang layak dipuji dan dipuja. Lupakah pada pepatah Melayu, "Setinggi-tinggi nyior melambai, tinggi lagi asap menjulang." Allahu Akbar, Allah jua yang Maha Hebat. Mendengar kalam berlapik ayat al-Quran dan Hadith dari orang sebegini, terdetik di hati aku, "Benarkah dia membaca ayat dan hadith itu? Apa sebenarnya berlaku dalam fikirannya?" Berbuih mulutnya menceritakan tentang kebaikan, namun hasil dan praktikalnya hanya sedikit. Benar kata pepatah Melayu lama;
Ibarat Jalak di hujung kampung, kokok berderai-derai, ekor bergelumang taik.
Kita hanya mampu mendengar dan terpaksa berkumat-kamit membaca sesuatu bagi menghilangkan keresahan itu. Hanya Allah s.w.t. memahami keadaan ini. Kalam aku ini kadang kala menyedihkan hati aku kerana ia datang dari apa yang berlaku. Ingatlah kata pepatah;
Bila telunjuk menuding, tiga jari di bawah sedang menuding ke arah kita.
Kesedihan yang datang ini, memberi erti yang sungguh bermakna mengenangkan ayahku dulu yang sering kerut di dahi memikirkan soal keluarga. Ya Allah, kumohon kepadamu dihilangkan resah ini. Gembirakan hatiku dan keluargaku.