Kembara Makna

Dalam relung-relung kasih, kita semua bersua dan berjumpa. Ada yang tidak pernah kukenal peribadinya. Tetapi aku tetap sama. Ayah dan ibu darah serupa. Mungkin cara kita melihat diri, mengubah cara kita melihat dunia.

"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276

Selepas Susah Pasti Senang

Posted by Ahmad Saifuddin Friday, June 25, 2010

Percayakah kita bahawa setiap susah itu pasti akan senang kemudian. Allah lebih tahu keadaan kita. Dia lebih tahu masa depan kita. Apabila Allah berkata di dalam al-Quran,
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran, disertai kemudahan” (al-Insyirah : 5 & 6)

Apabila Allah berkata demikian, yakinlah bahawa setiap susah yang kita terima pasti akan disusuli dengan senang dan lapang. Kita semua tentu mengalaminya saban hari. Ibu-ibu pasti memahami maksud ayat ini ketika perit melahirkan anak. Percayalah bahawa kepada pesan Allah ini. Hanya Dia yang lebih tahu tentang diri kita, baik buruk kita dan perangai kita. Kita berusaha dan berjuang melawan sakit dan pedih akhirnya kita akan pasti berjaya. Tetapi Allah menyambung kata-katanya,
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain).” (al-Insyirah : 7)

Selesai satu kerja, lakukan kerja yang lain dengan lebih bersungguh-sungguh. Adakah mencari rezeki itu bukan amal salih? Mencari rezeki juga amal salih di sisi Allah. Bukan hanya sembahyang, puasa, zakat dan haji. Kita mencari rezeki yang halal untuk anak-anak dan keluarga supaya anak-anak dapat belajar dengan selesa. Menyediakan tempat berteduh, makan, pakaian dan banyak lagi. Allah mengira segala apa yang kita lakukan untuk kebaikan, asalkan tidak melanggar undang-undang yang Allah tetapkan.

Sebagai seorang muslim kita wajib menunaikan sembahyang lima kali sehari. Tetapi Allah memudahkan kepada orang yang sakit untuk meringkas sembahyang dan menggabung waktu sembahyang. Namun, lakukan dengan bersungguh-sungguh, berdoa dengan tekun. Selepas satu amalan, satu lagi amalan sehingga kita tenang dan bahagia.

Belajar bukan amal salih? Siang malam kita bersungguh-sungguh datang ke kelas, ke kuliah untuk memenuhi cita-cita sendiri, cita-cita ibu dan ayah. Allah mengira semuanya sebagai amal salih, asalkan kita lakukan ia bukan untuk mencari duit semata-mata. Tetapi kita perlu ingat, cerah mungkin tidak sampai ke petang, mungkin hujan di tengahari. Kita belum pasti dapat apa yang kita citakan. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Sebab itulah Allah menyambung pesanannya dengan berkata,
“Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)” (al-Insyirah : 8)

Hanya kepada Allah kita meminta. Hanya Dia sahaja pemilik segala-galanya. Tidak kira ia di langit atau di bumi. Memang perit ujian yang menimpa kita. Kadang-kadang tidak tertanggung rasa. Hanya kepada Allah kita memohon dan meminta. Sahabat Nabi Muhammad, Salman al-Farisi ada menceritakan bahawa Nabi Muhammad pernah memberitahu,
“Sesungguhnya Allah akan malu apabila seorang hamba mengangkat kedua tangan berdoa kepadaNya, lalu Dia membiarkan kedua tangan itu kosong dan hampa.” - Direkodkan oleh al-Hakim dan al-Tabrani

Marilah sama-sama kita meminta kepada Allah, memohon agar dikurangkan beban yang kita tanggung ini. Merayu kepadaNya agar mengurangkan sakit yang pedih ini. Hanya Dia yang boleh membantu.

0 comments

Post a Comment