Kembara Makna

Dalam relung-relung kasih, kita semua bersua dan berjumpa. Ada yang tidak pernah kukenal peribadinya. Tetapi aku tetap sama. Ayah dan ibu darah serupa. Mungkin cara kita melihat diri, mengubah cara kita melihat dunia.

"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276

Srikandi Hadith : Permata di Celahan Kaca

Posted by Ahmad Saifuddin Thursday, June 7, 2012


Majalah I (Karangkraf), Februari 2011
Islam telah mengangkat martabat wanita dengan menghapuskan beberapa amalan dan kefahaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Islam telah menghapuskan amalan membunuh dan menanam bayi perempuan dan mengangkat status dan kerohanian wanita. Malah Islam memandang rendah terhadap sikap mengabai dan merendah-rendahkan wanita. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-An’am ayat 140;

Sesungguhnya rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan (sedang Allah yang memberi rezeki kepada sekalian makhluknya), dan juga (rugilah orang-orang yang) mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka, Dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka, dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.

Islam memandang tinggi terhadap ilmu pengetahuan begitu juga kepada pemiliknya. Status orang yang berilmu akan diangkat beberapa tahap berbanding orang yang tidak berilmu. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-Mujadalah ayat 11;

…Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.

Ayat di atas tidak membuat pengkhususan kepada golongan lelaki, maka ayat ini memberi maksud galakan ini adalah termasuk juga golongan wanita. Nabi s.a.w. menggesa kepada kita agar kita terasa ‘iri hati’ kepada orang yang berilmu dan memanfaatkan ilmu kepada orang lain. Rasulullah s.a.w. tidak membezakan kelompok wanita atau lelaki. Sabda Nabi s.a.w.;

Abdullah bin Mas'ud berkata, Nabi s.a.w. bersabda, “Tidak iri hati [seseorang itu] kecuali pada dua [perkara iaitu] seorang lelaki yang diberi harta oleh Allah, lalu harta itu dikuasainya untuk membelanjakannya dalam kebenaran (haq), dan seorang lelaki yang diberi hikmah oleh Allah di mana ia memberi keputusan dan mengajarkannya” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm. Sahih Muslim, Kitab Fadha’il al-Quran.)

Ibn Hajar al-‘Asqalani (m. 852H) dan Badr al-Din al-‘Ayni (m. 855H) menjelaskan, iri hati (Hasad) yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. yang mana baginda izinkan adalah al-Ghibtah yang bermaksud cita-cita untuk mendapatkan bahagia seperti mana orang lain. Kalimah hasad yang digunakan oleh Nabi s.a.w. itu adalah kiasan semata-mata. Manakala kalimah hikmah pula, menurut al-Ayni, ilmu tersebut adalah ilmu syariat yang berpandukan al-Quran dan Sunnah.

(Ahmad bin Hajar al-‘Asqalani (2001/1421), Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, Maktabah al-Malik Fahd, jilid 1, hlm. 200-201; Badr al-Din Abi Muhammad Mahmud bin Ahmad al-‘Ayni, (2001/1421), ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, jilid 2, hlm. 86-87)

Oleh kerana itu, al-Hakim al-Naysaburi pernah berkata, “Satu perempat daripada khazanah ilmu agama kita adalah daripada apa yang dibawa oleh golongan wanita. Tanpa jasa dari mereka, kita mungkin hilang suku daripada khazanah ilmu tersebut.”

Bermula Dari Keluarga

Individu pertama yang kita kenal adalah keluarga kita sendiri. Rasulullah s.a.w. sendiri memberi panduan dalam mendidik keluarga khususnya wanita adalah bermula dari rumah dan kelangsungan berterusan sehingga wanita itu dewasa. Kita dapat perhatikan bagaimana Rasulullah s.a.w. mendidik puteri perempuan kesayangan Fatimah r.a. Ini diikuti oleh para sahabat yang lain dalam mendidik anak-anak khususnya anak perempuan. Contohnya, Sa’d bin Abi Waqas r.a. (m. 45H) mengajar anaknya yang bernama ‘Aishah. Anas bin Malik (m. 92H) pula mengajar anaknya Aminah. 

Begitu juga dengan tabi’in yang meneruskan kelangsungan ini. Antaranya Sa’id bin Musayyab yang merupakan antara tabi’in yang hebat, beliau telah mengajarkan hadith dan ilmu kepada anak perempuannya. Sehinggakan Khalifah Abdul Malik bin Marwan (Khalifah Bani Umayyah) ingin meminang anak Sa’id untuk dikahwinkan dengan anak beliau al-Walid. Tetapi Sa’id menolak pinangan itu dan mengahwinkan anak perempuan dengan muridnya yang paling baik.

Suatu pagi, si suami ini sedang bersiap untuk keluar. Lalu anak perempuan Sa’id bin Musayyab bertanya, “Abang mahu ke mana?” Suaminya menjawab, “Saya mahu menghadiri halaqah pengajian Sa’id (bapa mertua).” Isterinya menjawab, “Duduk di sini, saya akan mengajarkan semua ilmu Sa’id (ayah).”

Amrah binti Abd al-Rahman yang merupakan tabi’in wanita yang hebat. Beliau menjadi tempat rujukan hukum-hakam dan merupakan ulama hadith yang berwibawa. Antara orang yang meriwayatkan hadith daripada beliau adalah anak lelakinya iaitu, Abu al-Rijal Muhammad bin Abd al-Rahman al-Ansari. Hadith riwayat daripada anak Amrah daripada beliau banyak direkodkan di dalam karya-karya utama hadith seperti Sahih al-Bukhari dan Muslim, Sunan al-Nasa’i dan Ibn Majah.

Begitu juga anak perempuan Imam Malik bin Anas, salah seorang imam daripada empat mazhab fiqh utama. Imam Malik telah mengajarkan hadith dan ilmu kepada anak-anaknya termasuk anak perempuannya Fatimah. Dan anak perempuan beliau mengingati semua ilmu itu dengan menghafaznya di dalam ingatan termasuk karya bapanya al-Muwatta’ (kitab hadith Imam Malik). Sewaktu murid Imam Malik sedang membacakan al-Muwatta, anak perempuannya akan berada di belakang pintu untuk mendengar bacaan. Sekiranya murid Imam Malik tersilap ketika membaca hadith, beliau akan mengetuk pintu dan Imam Malik akan meminta muridnya mengulang kembali bacaan itu.

Imam Ahmad bin Hanbal juga melakukan demikian kepada isterinya Abasah binti al-Fadhil dengan mengajarkan hadith dan ilmu kepada isterinya. Imam Ibn Asakir pernah menjemput Shaykhah Fatimah binti ‘Ali bin al-Husayn untuk mengajar hadith kepada isterinya Umm Abdullah ‘Aisyah binti ‘Ali bin al-Khaddar al-Sulamiyyah serta anak-anaknya. Isteri Ibn Hajar iaitu Uns Khatun bersama-sama dengan suaminya mendengar hadith daripada al-Hafiz Zayn al-Iraqi. Kemudian beliau membentang hadith-hadith dari Sahih al-Bukhari di hadapan suaminya Ibn Hajar al-‘Asqalani. Ini adalah di antara pelbagai maklumat tentang usaha para ulama dalam mendidik keluarga dan anak-anak perempuan mereka dengan menyampaikan ilmu khususnya ilmu hadith.

Bahkan tidak pelik dikatakan bahawa lelaki yang bergelar suami juga belajar dan meriwayatkan hadith daripada isteri masing-masing. Hisyam bin ‘Urwah meriwayatkan hadith daripada isterinya Fatimah binti Munzir bin al-Zubayr bin al-‘Awwam iaitu cucu kepada Asma’ binti Abu Bakr r.a. Fatimah binti Munzir banyak meriwayatkan hadith daripada neneknya Asma’ r.a. Suaminya Hisyam bin ‘Urwah banyak meriwayatkan hadith daripada isterinya sehinggakan banyak didapati di dalam Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan karya-karya hadith yang lain. 

Mu’az binti ‘Abdullah bin Habib al-Juhani pernah bertanya kepada isterinya, “Bilakah sepatutnya kanak-kanak itu solat?” Isterinya menjawab, “Seorang lelaki dalam kalangan sahabat pernah menceritakan daripada Nabi s.a.w. berkaitan persoalan ini. Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Apabila (anak itu) mengetahui sebelah kanan dan kirinya, maka suruhlah dia untuk solat.” (Sunan Abu Dawud, Kitab al-Solah)

Permata di Celahan Kaca

Wanita Islam terlibat secara langsung dengan perkembangan hadith bermula sejak di zaman Rasulullah s.a.w. Ia adalah hasil daripada kesungguhan dan keazaman kaum wanita untuk menimba ilmu dengan mendampingi Rasulullah s.a.w. dan mendengar hadith daripada baginda. 

Abu Sa’id al-Khudri menceritakan, “Suatu hari seorang wanita datang berjumpa Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Wahai Rasulullah, kaum lelaki sudah biasa berjumpa dengan tuan dan mendengar hadith tuan. Saya mohon agar tuan dapat luangkan satu hari agar kami dapat datang dan tuan mengajarkan kami tentang apa yang Allah ajarkan kepada tuan.” Lalu baginda bersabda, “Jika begitu, berkumpullah pada hari sekian, sekian.” Lalu kaum hawa berkumpul dan baginda mendatangi mereka serta mengajarkan kepada mereka tentang apa yang diajarkan oleh Allah kepada baginda.” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm dan Sahih Muslim, Kitab al-Bir wa Silah)

Disebabkan sikap dan kesungguhan ini, ia menghasilkan para muhaddithah (ulama hadith wanita) yang hebat dan banyak meriwayatkan hadith-hadith Nabi s.a.w. Di antara yang paling menonjol adalah para isteri Nabi s.a.w. yang lebih dikenali dengan Ummahatul Mukminin (Ibu-ibu orang-orang beriman). Terutama Saidatina ‘Aisyah yang sering bersama Rasulullah s.a.w. dan banyak mendengar dan meriwayatkan hadith dari baginda s.a.w. Dengan usia yang masih muda, pemikiran yang tajam dan seorang yang fast learner, Aisyah mampu mengingati dan merakamkan pelbagai peristiwa yang berlaku semasa hayat Nabi s.a.w. Ini terbukti apabila para ulama hadith menghimpunkan hadith-hadith beliau sehingga mencecah 2,210 hadith. Sehinggakan ramai dalam kalangan para sahabat datang berjumpa untuk mengambil dan meriwayat hadith daripada beliau. Seramai 299 orang yang datang meriwayatkan hadith adalah termasuk para sahabat dan tabi’in, diambil kira juga 67 orang daripadanya adalah wanita.

Ummu Salamah r.a. juga sama, sehinggakan al-Zahabi menggelarkan beliau sebagai Fuqaha’ al-Sahabiyyah (Ulama Fiqh Sahabat Wanita). Seramai 101 orang belajar daripada beliau dan 23 daripadanya adalah wanita termasuk para sahabat dan tabi’in. Begitu juga sahabiyyah dan isteri Nabi s.a.w. yang lain seperti Hafsah binti Umar al-Khattab, Asma’ binti Abu Bakr, Asma’ binti Unays, Juwayriyyah binti al-Harith, Zaynab binti Jahsy dan ramai lagi.

Di dalam karya Taqrib al-Tahzib, Ibn Hajar menyenaraikan seramai 824 orang perawi hadith wanita hingga kurun ketiga hijrah. Dr. Muhammad Akram al-Nadwi dari Universiti Oxford memberitahu, sejak 1400 tahun yang lalu, beliau berjaya menghimpunkan senarai ulama dan perawi hadith wanita lebih kurang seramai 8000 orang. Beliau sedang menyusun satu ensiklopedia yang menyenaraikan semua ulama dan perawi hadith wanita yang mencecah sehingga 40 jilid.

Srikandi Hadith

“Malaikat adalah penjaga agama di langit, ahli hadith pula penjaga agama di bumi,” kata Sufyan al-Thawri. Pembela sunnah Nabi s.a.w. tidak terkecuali juga golongan wanita. Bermula dengan para sahabat wanita r.a. khususnya Ummahatul Mukminin seperti Aisyah r.a., Ummu Salamah, Hafsah dan lain-lain. Para tabi’in dalam kalangan wanita juga tidak tersisih dari sejarah perkembangan hadith. 

Antaranya, Amrah binti Abdul Rahman, seorang yang pakar dalam perundangan Islam dan bertaraf mufti dan hebat dalam bidang hadith. Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz pernah memberitahu, “Jika kamu mahu belajar hadith, pergilah belajar daripada Amrah.” Beliau juga pernah meminta anak saudara Amrah iaitu Abu Bakr bin Hazm agar menulis semua hadith yang diriwayatkan oleh Amrah. Ibn Syihab al-Zuhri berkata, “Pergilah belajar dengan Amrah, ilmu hadith miliknya ibarat sebesar kapal.” Banyak hadith-hadith riwayat Amrah direkodkan di dalam karya-karya utama hadith seperti Sahih al-Bukhari dan Muslim. Beliau juga antara murid Saidatina Aisyah r.a. yang paling autoriti dan selalu melazimi isteri Rasulullah s.a.w. ini. Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz berkata, “Tidak ada sesiapa yang lebih mengetahui ilmu hadith Aisyah r.a. melainkan Amrah.” Qasim bin Muhammad berkata kepada al-Zuhri, “Pergilah dan belajar daripada Amrah, kerana dirinya berada di bawah bimbingan Aisyah r.a.” Al-Zuhri berkata, “Lalu saya pergi belajar kepadanya (Amrah) dan saya mendapati dirinya (ilmu) umpama lautan yang tidak bertepi.”

Ramai lagi srikandi hadith yang terkemuka muncul dan menyebar dan mengajarkan hadith kepada masyarakat. Abidah al-Madinah juga demikian, beliau banyak meriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik r.a. Bahkan para ulama mengatakan beliau meriwayatkan hadith sebanyak sepuluh ribu hadith. 

Pada kurun kelima, Shaykhah Karimah binti Ahmad bin Muhammad al-Marwaziyyah merupakan antara individu yang meriwayatkan Sahih al-Bukhari daripada al-Kashmihani. Beliau merupakan wanita pertama yang mengajar Sahih al-Bukhari di Mekah.

Fatimah binti Sa’d al-Khayr juga merupakan antara ulama hadith terkemuka. Ayahnya merupakan ulama’ yang hebat dan merantau dari Andalus hingga ke pelusuk negeri-negeri utama. Ketika singgah di beberapa tempat seperti Baghdad, Isfahan dan sebagainya, beliau banyak belajar dari para ulama di situ. Anaknya Fatimah mempelajari ilmu ketika waktu masih kanak-kanak. Beliau telah mendengar dan mempelajari kitab al-Du’afa wa al-Matrukin karya al-Daraqutni seawal usia tujuh tahun. Begitu juga dengan karya-karya lain. Ayahnya juga membawa Fatimah bersama ketika belajar daripada para ulama’ hadith. 

Beliau telah belajar daripada Fatimah al-Juzdaniyyah keseluruhan hadith di dalam karya Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabarani (cetakan sekarang sebanyak 37 jilid) dan Mu’jam al-Saghir oleh al-Tabarani juga. Khatib Marda membawa ilmu hadith yang dipelajari daripada Fatimah bin Sa’d ke tempat tinggalnya iaitu daripada karya Musnad Abi Ya’la, Ziyadat Amali Imam Malik dan karya-karya lain. Di antara murid Fatimah yang terkenal ialah Imam al-Munziri. Disebabkan kehebatannya, Dr. Muhammad Akram al-Nadwi menulis biografi Fatimah binti Sa’d di dalam ensiklopedia yang disusun beliau sehingga mencecah dua puluh halaman. Menurut Dr. Muhammad Akram, sewaktu beliau sedang belajar hadith daripada Syeikh Nuruddin ‘Itr di Damsyik, Syria, pada waktu itu telah ada tiga puluh lima orang wanita yang menghafaz dan mengingati keseluruhan Sahih al-Bukhari termasuk perawi dan sanadnya sekali. (Mohammad Akram Nadwi (2007), al-Muhaddithat : the Women Scholars in Islam, Interface Publication Ltd., London, hlm. 54)

Ramai lagi tokoh dan srikandi hadith yang meneruskan kelangsungan para ulama’ dan berjuang untuk mengembangkan hadith Nabi s.a.w. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mempelajari hadith dan menyebarkannya. Tidak ada erti susah dan payah sekiranya ada kemahuan.

Status Perawi Wanita

Dr. Muhammad Akram berkata, “Ramai dalam kalangan kaum lelaki yang mereka-reka hadith palsu bertujuan memfitnah Rasulullah s.a.w. Tetapi perkara ini tidak ditemui dalam kalangan tokoh-tokoh wanita sebagai perawi hadis.” Berita Harian, 14 April 2009.

Ini jelas dinyatakan oleh Imam al-Zahabi daripada nukilannya di dalam Mizan al-I’tidal pada Bab Perawi Wanita yang Majhul (Tidak Dikenali), “Tidak aku ketahui [seorang pun] dalam kalangan wanita [yang meriwayatkan hadith] yang dituduh [berdusta] dan tidak juga yang ditinggalkan [periwayatan].” (Al-Zahabi (1995/1416), Mizan al-I’tidal, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, jilid 7, hlm. 465)

Syeikh Abdul ‘Aziz Marzuq al-Torifi menyatakan bahawa para ulama hadith terawal seperti Imam al-Bukhari, Abu Hatim al-Razi, al-Daraqutni, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain menerima sejumlah hadith daripada sebahagian perawi wanita yang majhul (tidak dikenali), dengan syarat ia adalah daripada tabaqat (peringkat) teratas dalam kalangan tabi’in dan juga perawi wanita secara khusus.

Kehebatan dan sumbangan wanita sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. adalah tidak dapat dinafi. Kesan dan bekas jejak peninggalan mereka memberikan kita satu kurnia dan warisan yang tidak ternilai. Tiada ungkapan, “Ilmu hadith itu susah.” “Ilmu hadith itu berbelit-belit.” “Ilmu hadith hanya untuk lelaki.” Apa yang ada adalah tekad dan semangat untuk membela dan mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Setiap perjalanan bermula dengan langkah pertama dan kita tidak akan tersungkur melainkan kita berjalan, namun kita mampu untuk bangun kembali. Orang yang tidak tersungkur adalah orang yang tidak berjalan ke mana-mana. Ayuh wanita! Jom belajar hadith!


Ahmad Saifuddin Yusof
Februari 2011

0 comments

Post a Comment