Kembara Makna

Dalam relung-relung kasih, kita semua bersua dan berjumpa. Ada yang tidak pernah kukenal peribadinya. Tetapi aku tetap sama. Ayah dan ibu darah serupa. Mungkin cara kita melihat diri, mengubah cara kita melihat dunia.

"Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya." Mawquf, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276

Kelebihan Demam

Posted by Ahmad Saifuddin Wednesday, June 30, 2010 3 comments

Suatu hari, Rasulullah s.a.w. menziarahi Ummu Sa’ib yang sedang sakit. Apabila sampai di rumahnya, Rasulullah s.a.w. bertanya, “Kenapa kamu menggigil Ummu Sa’ib?” Beliau menjawab, “Saya sakit demam, semoga Allah tidak memberkati demam ini.” Lalu Rasulullah s.a.w. menegur, “Janganlah kamu mencela sakit demam, kerana ia akan menghapuskan dosa-dosa anak adam seperti mana pemanas besi dapat menghilangkan karat-karat besi.” Hadith riwayat Muslim

Demam sudah dianggap penghapus dosa kita. Apatah lagi sakit jantung, kanser, strok, patak kaki, batu karang, luka akibat kemalangan dan banyak lagi. Semoga sakit ini menjadi penghapus dosa kita yang telah lalu. Kita redha dengan apa yang menimpa kita kerana kita tahu Allah sayangkan kita dan Dia mahu kita berjumpa dengannya tanpa sebarang dosa dan noda.

Rasulullah s.a.w. ada berpesan,
“Ujian akan sentiasa menimpa lelaki dan perempuan yang beriman. Sama ada menimpa kepada diri sendiri, anak-anak dan hartanya. Sehinggalah dia menemui Allah tanpa apa-apa salah.” Hadith riwayat al-Tirmizi (Hasan Sahih)

Setiap susah yang menimpa diri kita akan dihapuskan dosa-dosa, walaupun ia cuma sekadar tertusuk duri sahaja. Allah mengambil kira walaupun ia terlalu kecil. Hanya sekadar tertusuk duri...

Kasih Allah Kepada HambaNya

Posted by Ahmad Saifuddin 0 comments

Suatu hari Nabi Muhammad dan sahabat beliau melihat seorang ibu yang hilang anaknya. Sejurus kemudian, ibu tersebut menemui kembali anaknya itu. Dia memeluk erat anaknya lantaran terlalu sayang.

Lalu Nabi Muhammad bertanya kepada para sahabatnya, “Mungkinkah wanita ini akan mencampakkan anaknya ke dalam api?” Mereka menjawab, “Tidak.” Nabi Muhammad menyambung, “Allah sayangkan hambaNya lebih daripada sayangnya wanita ini kepada anaknya.” Riwayat Muslim

Aduh! Begitu hebat kasih Allah kepada kita. Lebih dalam daripada kasih seorang ibu kepada anaknya. Kasih ibu adalah kasih yang tiada tandingan di dunia ini. Tetapi kasih Allah kepada hambaNya melebihi segala-gala.

Justeru, apa yang berlaku kepada adalah sebagai tanda cinta dan sayangnya Allah kepada kita. Semakin berat ujian itu, semakin besar pahala dan ganjarannya. Jika sekiranya kita redha terhadap ujian ini, maka Allah akan redha kepada kita. Jika kita marah kepada Allah kerana ujian ini, kita akan mendapat marahNya juga.

Nabi Muhammad berkata,
“Besar pahala itu adalah berdasarkan beban ujian. Jika Allah mencintai satu golongan, tentu Allah menimpakan golongan itu dengan ujian. Sesiapa yang redha, maka dia akan mendapat redhaNya. Sesiapa yang marah, dia akan mendapat marah daripada Allah.” Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah.

Selepas Susah Pasti Senang

Posted by Ahmad Saifuddin Friday, June 25, 2010 0 comments

Percayakah kita bahawa setiap susah itu pasti akan senang kemudian. Allah lebih tahu keadaan kita. Dia lebih tahu masa depan kita. Apabila Allah berkata di dalam al-Quran,
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran, disertai kemudahan” (al-Insyirah : 5 & 6)

Apabila Allah berkata demikian, yakinlah bahawa setiap susah yang kita terima pasti akan disusuli dengan senang dan lapang. Kita semua tentu mengalaminya saban hari. Ibu-ibu pasti memahami maksud ayat ini ketika perit melahirkan anak. Percayalah bahawa kepada pesan Allah ini. Hanya Dia yang lebih tahu tentang diri kita, baik buruk kita dan perangai kita. Kita berusaha dan berjuang melawan sakit dan pedih akhirnya kita akan pasti berjaya. Tetapi Allah menyambung kata-katanya,
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain).” (al-Insyirah : 7)

Selesai satu kerja, lakukan kerja yang lain dengan lebih bersungguh-sungguh. Adakah mencari rezeki itu bukan amal salih? Mencari rezeki juga amal salih di sisi Allah. Bukan hanya sembahyang, puasa, zakat dan haji. Kita mencari rezeki yang halal untuk anak-anak dan keluarga supaya anak-anak dapat belajar dengan selesa. Menyediakan tempat berteduh, makan, pakaian dan banyak lagi. Allah mengira segala apa yang kita lakukan untuk kebaikan, asalkan tidak melanggar undang-undang yang Allah tetapkan.

Sebagai seorang muslim kita wajib menunaikan sembahyang lima kali sehari. Tetapi Allah memudahkan kepada orang yang sakit untuk meringkas sembahyang dan menggabung waktu sembahyang. Namun, lakukan dengan bersungguh-sungguh, berdoa dengan tekun. Selepas satu amalan, satu lagi amalan sehingga kita tenang dan bahagia.

Belajar bukan amal salih? Siang malam kita bersungguh-sungguh datang ke kelas, ke kuliah untuk memenuhi cita-cita sendiri, cita-cita ibu dan ayah. Allah mengira semuanya sebagai amal salih, asalkan kita lakukan ia bukan untuk mencari duit semata-mata. Tetapi kita perlu ingat, cerah mungkin tidak sampai ke petang, mungkin hujan di tengahari. Kita belum pasti dapat apa yang kita citakan. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Sebab itulah Allah menyambung pesanannya dengan berkata,
“Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)” (al-Insyirah : 8)

Hanya kepada Allah kita meminta. Hanya Dia sahaja pemilik segala-galanya. Tidak kira ia di langit atau di bumi. Memang perit ujian yang menimpa kita. Kadang-kadang tidak tertanggung rasa. Hanya kepada Allah kita memohon dan meminta. Sahabat Nabi Muhammad, Salman al-Farisi ada menceritakan bahawa Nabi Muhammad pernah memberitahu,
“Sesungguhnya Allah akan malu apabila seorang hamba mengangkat kedua tangan berdoa kepadaNya, lalu Dia membiarkan kedua tangan itu kosong dan hampa.” - Direkodkan oleh al-Hakim dan al-Tabrani

Marilah sama-sama kita meminta kepada Allah, memohon agar dikurangkan beban yang kita tanggung ini. Merayu kepadaNya agar mengurangkan sakit yang pedih ini. Hanya Dia yang boleh membantu.

Syajarah Sanad Kisah Hijrah Nabi s.a.w. di Waktu Siang

Posted by Ahmad Saifuddin Thursday, June 17, 2010 0 comments

Syajarah sanad ini sudah lama saya susun satu persatu. Niat asal untuk dimasukkan di dalam disertasi sarjana saya. Tetapi tidak dimasukkan kerana tiada keperluan untuk dimasukkan ke dalam disertasi berkenaan.

Garisan putus-putus yang bersambung dengan Muhammad Ibn Ishaq itu adalah kerana syeikh beliau adalah majhul, maka ia tidak dapat diandaikan bahawa ia bersambung.

Manakala garisan putus-putus pada al-Bukhari itu, adalah merujuk kepada nukilan al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari melalui perawi berkenaan adalah secara Ta'liq iaitu Mu'allaq.

Garisan Merah pula merujuk kepada perawi yang saya tidak sempat semak atau saya tidak jumpa di dalam kitab rijal kerana namanya terlalu umum untuk disemak satu persatu.

Belajar Sahih Muslim Dalam Masa 40 Hari?!

Posted by Ahmad Saifuddin Wednesday, June 2, 2010 2 comments

Syeikh Jamaluddin al-Qasimi menceritakan pengalaman beliau menuntut ilmu. Kata beliau;
"Alhamdulillah, aku telah menamatkan Sahih Muslim dalam masa empat puluh hari, Sunan Ibn Majah dalam masa dua puluh hari dan menamatkan Muwatta' Imam Malik selama sembilan belas hari. Manakala menamatkan Tahzib al-Tahzib, mentashihkan beberapa kesilapan yang terkandung di dalam naskah-naskah karya tersebut dan memberi keterangan tambahan bila perlu, semuanya aku lakukan dalam masa sepuluh hari."
Belajar Sahih Muslim dalam masa empat puluh hari?! Secara peribadi, saya membelek Sahih Muslim yang mengandungi beribu hadith itu helaian demi helaian pun sudah rasa tidak terdaya. Apatah lagi belajar satu persatu. Subhanallah! Membuat pembetulan pada karya Tahzib al-Tahzib yang mengandungi beribu-ribu biografi perawi hadith selama sepuluh hari mungkin tidak tercapai pada akal kita pada hari ini. Tetapi usaha ulama' silam memberi kita kemudahan untuk menyemak hadith-hadith Rasulullah s.a.w.

Semoga semangat al-Qasimi menyerap masuk ke dalam minda dan hati kita untuk meneruskan usaha menuntut ilmu walau dengan apa cara sekalipun.

Hadith dalam filem Transformer II?

Posted by Ahmad Saifuddin Tuesday, June 1, 2010 4 comments

Saya banyak terperasan satu dialog dalam filem ini yang diucapkan oleh seorang tentera berkulit hitam, "God made us in his image, who made them?" Dialog ini saya perasan pada minit ke-21 dalam filem ini. Ia seakan seerti dengan sebuah hadith riwayat al-Bukhari;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ عَلَى صُورَتِهِ

Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi s.a.w. berkata, "Allah menjadikan Adam daripada imejNya (shuratih)..."

Direkodkan di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Isti'zan.